Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 September, 2010

Lagi-lagi eksiden di selekoh tajam, Gua

SRI AMAN, Isnin (6 Sept) – Seorang lelaki patah betis kaki kanan apabila kereta Perodua Kenari yang dipandu olehnya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil menerusi kemalangan yang berlaku di laluan selekoh tajam, kawasan Selepong – Gua, Jalan Sri Aman – Kuching awal pagi hari ini.

Utusan Sarawak yang secara kebetulannya berada di tempat kejadian kemalangan mendapati mangsa bersama tiga saudaranya dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Sri Aman dari arah Kuching sebelum kenderaan bertembung dengan Kancil terbabit sekitar jam 6.50 pagi.

Seorang wanita dari kereta Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lelaki bersama tiga saudara yang lain dilihat mengalami kecederaan teruk di bahagian badan menerusi pertembungan berkenaan.

Salah seorang mangsa ketika ditemui memberitahu kereta Kancil berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Kuching sebelum berlakunya kejadian kemalangan terbabit.

“Kami sedang dalam perjalanan menuju pulang ke Sri Aman atas urusan kerja apabila kenderaan Kancil berkenaan (dari arah Sri Aman) kelihatan hilang kawalan ketika tiba di laluan selekoh tajam itu.

“Akibatnya kenderaan Kancil terbabit bertembung dengan kenderaan Kenari yang ditumpang oleh kami sehingga menyebabkan kereta Kancil tersebut terbabas ke dalam parit di kawasan kiri jalan,” katanya.

Utusan Sarawak kemudiannya bertindak menelefon pihak polis menjelang jam 7 pagi sebelum ambulan dari Hospital Bahagian Sri Aman dihantar ke lokasi kejadian pada jam 7.20 pagi.

Penulis juga difahamkan bahawa kejadian kemalangan ini turut menyebabkan pemandu Kancil berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala selebihnya mengadu sakit dibahagian dada.

Pengguna kenderaan yang prihatin turun padang untuk mengawal lalulintas trafik sambil membantu mangsa dari kedua-dua pihak yang mengalami kecederaan akibat kemalangan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment