Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 September, 2010

Jangan percaya khabar angin berunsur perkauman - Azimin



Caption: MOHON BERKAT...Azimin (tengah), Zawawie (kiri) dan Husin (kanan) ketika berlangsungnya upacara doa pada majlis itu baru-baru ini.

Saleman Senin

BETONG, Selasa (7 Sept) – Umat Islam di kawasan Betong diseru agar tidak terlalu mempercayai khabar angin bercorak perkauman yang boleh mengundang kepada kehancuran dan perpecahan kaum selepas ini demikian menurut Pegawai Jabatan Agama Islam Betong, Ustaz Azimin Shakir.

Khabar angin seperti itu katanya juga boleh menimbulkan fitnah dikalangan penduduk berbilang kaum di kawasan Betong sehingga boleh menimbulkan masalah dalam hal ehwal pengurusan pentadbiran yang melibatkan perpaduan penduduk khasnya dari segi agama.

“Umat Islam harus memupuk semangat toleransi dan saling hormat menghormati di antara penduduk yang menganut lain-lain kepercayaan agama dalam kawasan Betong selepas ini.

“Ia penting agar semua penduduk berlainan agama khasnya di kawasan Betong dapat hidup secara aman dan hormani. Dengan berbuat demikian semua penduduk akan dapat menikmati kesejahteraan hidup di kawasan masing-masing sepanjang masa,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2010 anjuran Lembaga Amanah Melayu Betong di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong baru-baru ini.

Selain itu Azimin juga mengajak umat Islam dalam kawasan Betong untuk sama-sama membayar zakat Fitrah pada kadar bayaran yang ditentukan iaitu RM5.20 seorang selepas ini.

Malahan beliau juga meminta umat Islam yang tidak dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan sebelum ini untuk membayar Fidyah dengan kadar bayaran RM1.30 sehari kepada amil-amil yang dilantik.

Terdahulu seramai 99 orang penduduk dari Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Melayu Passa Betong menerima sumbangan raya pada majlis berkenaan.

Penerima terbabit terdiri daripada golongan Warga Emas (yang berusia 70 tahun ke atas), Ibu Tunggal, Anak Yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), penggali kubur dan orang yang memandikan jenazah.

Hadir sama ialah Penghulu Kampung Melayu Betong, Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Pengerusi Lembaga Amanah Melayu Betong, KK Haji Abang Hussin bin Abang Mahdi, para ketua kaum dan ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Jamek Betong.

Tamat.

No comments:

Post a Comment