Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 August, 2010

Tolong selesaikan tiga masalah kami - penduduk Jalan Batang Lupar


Caption: PERLU DITURAP...Pembayar cukai pintu di Jalan Batang Lupar, Sri Aman mahu jalan rosak di penempatan mereka diturap kembali oleh pihak berkuasa tempatan selepas ini.

SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) – Penduduk dari kawasan penempatan Jalan Batang Lupar, Sri Aman memohon jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang melanda penduduk di situ sebelum ini.

Seorang penduduk, Sarah Wong, memberitahu penduduk di kawasan Jalan Batang Lupar mahu pihak berkuasa tempatan untuk memperbesarkan kawasan parit dan memperbaiki kerosakan jalan selain mempertingkatkan lagi perkhidmatan kualiti pengutipan sampah di situ selepas ini.

“Masalah ini pernah diadukan kepada pihak berkuasa tempatan terutama sekali dalam hal membesarkan kawasan parit di Jalan Batang Lupar bagi mengelakkan berlakunya banjir semenjak dua tahun lepas.

“Pihak berkuasa sememangnya ada melakukan kerja memperbesarkan parit di sini namun kawasan yang mereka gali bukanlah punca penyumbang utama terhadap isu banjir yang sering melanda kawasan penempatan penduduk Jalan Batang Lupar. Mereka gali di kawasan longkang yang salah,” katanya.

Kesilapan pihak berkuasa tempatan memperbesarkan kawasan longkang yang salah menurut beliau menyebabkan banjir masih melanda kawasan penempatan mereka sehingga sekarang apabila berlakunya hujan lebat bagi tempoh masa yang panjang.

Selain itu Sarah juga mendakwa perkhidmatan kutipan sampah oleh pihak berkuasa tempatan tidak dilakukan dengan penuh efisyen apabila sampah hanya lebih kerap dikutip di kawasan luar simpang masuk menuju ke penempatan mereka dan bukannya ke dalam.

Walaupun pihak berkuasa tempatan ada melakukan kutipan sampah dari rumah ke rumah sebelum ini namun tindakan lebih kerap mengutip sampah dari tong di luar kawasan simpang jalan menurut beliau secara tidak langsung menyebabkan kawasan tersebut kotor.

“Saya juga meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menurap kembali laluan jalan berlubang dan pecah di kawasan penempatan mereka demi kebaikan beberapa orang penduduk di situ selepas ini.

“Kami, penduduk Jalan Batang Lupar membayar cukai pintu sebanyak RM198 setahun. Jadi adalah wajar sekiranya pihak berkuasa tempatan menyelesaikan kesemua masalah berkenaan demi kebaikan penduduk kami di sini selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment