Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 September, 2010

Guru perlu jayakan 1Malaysia - Walter



Caption:

1.UMUM...Walter (tengah) ketika menyampaikan ucapan ringkas sambil disaksikan oleh timbalannya, Abdul Rahman Mahyuddin (kiri) pada majlis berkenaan.

2. BERSELERA...Para kakirangan Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman sedang menikmati jamuan yang disediakan pada majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (30 Sept) – Warga pendidik juga memainkan peranan untuk menjayakan perlaksanaan konsep Gagasan 1Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai memberitahu warga pendidik boleh mempamerkan contoh kepada para pelajar tentang hubungan akrab yang terjalin di antara para guru supaya ia menjadi ikutan para pelajar selepas ini.

“Warga pendidik juga memainkan peranan untuk menyingkirkan sikap diskriminasi dikalangan para pelajar dengan mendidik mereka tentang aspek penyatuan ketika sama-sama menuntut di dalam sebuah sekolah.

“Golongan pelajar perlu disemai dengan sikap toleransi antara kaum pada peringkat awal bangku sekolah lagi. Dengan berbuat demikian perlaksanaan Gagasan 1Malaysia akan mudah diterima oleh mereka apabila sudah dewasa kelak,” menurut beliau.

Walter berkata demikian ketika berucap ringkas pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman bertempat di Pusat Kegiatan Guru Sri Aman kelmarin.

Selain itu hubungan penyatuan dikalangan pelajar berbilang kaum di Sri Aman menerusi Gagasan 1Malaysia ini kata Lamat sekaligus dapat merealisasi matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 ini.

“Apa yang kita mahukan ialah kelahiran golongan modal insan berkualiti terbaru yang mempunyai minda hormat menghormati antara satu sama lain tanpa adanya unsur perkauman di masa akan datang.

“Justeru saya meminta semua warga pendidik di Sri Aman untuk menunjukkan contoh terbaik berhubung perlaksanaan konsep ini dikalangan pelajar masing-masing. Didik dan semai mereka untuk menghormati rakan dari lain-lain kaum dan agama demi menjayakan perlaksanaan konsep berkenaan,” menurut beliau.

Terdahulu semua kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman telah dijemput bagi memeriahkan suasana majlis ini dengan menikmati kuih-muih yang disumbangkan oleh rakan muslim masing-masing pada majlis itu.

Tamat.

Tingkatkan disiplin menerusi berpersatuan - Ellen



Caption:

1.TAHNIAH...Ellen sedang menyampaikan hadiah kepada Carlos Mewan Bayang selaku peserta perkhemahan terbaik bagi program terbabit.

2.PERHARGAAN...Mahli (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ellen (kiri) ketika berlangsungnya majlis penutupan program berkenaan.

BETONG, Khamis (30 Sept) – Sikap disiplin dalam diri setiap pelajar sekolah harus dipertingkatkan menerusi aktiviti persatuan demikian menurut Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Ellen @ Manium anak Engang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Bersepadu Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Alit Kabong, Betong baru-baru ini.

Katanya aktiviti aktiviti berpersatuan dapat membantu pihak kementerian mencapai hasrat untuk melahirkan golongan masyarakat bersepadu, berdisplin dan terlatih mengikut kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Usaha untuk melahirkan golongan seumpama ini akan dilaksanakan secara bersepadu di dalam dan luar kawasan bilik darjah khasnya seperti yang telah dilaksanakan dalam program hari ini,” menurut beliau.

Selain itu program terbabit kata Ellen juga mampu memberi pendedahan dan pengalaman kepada para ahli Pasukan Badan Beruniform mengenai aspek perkhemahan secara menyeluruh disamping mempertingkatkan minat pelajar terhadap kegiatan Pasukan Badan Beruniform selepas ini.

Malahan program terbabit katanyua juga dapat membantu meningkatkan disiplin pelajar dengan mematuhi peraturan dan undang-undang pelbagai persatuan yang ditubuhkan di sekolah-sekolah rendah masing-masing.

“Oleh itu laporan lengkap mengenai perlaksanaan aktiviti tersebut diperlukan. Kita juga mahu laporan ini memenuhi segala ciri penting sebagai panduan untuk pihak kita mengenalpasti tindakan seterusnya yang perlu telah dilaksana selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Mahli bin Rosli, Pegawai Pelajaran Daerah Saratok, Daud bin Mohamad, Ketua Unit Kokurikulum JPN Sarawak, Mohadi Mobin dan Penyelia Kumpulan Kokurikulum JPN Sarawak, Apo Latit.

Peserta dari Bahagian Kuching iaitu Carlos Mewan Bayang diumumkan sebagai peserta perkhemahan terbaik bagi kategori lelaki manakala Yvonnessia Viviana Rajau dari Sri Aman pula telah diumumkan sebagai peserta perkhemahan terbaik kategori perempuan.

Pasukan Bahagian Miri muncul pemenang Pertandingan Khemah Terbaik manakala pasukan Samarahan dan Bintulu pula muncul pemenang tempat kedua dan ketiga pada pertandingan berkenaan.

Pertandingan Sukaneka pula menyaksikan Pasukan Sarikei muncul juara sambil diikuti oleh pasukan Sri Aman dan Betong pada kedudukan tempat kedua dan ketiga. Pasukan Miri pula muncul juara untuk pertandingan kebudayaan manakala pasukan Sarikei muncul juara bagi pertandingan ikhtiar hidup.

Terdahulu sebanyak tujuh buah unit badan beruniform telah mengambil bahagian dalam program ini antaranya ialah Pengakap, PBSM, TKRS, Pandu Puteri, Puteri Islam, Briged Putera dan Puteri.

Tamat.

Bank Rakyat bantu pertingkat eko usahawan kecil



Caption:

1.SILA SAIN YB...Roslan (kanan) dan timbalannya, Abdul Rahman (kiri) sedang mempelawa Hajah Rohani untuk menandatangani buku kedatangan program sambil disaksikan oleh Simoi (belakang) pada majlis itu baru-baru ini.

2. MENARIK...Rohani sambil diapit oleh Simoi (belakang), Roslan (dua belakang) dan Felicia (kiri sekali) sedang tertarik melihat sebuah gubahan bunga ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (30 Sept) - Program Bimbingan Menaiktaraf Ekonomi Usahawan Kecil dan Ramah Tamah dan Aidilfitri anjuran Bank Rakyat Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman telah diserikan lagi dengan 550 orang penduduk dari Bandar Sri Aman baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat,Urusetia Saudara Kita (USK), Tabung Baitulmal serta Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak(PPWS) itu terdiri daripada 200 orang peserta ceramah dan 350 orang pengunjung.

Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali memberitahu program ini bertujuan untuk mendidik para usahawan kecil tentang langkah bagi memperkembangkan lagi perniagaan masing-masing selepas ini.

“Bank Rakyat selaku sebuah koperasi terbesar di negara ini menyimpan harapan untuk memberikan pendedahan serta landasan bagi memajukan perniagaan para usahawan kecil sekaligus membantu golongan susah di kawasan Sri Aman.

“Justeru menerusi program ini pihak kita telah menyampaikan ceramah mengenai maklumat dan langkah penting yang berkaitan dengan bidang keusahawan kepada para peserta untuk dimanfaatkan oleh diri mereka sendiri mulai sekarang,” menurut beliau.

Demi menjayakan program ini pihak beliau menurut Roslan telah mengadakan taklimat ceramah motivasi daripada Yusman Yacob(Maktab Kerjasama Malaysia) serta taklimat Produk Bank iaitu Skim Pembiayaan Ekonomi Desa(SPED), Pembiayaan Mikrokredit serta Pajak gadai emas(Ar-Rahnu),yang disampaikan oleh Pegawai Bank Rakyat.

Turut diadakan juga katanya ialah pertandingan masakan, pertandingan gubahan bunga, pertandingan mewarna, ceramah Pengurusan perniagaan secara syariah oleh Ustaz Zulhazmi,Tabung Baitulmal Sarawak Sri Aman dan penyampaian pakaian terpakai kepada warga kerja golongan susah oleh pihak Bank Rakyat.

“Program yang bermula dari pagi hingga petang itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajjah Rohani Abdul Karim.

“Dengan ini pihak Bank Rakyat cawangan Sri Aman dengan berbesar hati ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah turun padang bagi menjayakan program berkenaan,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan timbalannya Felicia Tan, Pengarah Jabatan Kebajikan Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pengurus Tabung Baitulmal Sarawak Sri Aman, Shamshul Bahri Manap dan Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khadijah Abdullah.

Tamat.

SCORE bukan hanya menguntungkan wilayah tengah Sarawak, Taib




Caption:

1. RASMI...Taib sambil diiringi oleh Jabu (kiri) dan dif kehormat yang lain ketika menyempurnakan upacara pelancaran buku bergambar Bahagian Betong ketika berlangsungnya majlis itu.

2. SELAMAT DATANG...Taib sambil diiringi oleh Jabu dan dif-dif kehormat yang lain ketika bersalaman dengan penduduk sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis berkenaan hari ini.

BETONG, Rabu (29 Sept) – Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebenarnya bakal menguntungkan penduduk dari luar kawasan wilayah perlaksanaan projek terbabit di masa akan datang kata Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Ini kerana perlaksanaan SCORE kata beliau akan menjadikan Sarawak sebagai salah sebuah kawasan yang mempunyai daya tarikan modal yang tertinggi di dunia yang dengan nilai mencecah RM30 bilion apabila projek ini dilaksanakan nanti.

“Perlaksanaan SCORE meliputi kawasan seluas 60,000 kilometer persegi iaitu kira-kira satu pertiga dari keluasan negeri Sarawak. Namun begitu perlaksanaan projek ini bakal memberi impak dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur terhadap penduduk dari luar kawasan wilayah SCORE.

“Ia termasuk fokus untuk membangunkan hidup penduduk secara berpusat, pembinaan rangkaian jalan raya persisiran pantai, penyediaan sebanyak 240,000 peluang kerja untuk penduduk dari luar wilayah projek SCORE dan banyak lagi,” katanya sambil menambah Sarawak akan muncul sebagai negeri terkaya dalam Malaysia menjelang tahun 2030.

Dengan adanya SCORE, kerajaan kata Taib juga akan dapat membangunkan beberapa kawasan bandar utama dengan mengekplotasi potensi ekonomi masing-masing seperti Kuching, Miri (petroleum), Sri Aman (Sawit) dan Sibu (hutan paya) serta beberapa kawasan lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi Buku Bergambar Bahagian Betong ’45 Tahun Menatang Harapan Merealisasi Impian’ dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Dewan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Selain itu Sarawak juga kata Taib dijangka mampu menjana hasil pendapatan sebanyak RM5 bilion setahun hasil dari perlaksanaan projek penanaman sawit di atas tanah berkeluasan satu juta hektar dalam negeri ini hasil perlaksanaan projek SCORE kelak

“Untuk maju, Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada industri pertanian. Kita sebaliknya turut bergantung industri yang dilaksana dalam projek SCORE ini dengan adanya juga penyaluran tenaga elektrik berkapisiti 28,000 megawat menjelang tahun 2030 kelak.

“Sebab itulah impak perlaksanaan SCORE memberi impak pembangunan terhadap penduduk dalam negeri Sarawak menjelang tahun 2030. Kita mempunyai daya tarikan modal tertinggi dunia bernilai RM30 bilion menerusi sumber tenaga dan industri yang kita tawar kepada pelabur luar selepas ini,” katanya.

Justeru Taib mahu semua penduduk untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan perlaksanaan SCORE memberi keuntungan kepada diri mereka dan anak cucu pada masa akan datang.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas, para menteri muda Kerajaan Negeri, wakil rakyat BN dan pegawai kerajaan di sini.

Seramai 2,000 penduduk hadir bagi memeriahkan sambutan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Pehin Sri Taib yang dijayakan menerusi pembukaan sebanyak 31 buah gerai di dewan terbabit hari ini.

Tamat.

Jangan lepaskan peluang menuntut ke menara gading, Jabu


Caption: AKRAB...Taib (tengah) kelihatan mesra menyandang bahu bahu Jabu (kiri) dan Uggah (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

BETONG, Rabu (29 Sept) – Sarawak bakal memerlukan tenaga kerja profesional yang lebih ramai menjelang tahun 2030 kelak dengan adanya perlaksanaan Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada masa sekarang.

Justeru Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang menasihatkan golongan anak muda agar tidak melepaskan peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti bermula pada masa sekarang.

“Sarawak mempunyai banyak projek utama yang sedang giat dilaksana pada masa sekarang. Ia termasuk perlaksanaan SCORE, projek agropolitan di Bijat / Stumbin, projek agro Bukit Sadok dan banyak lagi dalam kawasan wilayah negeri ini.

“Bagaimanapun perkembangan ekonomi Sarawak menerusi perlaksanaan projek berkenaan bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja profesional oleh penduduk dari negeri ini pada tahun 2030 kelak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Buku Bergambar Bahagian Betong ’45 Tahun Menatang Harapan Merealisasi Impian’ dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Dewan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Selain itu penduduk Sarawak juga kata Jabu amat mengalu-alukan niat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk meneruskan teraju pembangunan negeri ini sebagai Ketua Menteri.

“Penduduk amat memerlukan kepimpinan Taib lebih-lebih lagi menjelang kedatangan gelombang kedua tranformasi pembangunan Sarawak menerusi perlaksanaan Politik Pembangunan oleh beliau sebelum ini.

“Niat beliau untuk terus meneraju pembangunan negeri ini merupakan isyarat positif kepada penduduk dalam negeri ini dari peningkatan kemajuan hidup mereka. Oleh itu saya yakin bahawa semua wilayah negeri ini akan maju dengan begitu pusat mulai tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pehin Sri Taib. Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Morshidi Ghani, para menteri muda Kerajaan Negeri, wakil rakyat BN dan pegawai kerajaan di sini.

Seramai 2,000 penduduk hadir bagi memeriahkan sambutan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Pehin Sri Taib yang dijayakan menerusi pembukaan sebanyak 31 buah gerai di dewan terbabit hari ini.

Tamat.

Penduduk Engkilili diseru sedia hadapi pilihan raya - Rayong


Caption: MANFAATKAN...Rayong (kiri) menyampaikan cek kepada Harold (kanan) sambil disaksikan oleh Nyalau (tengah) dan Tr Silai (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis itu.


ENGKILILI, Rabu (29 Sept) – Penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dinasihat untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang kata wakil rakyatnya Dr Johnical Rayong anak Ngipa.

Ia kerana pilihan raya negeri ini nanti menurut beliau bakal menentukan halatuju pembangunan masa hidup penduduk di situ menerusi undi yang mereka buang terhadap calon yang bertanding di DUN Engkilili kelak.

“Saya menasihatkan penduduk kawasan DUN Engkilili untuk merenung kembali sumbangan yang telah Barisan Nasional (BN) berikan kepada mereka dari segi penyediaan kemudahan perhubungan, infrastruktur, pendidikan dan sebagainya selama ini.

“BN telah melakukan yang sebaiknya untuk penduduk di sini dan meneruskan usaha mereka selepas pilihan raya negeri kelak. Justeru jangan merugikan masa depan hidup anda dengan tersalah pilih calon pada pilihan raya negeri ini nanti,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir bagi menyaksikan aktiviti Sukan Darat Antara Rumah Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Skrang, Engkilili, Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga mahu penduduk kawasan DUN Engkilili memberi sepenuh sokongan terhadap teraju kepimpinan Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri selepas ini.

“Gelombang kedua transformasi pembangunan yang diperkenal menerusi Politik Pembangunan oleh Pehin Sri Taib bakal mengubah wajah pembangunan negeri Sarawak termasuk di DUN Engkilili di masa akan datang.

“Kita mahu DUN Engkilili terus menerima limpah pembangunan dengan adanya Taib sebagai Ketua Menteri. Oleh itu kemenangan besar BN termasuk di Engkilili amat penting menjelang pilihan raya negeri kelak demi memastikan kesinambungan projek pembangunan,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, Guru Besar SK Kem Skrang, Harold Wilson serta Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Kem Skrang, Tuai Rumah Silai Sandah.

Rayong menerusi aktiviti itu telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Pembangunan Luar Bandar bernilai RM10,000 kepada PIBG SK Kem Skrang.

Terdahulu seramai 198 orang murid SK Kem Skrang mengambil bahagian dalam acara sukan darat yang berlangsung di padang sekolah berkenaan bermula dari 28 September hingga 1 Oktober ini.

Tamat.

29 September, 2010

Hentikan promosi Jatropha di Sarawak - Jabu


Caption: MANFAATKAN...Jabu sedang menyampaikan cek MRP kepada penerima sambil disaksikan oleh Romie (kanan) dan Friday (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.

BETONG, Selasa (28 Sept) – Promosi mengenai projek penanaman Pokok Jarak ataupun Jatopra dikalangan penduduk dalam negeri Sarawak harus dikurangkan selepas ini demiikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Ini kerana menurut beliau projek penanaman Jatopra tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan seperti mana yang mampu diperoleh oleh penduduk menerusi penanaman getah dan kelapa sawit.

“Getah dan kelapa sawit merupakan tanaman komersial yang terbaik untuk diusahakan oleh penduduk rumah panjang dalam negeri ini berdasarkan kepada aspek pasaran dunianya pada masa sekarang berbanding dengan Jatopra.

“Lagipun Sarawak masih belum mempunyai pusat pemprosesan hasil pengeluaran tanaman Jatopra. Justeru saya meminta semua pihak untuk berhenti menjual biji benih Jatopra kepada penduduk rumah panjang selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Layar di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Sementara itu Jabu juga mahu penduduk terutama sekali mereka yang tinggal di kawasan luar bandar untuk menolak kehadiran pihak pembangkang menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Pihak pembangkang menurut beliau tidak membuktikan kesungguhan mereka untuk membangunkan hidup penduduk dan ia terbukti apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) cuba mengagalkan rancangan penanaman sawit di Machan, Kanowit pada tahun 1995 dahulu.

“Lagipun komponen parti politik pembangkang sering bertelagah di antara satu sama yang lain berbanding Barisan Nasional (BN). Justeru kerajaan BN adalah yang terbaik untuk penduduk dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Setiusaha Politik kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Richard Rapu.

Sejumlah 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan DUN Layar menerima cek MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM441,300 yang disampaikan oleh Jabu pada majlis itu.

Tamat.

28 September, 2010

Lima polis bantuan angkat sumpah


Caption: UNTUK ALBUM..Jusoh (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama pegawai kanan, ketua agensi dan anggota polis bantuan sebaik sahaja tamat majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (27 Sept) – Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman akan meneruskan usaha dengan pihak SESCO untuk membenteras kegiatan curi kabel elektrik dan bekalan elektrik di kawasan Sri Aman selepas ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad memberitahu menerusi taklimat yang disampaikan oleh pihak SESCO baru-baru ini, pihak polis mendapati bahawa kumpulan atau individu terbabit mempunyai kepakaran untuk melakukan aktiviti jenayah berkenaan selama ini.

Katanya ia terbukti apabila penjenayah terbabit mempunyai kemahiran untuk memotong dan mencuri kabel elektrik yang mempunyai kapisiti arus elektrik berkuasa tinggi tanpa mengalami sebarang kemalangan ketika melakukan kegiatan itu.

“Selain itu penjenayah itu juga cekap mencuri bekalan elektrik. Mereka mempunyai teknik tertentu untuk melakukan kerja ini sehingga boleh mendatangkan kerugian terhadap pihak agensi dan kerajaan.

“Malahan tindakan mereka juga boleh mengancam kesejahteraan penggunaan elektrik. Justeru pihak kita akan melaksana pelbagai usaha untuk membenteras kedua-dua jenis kegiatan jenayah terbabit dengan pihak SESCO dari masa ke semasa,” menurut beliau tanpa menyatakan statistik bilangan kes kejadian tersebut di Sri Aman.

Selain itu Jusoh juga menasihatkan agensi atau jabatan terutama sekali mereka yang menggunakan khidmat anggota polis bantuan di Sri Aman untuk menilai semula skop tugasan utama golongan terbabit selepas ini.

Menurut beliau terdapat agensi yang meletakkan polis bantuan untuk bertugas di lain-lain bahagian dan seterusnya mengabaikan fungsi utama peranan keselamatan golongan terbabit selama ini.

“Bagaimanapun saya ingin menasihat anggota polis bantuan untuk mengamalkan sikap sentiasa berwaspada terhadap kehadiran mana-mana pelanggan mulai sekarang,” katanya sambil menambah mungkin terhadap pelanggan yang mempunyai niat jenayah ketika mahu berurusan di kaunter agensi masing-masing.

Terdahulu seramai lima orang anggota polis bantuan mengangkat sumpah di hadapan Jusoh dan pegawai kanan IPD Sri Aman yang lain menerusi Majlis Angkat Sumpah Perlantikan Jawatan Anggota Polis Bantuan di Bilik Gerakan, IPD Sri Aman hari ini.

Kelima-lima anggota terbabit ialah Meaxtresson Anja Junit dan Oliver Gregory dari PUSPAKOM Sri Aman, Jeremy Tan dan Dickson Leotan dari agensi SESCO Batang Ai Lubok Antu serta John Clifford Enjoy dari agensi SESCO Sri Aman.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sri Aman, ASP Ang Tuan Pek, Ketua Cawangan Khas IPD Sri Aman, ASP Melay Tingom, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, ASP Sazali Abdul Latif, Ketua Polis Balai IPD Sri Aman, Chief Inspektor Nizam Bujang, para pegawai kanan dan ketua agensi yang lain.

Tamat.

Jangan jual tanah NCR anda kata Nyalau


Caption: TERIMA KASIH...Nyalau (kiri) menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima ketika berlangsungnya majlis itu sambil disaksikan oleh Mong (tengah) dan Rayong (dua kiri) pada majlis berkenaan.


ENGKILILI, Isnin (27 Sept) – Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dinasihat agar tidak menjual tanah masing-masing memandangkan ia adalah aset paling berharga untuk masa depan hidup mereka selepas ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Lagipun usaha penyukatan Tanah NCR milik rakyat yang menelan kos sebanyak RM20 juta oleh pihak kerajaan katanya pada masa sekarang sepatutnya menyakinkan mereka untuk melindungi tanah masing-masing selepas ini.

“Ada penduduk yang menjual tanah NCR secara sewenang-wenangnya kepada orang luar selama ini tanpa menyedari bahawa kerajaan komited melindungi tanah mereka dengan adanya peruntukan RM20 juta untuk tujuan menyukat tanah pada masa sekarang.

“Jika keadaan ini berterusan maka keturunan anak cucu kita akan kehilangan tanah pusaka masing-masing di masa akan datang. Justeru pemilik tanah NCR diminta agar jangan menjual masing-masing demi kebaikan diri mereka selepas ini,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap pada Program 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Brown anak Jenging, Tabau, Ulu Skrang, dalam daerah kecil Engkilil, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak bertelagah sesama sendiri sekiranya kerajaan sedang melaksanakan kerja menyukat tanah NCR milik masing-masing dari masa ke semasa.

Pertelagahan ini kata Nyalau hanya melambatkan usaha kerajaan untuk menyukat tanah mereka sehingga menyebabkan kelewatan untuk menyukat tanah NCR milik penduduk lain selepas itu.

“Akhir masalah ini akan dijadikan sebagai isu oleh pihak tertentu untuk tujuan politik. Justeru saya meminta penduduk memberi sepenuh kerjasama kepada kerajaan sekiranya kerajaan memulakan kerja menyukat tanah mereka selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pertanian, Mong anak Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi dan Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Jeoffery Baja Ricky Maba.

Tamat.

Hospital Betong rai Hari Raya



Caption:

1. JAMU...Dr Jeffery ketika menjamu makanan yang dihidang pada majlis berkenaan.

2. TAHNIAH...Tetamu jemputan khas sedang menyampaikan hadiah kepada seorang penerima ketika berlangsungnya majlis itu.

By Saleman Senin

BETONG, Isnin (27 Sept) – Persatuan Kebajikan Islam (PERKIP) Hospital Betong telah menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2010 bertempat di Hospital Bahagian Betong baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri seramai 250 orang kakitangan Hospital Betong, PKD dan Pejabat Pergigian itu merupakan aktiviti wajib yang disenarai dalam takwim PERKIP Cawangan Betong.

Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Jeffery Stephen ketika berucap merasmikan majlis itu memberitahu aktiviti ini secara tidak langsung dapat menyemai semangat muhibah dan kerjasama dikalangan kakitangan kesihatan Betong dari masa ke semasa.

“Konsep kunjung-mengunjung juga membolehkan semua kakitangan bertukar-tukar fikiran disamping mengekalkan hubungan tali silaturrahim dikalangan semua kakitangan berbilang kaum di sini.

“Majlis seperti ini haruslah dikekalkan bukan sahaja dalam perayaan ini tetapi juga terhadap semua perayaan yang disambut di Malaysia demi mengeratkan hubungan perpaduan dikalangan semua insan” katanya.

Terdahulu PERKIP cawangan Betong telah menyampaikan beberapa sumbangan dan hadiah kepada kakitangan mereka antaranya ialah Sumbangan Khiarat kepada Penolong Pegawai Perubatan Ebit Seng di atas kematian anak sulungnya baru-baru ini.

Hadiah juga turut disampaikan kepada dua pasangan kakitangan perubatan yang telah berkahwin juga kepada 15 orang kakitangan hospital serta klinik Betong yang berjaya mendapat cahaya mata untuk tahun ini serta tahun lepas.

Hadiah galakkan turut diberikan Munirah binti Seruja yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR dan Sharifah Nur Aliyyah binti Wan Hussin yang mendapat keputusan 4A bagi peperiksaan yang sama.

Hadir sama pada majlis iatu ialah Pegawai Pergigian Bahagian Betong, Dr Dahlia Wati Aripin, dan Pengurus Fasiliti Faber Medi - Serve Hospital Bahagian Betong iaitu Audrey Alexandria.

Tamat.

Kami mahu Taib terus jadi CM - persatuan tuai rumah engkilili


ENGKILILI, Isnin (27 Sept) – Kepimpinan Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud selaku Ketua Menteri bagi meneraju transformasi pembangunan Sarawak nyata masih diperlukan oleh penduduk dalam negeri ini.

Kelmarin, Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili (PTRDKE) telah mengumumkan sokongan penuh mereka terhadap Taib untuk terus menjadi Ketua Menteri bagi meneruskan agenda pembangunan dalam negeri ini.

Pengerusinya Kaunselor Tuai Rumah Roy Edward Entalai berkata Taib wajar disokong oleh penduduk memandangkan beliau mempunyai corak kepimpinan serta pengalaman yang unggul dalam meneraju pembangunan negeri semenjak 30 tahun lepas.

“Penduduk kawasan luar bandar masih memerlukan Taib. Kami mahu Taib terus meneraju Kerajaan Negeri agar kawasan luar bandar khasnya di Engkilili terus dapat membangun selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika berlangsungnya Majlis Merarau Bersama Bishop Aeries Sumping Jinggan di Saint Micheal’s Parish, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman kelmarin.

Selain itu pihaknya juga menyatakan sokongan penuh kepada Dr Johnnical Rayong anak Ngipa untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili menjelang pilihan raya negeri kelak.

Rayong, ADUN Engkilili pada masa sekarang lepas katanya mula mendapat sokongan daripada para pengundi yang tidak menyokong beliau pada pilihan raya negeri tahun 2006 dahulu.

“Beliau mula meraih sokongan daripada pengundi di sini. Justeru kami berharap agar Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) memilih Rayong sebagai calon untuk bertanding mempertahankan kerusi BN iaitu DUN Engkilili pada pilihan raya negeri ini nanti,” menurut beliau.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu Encik William Nyalau anak Badak.

Tamat…..

26 September, 2010

Kaum niaga Cina dapat untung dari pembangunan pesat luar bandar kata Jabu



Caption:

1.UNTUK ALBUM...Jabu (duduk tengah) bersama Uggah (lapan kanan) dan Lawson (tujuh kanan) ketika bersama tetamu khas pada majlis itu malam tadi.

2. RASMI...Jabu (kanan), Empiang (tengah) dan Uggah (kiri) beserta dengan tetamu khas yang lain ketika menyempurnakan upacara pemotongan kek ulangtahun pada majlis itu malam tadi.


BETONG, Ahad (26 Sept) – Proses transformasi pembangunan yang pesat di kawasan luar bandar negeri ini secara tidak langsung telah menguntungkan masyarakat niaga kaum dari segi aspek ekonomi demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Ini kerana proses transformasi pesat di kawasan penempatan penduduk luar bandar yang didiami oleh masyarakat Iban dan Melayu secara tidak langsung akan mengalak aktiviti ekonomi dikalangan mereka dan sekaligus menarik minat pelaburan masyarakat niaga kaum Cina selepas itu.

“Contohnya ialah apabila pembangunan bercorak pertanian komersial seperti getah dilaksana di kawasan luar bandar, masyarakat niaga kaum Cina akan memperoleh keuntungan yang besar daripada kedua-dua kaum masyarakat itu.

“Lagipun harga getah yang kian meningkat pada masa sekarang akan menguntungkan masyarakat kaum Cina sebagai pemborong dan masyarakat Bumiputera seperti Iban sebagai penjual menerusi hasil urusniaga getah terbabit. Ia adalah hasil transformasi pembangunan yang dilaksana oleh kerajaan sebelum itu,” katanya.

Justeru beliau mahu masyarakat niaga kaum Cina mengenepikan persepsi negatif masing-masing terhadap pembangunan pesat yang melanda kawasan luar bandar memandangkan ia bakal memberi impak positif terhadap taraf ekonomi mereka selepas ini.

Jabu yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-75 Penubuhan Persatuan Chung Hua Betong di Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong malam tadi.

Sementara itu beliau juga mahu masyarakat kaum Cina membantu kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh di mata masyarakat dari lain-lain negeri dalam Malaysia di masa akan datang.

“Semua kaum termasuk Cina, Melayu, Dayak dan Orang Ulu harus berusaha bersama kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri termaju dan mempunyai hubungan perpaduan paling kukuh di Malaysia mulai sekarang.

“Ia menjadi kebanggan masyarakat Sarawak selepas itu. Oleh itu saya meminta masyarakat kaum Cina untuk terus seiring dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) demia pembangunan berterusan negeri pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Senator Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Timbalan Presiden Persatuan Chung Hua Bersekutu Sarawak, Lim Ah Ted, Pengerusi Persatuan Chung Hua Betong, Pemanca Kueh Tu Teck dan pengerusi majlis, Charlie Wong.

Jabu menerusi majlis berkenaan mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Chung Hua Betong. Uggah dan Lawson masing-masing turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 dan RM5,000 kepada persatuan terbabit menerusi majlis itu.

Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-75 Penubuhan Persatuan Chung Hua Betong turut diserikan dengan upacara memotong kek ulangtahun, tarian 1Malaysia, persembahan nyanyian dan banyak lagi.

Tamat.

Persatuan Chung Hua berjaya wujud semangat 1Malaysia - Uggah


Caption: TERIMALAH...Uggah sedang menyampaikan angpow kepada seorang warga emas dari Persatuan Chung Hua Betong ketika berlangsungnya majlis itu sambil disaksikan oleh Pemanca Kueh.


BETONG, Ahad (26 Sept) – Persatuan Chung Hua khasnya di Betong telah berjaya mewujudkan semangat 1Malaysia dikalangan masyarakat berbilang kaum di sini menerusi penubuhan sekolah mereka sebelum ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglass Uggah anak Embas ia terbukti apabila pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) oleh pihak Persatuan Chung Hua turut menarik kemasukan murid kaum Melayu dan Iban ke dalam sekolah terbabit.

“Pendidikan di SJK Chung Hua sememangnya memudahkan usaha perlaksanaan konsep 1Malaysia apabila murid kaum Melayu, Cina dan Iban dapat menuntut ilmu di bawah satu bumbung yang sama.

“Saya yakin bahawa jika keadaan ini berterusan maka projek pembangunan di kawasan Betong akan dapat dilaksana dengan penuh lancar. Ia sekaligus memberi manfaat kepada semua kaum di Betong selepas ini,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-75 Penubuhan Persatuan Chung Hua Betong di Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong malam tadi.

Selain itu keadaan politik kaum Cina yang stabil di Betong katanya turut memainkan peranan dalam memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti undi yang tinggi pada setiap pilihan raya negeri atau parlimen yang lepas.

“Masyarakat kaum Cina di Betong sememangnya mahukan pembangunan. Sebab itulah mereka menyumbang kepada kemenangan cemerlang BN di sini pada pilihan raya negeri atau parlimen yang lepas.

“Justeru saya menyeru masyarakat kaum Cina terus berjuang dengan BN demi memastikan Bahagian Betong terus maju seiring dengan lain-lain Bahagian dalam negeri ini di masa akan datang, katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Timbalan Presiden Persatuan Chung Hua Bersekutu Sarawak, Lim Ah Ted, Pengerusi Persatuan Chung Hua Betong, Pemanca Kueh Tu Teck dan pengerusi majlis, Charlie Wong.

Jabu menerusi majlis berkenaan mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Chung Hua Betong. Uggah dan Lawson masing-masing turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 dan RM5,000 kepada persatuan terbabit menerusi majlis itu.

Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-75 Penubuhan Persatuan Chung Hua Betong turut diserikan dengan upacara memotong kek ulangtahun, tarian 1Malaysia, persembahan nyanyian dan banyak lagi.

Tamat.

232 murid sertai perkhemahan beruniform di Kabong



Caption: PANTAU...Apo (kiri) dan Anis (tengah) ketika meninjau aktiviti para peserta pada program itu.

Saleman Senin

BETONG, Ahad (26 Sept) – Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Betong dan PPD Saratok telah menganjurkan Program Perkhemahan Bersepadu Badan Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak 2010 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Alit, Kabong, Betong baru-baru ini.

Program yang melibatkan seramai 232 orang murid Tahun 5 dari 11 buah Bahagian dalam negeri Sarawak ini antaranya ialah Bahagian Kuching, Bahagian Samarahan, Bahagian Sri Aman, Bahagian Sarikei, Bahagian Sibu, Bahagian Miri, Bahagian Bintulu, Bahagian Mukah, Bahagian Limbang, Bahagian Kapit dan Bahagian Betong.

“Tujuannya ialah untuk mencari wakil peserta ke peringkat kebangsaan bagi program yang sama pada tahun depan selaras dengan usaha pihak kementerian bagi mencapai hasrat untuk melahirkan golongan masyarakat bersepadu, berdisplin dan terlatih mengikut kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Usaha ini akan dilaksanakan secara bersepadu di dalam dan luar bilik darjah khasnya seperti yang pihak kita adakan dalam program ini bermula dari 24 September lalu hingga 28 September ini,” katanya jurucakap penganjur ketika ditemui pada program itu.

Selain itu program ini katanya juga memberi pendedahan dan pengalaman kepada ahli-ahli Pasukan Badan Beruniform mengenai aspek perkhemahan secara menyeluruh disamping mempertingkatkan minat murid terhadap kegiatan Pasukan Badan Beruniform.

Malahan program terbabit katanya juga membantu meningkatkan disiplin murid dengan mematuhi peraturan dan undang-undang pelbagai persatuan yang ditubuhkan di sekolah-sekolah rendah masing-masing.

“Sebanyak tujuh buah unit badan beruniform yang telah mengambil bahagian dalam program ini antaranya ialah Pengakap, PBSM, TKRS, Pandu Puteri, Puteri Islam, Briged Putera dan Puteri.

“Untuk menjayakan program ini pihak kita telah menggunakan kemahiran seramai 15 orang tenaga pengajar bertauliah dari kalangan guru aktif berpersatuan dalam mengendalikan program itu,” katanya.

Terdahulu Pegawai Jabatan Pelajaran Sarawak (JPNS), Apo Latit, Penyelia Kumpulan KK JPNS dan Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan PPD Betong, Anis bin Madeli turun padang bagi memantau progres perlaksanaan program itu.

Majlis penutupan Program Perkhemahan Bersepadu Badan Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak 2010 akan dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPNS iaitu Ellen@Manium anak Engang pada 28 September ini.

Tamat.

Projek tetap dibuat walaupun lewat dari jadual - Uggah


Caption: MANFAATKAN...Uggah (tiga kanan) sedang menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Romie (dua kanan) dan Razi (dua kiri) pada majlis itu.


DEBAK (25 Sept) – Kerajaan akan tetap meneruskan perlaksanaan projek pembangunan di sesebuah kawasan walaupun adakalanya ia tidak menetapi jadual siap bina yang ditetapkan sebelum itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglass Uggah anak Embas berkata kelewatan tarikh siap pembinaan projek pembangunan itu mungkin disebabkan oleh faktor pengurusan, demografi dan perhubungan di kawasan sasaran projek terbabit.


“Apabila timbulnya perkara ini rakyat akan mula berfikiran negatif dan menuduh kerajaan gagal menyiapkan sesebuah projek pembangunan di kawasan mereka mengikut tarikh siap yang dijanjikan sebelum itu.


“Dalam perkara ini rakyat di sesebuah kawasan harus befikiran rasional berhubung isu terbabit. Kelewatan projek pembangunan mungkin disebabkan oleh masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan,” menurut beliau.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat Kampung Melayu Debak anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD) di Debak, Betong baru-baru ini.


Selain itu kerajaan yang didokong parti Barisan Nasional (BN) komited dalam melaksanakan usaha menaiktaraf hidup rakyat di seluruh kawasan negara menerusi perlaksanaan Gagasan 1Malaysia.


“Kita akan bekerja untuk mereka dengan berbekalkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kerajaan akan memastikan taraf hidup rakyat dipertingkat dari masa ke semasa menerusi gagasan ini.


“Oleh itu paling penting di sini ialah agar rakyat tidak mudah berfikiran negatif berhubung isu terbabit. Projek pembangunan akan tetap dilaksanakan di kawasan mereka selagi rakyat terus setia di belakang BN,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Pegawai JASA Betong, Tony Malang, Penyelia Kanan KEMAS Betong Norkursaini Bujang, Pengerusi LAKMD, Mohammad Razi Sitam, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak dan ketua kaum di sini.

Tamat.

25 September, 2010

Pemuda dan Wanita SUPP perlu sedia hadapi pilihan raya - harden


Caption: RASMI...Harden (tengah) sambil diapit oleh ahli SUPP Simanggang yang lain ketika memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis berkenaan.


SRI AMAN, Sabtu (25 Sept) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis mahu ahli Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang untuk bersedia menghadapi pilihan negeri yang bakal diadakan dalam masa terdekat kelak.

Katanya parti SUPP harus mempertahankan kerusi mereka terutama sekali di kawasan Dayak seperti DUN Simanggang dan ia menuntut kerjasama utuh dikalangan semua ahli termasuk pergerakan pemuda dan wanita mereka untuk mempertahankan kerusi terbabit selepas ini.

“Semua pihak tahu bahawa pilihan raya negeri akan berlangsung dalam masa terdekat kelak. DUN Simanggang yang menjadi milik SUPP selama ini merupakan salah satu daripada 11 buah kerusi parti berkenaan.

“Justeru saya yakin bahawa kerusi DUN Simanggang seperti lain-lain kerusi milik SUPP akan dapat dipertahankan pada pilihan raya negeri akan datang dengan adanya kerjasama erat dikalangan ahli,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2010 anjuran Pergerakan Pemuda SUPP cawangan Simanggang bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam kelmarin.

Selain itu beliau juga menasihatkan pergerakan pemuda dan wanita SUPP Simanggang untuk lebih rajin turun padang bagi memantau dan meneliti masalah rakyat di kawasan ini selepas ini.

“SUPP Simanggang menerusi pemimpin dan ahli pergerakan pemuda serta wanitanya perlu kerap turun padang agar rakyat di sini dapat meluahkan masalah hidup mereka untuk tindakan selanjutnya selepas itu.

“Dengan berbuat demikian SUPP Simanggang secara tidak langsung akan dapat mendekati hati rakyat dan seterusnya menyakinkan mereka tentang keikhlasan kerajaan dalam membantu menaiktaraf hidup mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Temenggong Tan Chong Meng, Pemanca Sii Toh Peng, Kapitan Kuek Aik Seng, para ahli pergerakan pemuda dan pergerakan wanita SUPP bagi cawangan Simanggang.

Tamat.