Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 September, 2010

Hargai sumbangan tokoh politik Sarawak - Rohani


Caption: TAHNIAH...Rohani sedang menyampaikan hadiah kepada pemenang sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Harden, Bujangm Snowdan, Rayong, Simoi, Nyalau, Mong, Masir dan Shamsudin ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (16 Sept) – Sumbangan tokoh politik veteran Sarawak harus dikenang serta dihargai oleh semua penduduk negeri ini dari masa ke semasa demikian menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim.

Tokoh politik veteran seperti Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Datuk Tawi Seli dan Temenggung Jugah misalnya adalah antara individu yang memainkan peranan penting dalam membawa Sarawak keluar daripada belenggu penjajahan British untuk menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 dahulu.

“Para tokoh ini adalah di antara ahli politik kita yang memainkan peranan cukup penting dalam mengubah landskap pembangunan negeri semenjak 47 tahun Sarawak membantu pembentukan Persekutuan Malaysia dahulu.

“Untuk itu golongan generasi muda pada masa sekarang harus mengimbau kembali sejarah perjuangan tokoh politik veteran kita. Tidak memadai meraikan Hari Malaysia jika tidak mengetahui sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia pada masa masa sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Daerah Sri Aman 2010 di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman hari ini.

Selain itu penduduk di kawasan Sri Aman juga harus sedar bahawa daerah ini telah melahirkan ramai tokoh perajurit yang pernah mencipta nama dalam sejarah perjuangan menentang komunis pada masa dahulu.

“Nama perajurit seperti Temenggung Kanang Langkau, Beliang Bali dan Awang Raweng dari Sri Aman sememangnya tidak asing lagi di telinga penduduk negara ini dalam usaha mereka menentang pengganas komunis dahulu.

“Tanpa pengorbanan perajurit termasuk ketiga-tiga mereka ini negara kita iaitu Malaysia tidak akan mampu mengecapi nikmat pembangunan dan keamanan sepertimana yang dirasai oleh penduduk kita pada masa sekarang,” katanya.

Rohani juga mahu penduduk tempatan tahu bahawa Sri Aman bertukar nama dari nama asalnya iaitu Simanggang disebabkan oleh perjanjian damai antara pihak Kerajaan Negeri dan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU – Komunis) di sini pada 21 Oktober 1973 dahulu.

“Penduduk harus tahu bahawa tarikh itu sangat signifikan. Bukan sahaja Simanggang bertukar nama kepada Sri Aman malah turut menandakan kemenangan kerajaan dalam menghapus pemberontakan di komunis di sini sebelum itu,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pelancongan, Mong Dagang, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Sri Aman, Abang Shamshudin Abang Seruji dan Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin.

Seramai 2,000 penduduk menerusi 55 buah kontinjen mengambil bahagian dalam upacara perarakan sejauh tiga kilometer dan perbarisan sempena sambutan Hari Malaysia disini bermula jam 7.30 pagi hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment