Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 September, 2010

Patuhi Skim Kawalan Harga - Shamshuddin


Caption: PERIKSA...Shamsuddin (dua kiri) bersama Felicia (kanan) dan kakitangan yang lain ketika berlangsungnya kempen penguatkuasaan Skim Kawalan Harga hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (3 Sept) – Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2010 secara rasminya telah berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 3 September 17 September kelak.

Justeru Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji menasihatkan para peniaga untuk mematuhi peraturan yang terkandung di dalam Skim Kawalan Harga berkenaan demi mengelakkan tindakan undang-undang dalam tempoh terbabit.

“Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Bahagian Sri Aman telah mengumumkan sejumlah 16 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit menerusi skim kawalan harga ini.

“Justeru peniaga perlu mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka untuk menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal terbabit,” katanya.

16 barangan terkawal ini menurut beliau adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau tempatan, daging kerbau import (India), telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kubis bulat import Indonesia dan China, cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, santan, kacang tanah import, bawang merah kecil (India) dan ikan kembung.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika melancarkan kempen Skim Kawalan Harga di Bandar Sri Aman dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman, Pejabat Kesihatan Sri Aman dan PPDNKK Sri Aman pada pagi hari ini.

Individu yang didapati bersalah kata Shamshuddin boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500 manakala pertubuhan perbadanan jika bersalah boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000 atau dikompaun sehingga RM12,500.

Sementara itu beliau juga menasihat penduduk Sri Aman terutama sekali mereka yang bakal menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini agar berjimat cermat ketika membeli barangan keperluan untuk tujuan sambutan perayaan berkenaan kelak.

“Pembaziran perlu dielakkan. Justeru umat Muslim dinasihat hanya membeli barangan keperluan yang perlu sahaja untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri ini nanti,” katanya.

Terdahulu Shamshuddin bersama timbalannya iaitu Felicia Tan dan sembilan orang kakitangan PPDNKK Sri Aman, enam kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman serta tiga orang kakitangan Majlis Daerah Sri Aman memulakan kempen berkenaan di Pasar Tamu Sri Aman serta beberapa buah premis perniagaan yang lain pada jam 9.30 pagi hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment