Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 September, 2010

IPD Sri Aman terima sumbangan daripada Baitulmal


Caption: IKHLAS...Shamsul (kiri) sedang menyampaikan sumbangan kepada Marcel (kanan) ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

SRI AMAN, Khamis (9 Sept) – Surau Darul Solihin, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah menerima sumbangan kewangan daripada pihak Tabung Baitulmal Sarawak cawangan Sri Aman menerusi majlis ringkas yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di bilik sidang pejabat Tabung Baitulmal Sarawak cawangan Sri Aman itu menyaksikan pengurusnya, Shamsul Bahri Manap menyampaikan sumbangan berkenaan kepada wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman iaitu Inspektor Marcel Irenus Mustari.

Shamshul ketika ditemui pada majlis itu memberitahu sumbangan kewangan berkenaan bertujuan untuk menampung keperluan Surau Darul Solihin IPD Sri Aman ketika berlangsungnya bulan Ramadan ini tadi.

“Ingin saya maklumkan di sini bahawa pihak Tabung Baitulmal Sarawak akan sentiasa menyampaikan sumbangan berkenaan kepada surau jabatan kerajaan yang aktif dalam melaksanakan aktiviti dakwah dan kerohanian selama ini.

“Dengan kata lain Tabung Baitulmal Sarawak tidak hanya memberikan sumbangan kepada surau atau masjid kampung malahan kepada masjid serta surau jabatan kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian di kawasan masing-masing,” katanya.

Selain itu pihak Tabung Baitulmal Sarawak katanya berpendapat bahawa Surau Darul Solihin layak menerima sumbangan berkenaan memandangkan surau terbabit aktif dalam mengimarahkan surau dan mula mendapat perhatian umat Islam dalam bandar Sri Aman ini.

Malahan pihak Surau Darul Solihin IPD Sri Aman kata Shamsul juga sering menjemput para penceramah tempatan untuk menyampaikan ilmu keagamaan termasuk daripada pegawai agama Tabung Baitulmal Sarawak sendiri.

“Justeru pihak Tabung Baitulmal Sarawak berharap agar lain-lain surau di kawasan Sri Aman untuk mencontohi Surau Darul Solihin yang aktif dalam melaksana pelbagai aktiviti keagamaan dari masa ke semasa selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment