Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 September, 2010

Perpaduan jana pembangunan - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (9 Sept) - Kerajaan menyeru kepada rakyat berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman untuk mempertingkatkan lagi tahap hubungan perpaduan dalam kalangan diri masing-masing demi memudahkan perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di masa yang akan datang.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata kesemua rakyat berbilang kaum termasuk kaum Dayak, Melayu dam Cina harus bersatu padu memandangkan perpaduan yang wujud dikalangan mereka mampu mewujudkan kestabilan politik dalam negeri ini.

“Orang Cina, Orang Dayak, Orang Melayu dan selebihnya kaum bumiputera haruslah sentiasa bersatu-padu memandangkan hubungan perpaduan yang wujud di antara kesemua kaum ini boleh menentukan hala tuju pembangunan di negeri Sarawak untuk sekian masa yang akan datang.

“Namun jika hubungan perpaduan dikalangan mereka amat renggang maka ia secara tidak langsung boleh menjurus kepada keadaan politik yang tidak stabil. Ia sekaligus mampu menggugat perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Istimewa di Dewan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang baru-baru ini.

Sementara itu rakyat berbilang kaum yang tinggal di luar bandar kata Harden adalah amat beruntung kerana kebanyakan projek pembangunan telah dilaksanakan hasil hubungan perpaduan mereka selama ini.

“Ia membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak dibawah teraju Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dalam membangunkan taraf hidup mereka selama ini.

“Bagaimanapun rakyat luar bandar perlu sedar bahawa kerajaan serius mahu membangunkan taraf hidup mereka melalui perlaksanaan projek pertanian, pembinaan kemudahan infrastruktur, pendidikan dan sebagainya,” kata Harden.

Terdahulu Harden sambil disaksikan oleh Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pengerusi Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Kuek Aik Seng, para ahli dan ketua kaum yang lain telah menyampaikan sumbangan kepada 250 buah keluarga dari kawasan Sri Aman pada majlis itu.

Tamat....

No comments:

Post a Comment