Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 September, 2010

Pesakit Warga Emas Hospital Betong dirai



Caption:

1. PENGHARGAAN...Zawawie (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ridwan ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

2. MANFAATKAN...Zawawie (dua kiri) ketika bergambar kenangan bersama salah seorang pesakit Warga Emas yang menerima hamper berkenaan menerusi majlis itu.

Saleman Senin

BETONG, Selasa (7 Sept) - Seramai 40 orang pesakit Warga Emas dari Hospital Bahagian Betong menerima sumbangan berupa hamper daripada Persatuan Warga Tua Betong (PWTB) hari ini.

itu adalah merupakan program yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010.

Pengerusi PWTB, Penghulu Haji Abang Zawawie Abang Rajit berkata program yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong itu bertujuan untuk memperingati ‘masa senang dan susah’ golongan Warga Emas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Usaha berkenaan juga melambangkan keprihatinan pihak persatuan berhubung perkara ini. Dengan adanya sumbangan hamper ini maka diharapkan agar pesakit Warga Emas dari Hospital Bahagian Betong tidak merasa terpinggir selepas ini,” katanya.

Selain itu PWTB kata Zawawie yang mula ditubuhkan pada tahun 2000 itu kini mempunyai seramai 150 ahli berdaftar yang aktif terdiri daripada kaum Melayu, Iban dan Cina berusia 60 tahun keatas.

Demi membolehkan PWTB bergerak lebih aktif, pihak persatuan katanya telah berusaha memohon mana-mana berek yang tidak digunakan lagi oleh kerajaan untuk diubahsuai menjadi bangunan pentadbiran persatuan mereka sendiri selepas ini.

“Kami juga turut memohon keistimewaan serta layanan terbaik kepada pemegang kad Warga Emas yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan daripada pihak Hospital Betong dan Kementerian Kesihatan khasnya.

“Ia penting demi mempromosikan PWTB bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan Warga Emas dari kawasan Betong yang masih belum mendaftar sebagai ahli untuk mendapat hak tersebut,” katanya.

Terdahulu wakil Pengarah Hospital Bahagian Betong, Ridwan bin Salman memohon bantuan daripada persatuan dan individu dari kawasan Betong untuk menyuarakan kekurangan yang terdapat di hospital berkenaan selepas ini.

“Komen tentang kekurangan yang terdapat di Hospital Betong daripada penduduk di sini amat penting demi memperbaiki dan menambahbaik semula kemudahan hospital kita menerusi pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Kampung Baru Hulu Betong, Wan Ahmed bin Wan Chee, Ketua Kampung Masjid Betong, Hajah Rasidah Haji Julaihi, Setiausahah PWTB, David Biju dan Setiausaha Persatuan Persara Betong, Edward Augustine Langi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment