Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 September, 2010

Anak Jomek juara Pertandingan Ratu Kemerdekaan Hari Malaysia Sri Aman



SRI AMAN, Jumaat (17 Sept) – Tuah menyebelahi Ivony Cornelia apabila beliau diistyiharkan sebagai Ratu Kemerdekaan 2010 yang diadakan menerusi Program Pentas Hari Malaysia yang buat pertama kalinya dianjurkan dalam Bandar Sri Aman malam tadi.
 
Ivony, 19, pelajar tahun pertama dari Universiti Teknologi Mara atau UiTM Sarawak, Kota Samarahan dinobatkan sebagai ratu apabila memperagakan fesyen pakaian Orang Ulu menerusi pertandingan yang berlangsung di Stesen Bas Sri Aman berkenaan.
 
Kemenangan gadis dari Taman Lon Lon, Sri Aman sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Sri Aman ini sekaligus membolehkan beliau mengenepikan saingan daripada sembilan orang peserta yang turut sama mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
 
Manakala itu Juruhebah Bahagian Siaran Rancangan Melayu, Radio Televisyen Malaysia Sri Aman, Zuriana Kedri dinobatkan sebagai naib juara bagi Pertandingan Ratu Kemerdekaan 2010.
 
Beliau yang pernah muncul naib juara sebagai Ratu Etnik Pesta Pantu 2010 sebelum ini telah memperagakan fesyen etnik India untuk memastikan kedudukan naib juara menjadi miliknya pada pertandingan berkenaan.
 
Kedudukan tempat ketiga bagi Pertandingan Ratu Kemerdekaan 2010 ini pula dimenangi oleh seorang pelajar iaitu Dayang Noor Ruzaliny Awang Jamaian.
 
Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah menyempurnakan upacara penyampaian hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil kepada pemenang bagi Pertandingan Ratu Kemerdekaan ini. 
 

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Jack Aman Luat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Pentas Hari Malaysia ini telah dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Ratu Hari Malaysia, persembahan lagu patriotik, persembahan tarian etnik, koir MAKSAK, persembahan deklamasi puisi dan persembahan nyanyian oleh artis rakaman Iban tempatan.

Dianggarkan seramai 500 orang penduduk hadir untuk menyaksikan Program Pentas Hari Malaysia walaupun hujan lebat turun di Bandar Sri Aman bermula jam 5 petang hingga 9 malam tadi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment