Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 September, 2010

Masyarakat tani perlu rapatkan diri dengan Jabatn Pertanian


Caption: TERIMA KASIH...Abah (kiri) ketika menerima cenderamata daripada Chana (kanan) sambil disaksikan oleh Harden (tengah) pada majlis berkenaan baru-baru ini.
 
SRI AMAN, Isnin (6 Sept) – Masyarakat tani digalak untuk merapatkan lagi hubungan mereka dengan Jabatan Pertanian di kawasan penempatan masing-masing demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.
 
Ia penting agar masyarakat tani khususnya di kawasan Sri Aman tidak ketinggalan dalam pelbagai rancangan pertanian yang diusahakan oleh kerajaan menerusi jabatan pertanian selepas ini.
 
“Jabatan pertanian sebenarnya mempunyai banyak projek dan bantuan yang ditawarkan kepada masyarakat tani di negeri ini dan ia termasuk penanaman getah, koko, perusahaan perikanan serta banyak lagi.
 
“Keberkesanan penyampaian bantuan atau projek ini untuk masyarakat tani bergantung sepenuhnya kepada hubungan di antara kedua-dua pihak. Jika masyarakat tani hidup umpama katak di bawah tempurung maka mereka tidak akan mengetahui tentang kewujudan projek serta bantuan terbabit,” katanya.
 
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2010 anjuran Kelab Jabatan Pertanian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam kelmarin.
 
Selain itu beliau juga menggesa kakitangan Jabatan Pertanian untuk lebih kerap turun padang bagi menerang serta menyampaikan maklumat terkini tentang rancangan pembangunan pertanian daripada kerajaan kepada masyarakat tani selepas ini.
 
Usaha ini katanya amat penting demi mewujudkan tranformasi pertanian moden dikalangan masyarakat tani dari sistem sara diri kepada sistem pertanian komersial di masa akan datang.
 
“Masyarakat tani khususnya dari kawasan luar bandar tidak harus bergantung sepenuhnya kepada sistem pertanian sara diri memandangkan arus permodenan negara menuntut mereka untuk mengubah cara hidup kepada pertanian moden mulai sekarang.
 
“Justeru saya mengesyorkan kakitangan jabatan pertanian untuk menjalin hubungan dengan lain-lain agensi kerajaan bagi menyampaikan segala maklumat terkini mengenai rancangan terbaru pertanian kerajaan di masa akan datang,” katanya.
 
Hadir sama ialah Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman, Badin Unor, Pengerusi Kelab Rekreasi Jabatan Pertanian cawangan Sri Aman, Chana Langkan, Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen P.202 Sri Aman, Abah Ugi, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Felicia Tan dan Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Jack Aman Luat.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada Kelab Jabatan Pertanian cawangan Sri Aman untuk tahun ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment