Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 September, 2010

Sri Aman akan ada 5 program tahunan utama mulai tahun depan


Caption: PENERANGAN...Bujang (tengah) ketika mengumumkan perkara ketika berlangsung sidang media di sini kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (14 Sept) – Pejabat Daerah Sri Aman telah merangka sebanyak lima buah program tahunan utama bagi kawasan Sri Aman yang dijangka bermula pada tahun 2011 ini nanti.

Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudim memberitahu lima buah program tahuan utama ini ialah Pesta Benak Sri Aman, Pesta Lingga, Pesta Ikan Tapah (Pesta Pantu), sambutan Hari Malaysia atau Hari Kemerdekaan dan Hari Penutupan Akhir Tahun.

“Mulai tahun 2011, pihak Pejabat Daerah Sri Aman akan menganjurkan lima program utama ini pada setiap tahun kecuali untuk sambutan Hari Kemerdekaan atau sambutan Hari Malaysia.

“Jika pada tahun depan sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung pada bulan Ramadan maka kita akan menganjurkan program Hari Malaysia seperti mana yang berlaku pada tahun ini. Dua jenis program ini bergantung sepenuhnya pada waktu berlangsung sambutan Bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Penganjuran Program Hari Malaysia 2010 Peringkat Bahagian Sri Aman di bilik sidang Pejabat Daerah Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu kata Bujang orang ramai dijemput untuk menghadiri tiga buah Program Berambeh Hari Raya Bersama Yang Berhormat yang akan berlangsung di Bahagian Sri Aman ini nanti.

“Program Berambeh Hari Raya Bersama Yang Berhormat yang pertama akan diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Lingga pada 17 September ini. Majlis itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Haji Abdul Karim.

“Program Berambeh Hari Raya Bersama Yang Berhormat yang seterusnya ialah di Dewan Suarah Sri Aman pada 20 September. Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis akan merasmikan majlis itu,” katanya.

Terakhir sekali kata beliau ialah Program Berambeh Hari Raya Bersama Yang Berhormat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, Sri Aman pada 26 September ini yang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

“Tujuan utamanya ialah untuk mendekatkan penduduk dengan wakil rakyat Barisan Nasional di kawasan Sri Aman. Justeru orang ramai dijemput bagi memeriahkan program ini kelak,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment