Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 September, 2010

Pelan upgrade sistem pembentungan dan peparitan di Betong dikaji


Caption: TERIMALAH...Jabu (dua kiri) sambil disaksikan oleh Uggah (kiri sekali) dan Lawson (kanan sekali) ketika menyampaikan cek kepada seorang penerima pada majlis itu.


BETONG, Ahad (12 Sept) - Satu kajian menyeluruh sedang dijalankan di Bandar Betong bagi membolehkan perlaksanaan sistem pembentungan, tebatan banjir serta sistem perparitan di kawasan tersebut selepas ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata kajian itu melibatkan Bandar Betong, kawasan keseluruhan kampung Melayu, kawasan rumah panjang Lempaong dan kawasan Paya Udak.

“Kajian terperinci berhubung projek ini akan membuka ruang kepada pembinaan sistem tebatan banjir dan perparitan yang lebih berkesan di kawasan Betong pada masa akan datang.

“Bagi menjayakan usaha ini pihak Jabatan Tanah dan Survey sedang membuat kerja-kerja pengukuran bagi kawasan yang terlibat dalam lingkungan perlaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Justeru Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar optimis projek ini akan dapat mengurangkan masalah banjir yang melanda penempatan penduduk dalam kawasan Betong selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada penduduk di Surau Damai Kampung Hilir Betong bersempena dengan Majlis Kunjungan Perayaan Hari Raya 2010 ke enam buah kampung di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, Setiausaha Politik kepada Uggah iaitu Dr Richard Rapu, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Jabu pada majlis berkenaan telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada surau, masjid dan enam buah JKKK kampung itu di kawasan Betong.

Jabu dan Uggah masing-masing mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk sebuah masjid di Betong manakala RM5,000 lagi kepada lima buah surau dalam kawasan Betong.

Manakala JKKK Kampung Hilir menerima peruntukan sebanyak RM19,800, JKKK Kampung Tengah Betong (RM22,200), Kampung Masjid Betong (RM18,900), JKKK Kampung Pasa Melayu (RM4,800), JKKK Kampung Baru Hilir (RM15,300) dan Kampung Baru Hulu Betong (RM21,600).

Kedua-dua mereka turut menyampaikan bantuan alat binaan rumah yang mencatat nilai keseluruhan berjumlah RM100,000 bagi keluarga yang terpilih untuk menerima bantuan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment