Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 September, 2010

Pendapat rakyat penting majukan negara - Harden


Caption: RASMI...Harden (tiga kanan) bersama Masir (lima kanan) bersama tetamu undangan khas ketika menyempurnakan upacara memotong kek pulut kuning pada majlis berkenaan.


SRI AMAN, Sabtu (18 Sept) – Buah fikiran dan pendapat daripada rakyat amat penting bagi membolehkan kerajaan melaksana program pembangunan secara menyeluruh dari segala aspek di kawasan penempatan mereka selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2010 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Menurut beliau, kerajaan amat memerlukan maklumbalas serta pandangan daripada setiap rakyat agar pelan pembangunan yang lebih terperinci dapat dirangka demi peningkatan taraf hidup komuniti mereka di masa akan datang.

“Rakyat boleh menyuarakan pandangan atau idea menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing terhadap jabatan kerajaan dan wakil rakyat di kawasan mereka.

“Sumbangan mereka sekaligus juga menjayakan matlamat perlaksanaan Konsep 1Malaysia. Dengan kata lain slogan kerajaan iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan menjadi lebih berkesan dengan adanya tindakan rakyat berhubung perkara ini,” katanya.

Selain itu kerajaan yang didukung oleh parti Barisan Nasional (BN) kata beliau telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap masalah kebajikan hidup rakyat sejajar dengan gelaran Kerajaan Penyayang selama ini.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu kerajaan BN telah membuktikan ‘kasih sayang’ mereka terhadap rakyat dengan mewujudkan sistem cari, e-kasih, Program Perumahan Rakyat Termiskin dan program peningkatan pendapatan.

“Rakyat akan terus mendapat manfaat segala masi berada di bawah payung BN. Justeru saya menyeru semua rakyat untuk saling bersatu-padu mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, wakil Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengerusi bersama majlis, KK Mas Karim Mas Atem dan Haslina Kasim, penasihat majlis, Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim, para ketua kaum dan kakitangan jabatan kerajaan di sini.

Majlis anjuran sembilan buah JKKK dan 11 buah KRT dari kawasan Sri Aman ini turut diserikan dengan acara cabutan tiket bertuah, persembahan nyanyian lagu koir raya, persembahan tarian poco-poco, persembahan karaoke dan tayangan video bergambar.

Tamat.

No comments:

Post a Comment