Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 August, 2010

Ubah pemikiran kalau nak maju - Wahbi


Caption: PENGHARGAAN...Frida (kanan) ketika menyampaikan cenderahati kepada Wahbi (kiri) sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Dr James, Razi dan Penghulu Kifrawi pada program tersebut.

DEBAK, Selasa (10 Ogos) – Penduduk kawasan Saribas digesa untuk mengubah gaya pemikiran masing-masing sekiranya mahu keluar dari kelompok kemiskinan di masa akan datang kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi.

Menurut beliau terdapat sebilangan penduduk yang cuba menolak pelbagai projek pembangunan daripada kerajaan disebabkan oleh tahap pemikiran mereka yang telah masih lapok selama ini.

“Pembangunan adalah merupakan satu perkara yang baik. Pembangunan memberi peluang kepada penduduk khasnya di kawasan Saribas untuk mengubah taraf hidup masing-masing termasuk dari segi perolehan sosio-ekonomi sepanjang masa.

“Bagaimanapun jika pemikiran mereka masih di tampok lama maka pembangunan tidak akan memberi kesan positif terhadap kehidupan diri masing-masing. Lebih malang lagi ialah jika terdapat pihak tertentu yang bertindak menghasut mereka untuk menolak segala projek pembangunan yang cuba diusahakan oleh kerajaan,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat 2010 anjuran Jabatan KEMAS Bahagian Betong di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Kampung Melayu, Debak, Betong baru-baru ini.

Selain itu Wahbi juga menasihatkan penduduk Saribas untuk sentiasa mengambil tahu tentang segala program anjuran kerajaan demi mengelakkan timbulnya prasangka negatif mereka terhadap kerajaan selepas ini.

“Penglibatan penduduk dalam program anjuran kerajaan amat penting agar mereka faham tentang segala dasar pembangunan kerajaan yang sememangnya menguntungkan mereka selepas itu.

“Lihat sahaja bukti pembangunan yang sedang dilaksanakan di sini (Saribas). Menerusi dasar berkenaan penduduk akan faham tentang faedah yang bakal mereka peroleh menerusi projek pembangunan berkenaan di masa akan datang,” menurut beliau.

Wahbi menerusi majlis berkenaan telah menyumbangkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Belia Kampung Debak manakala RM5,000 lagi kepada Tabung Khairat bagi setiap ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan Saribas.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sarawak kawasan Debak, Dr.James Luing, Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Frida Suntik, Pengerusi Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak, Ricky Mohammad Razi Sitam, Penghulu Kampung Debak, Abang Kifrawi Abang Rukaili.

Program Mesra Rakyat 2010 ini turut diselitkan dengan sesi ceramah keselamatan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan ceramah kesihatan daripada Jabatan Kesihatan Betong.

Tamat

No comments:

Post a Comment