Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 August, 2010

Serah kepercayaan kepada kerajaan untuk bangunkan tanah NCR


Caption: SELAMAT DATANG...Nyalau (tengah) ketika diiringi penduduk sebaik sahaja tiba di rumah panjang berkenaan bagi merasmikan program terbabit.


LUBOK ANTU, Sabtu (14 Ogos) – Penduduk Iban yang tinggal di kawasan pendalaman dinasihat agar tidak menolak tawaran kerajaan untuk memajukan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masing-masing bagi tujuan pertanian komersial selepas ini.

Ini kerana projek pertanian komersial seperti penanaman kelapa sawit, getah dan sebagainya merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup penduduk Iban di kawasan pendalaman.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Baba, Nanga Kapu, Lemanak, Lubok Antu baru-baru ini.

Katanya terdapat penduduk Iban yang masih ragu-ragu terhadap tawaran berkenaan disebabkan oleh rasa bimbang masing-masing berhubung dakwaan palsu daripada pihak tertentu yang menuduh kerajaan mahu merampas tanah mereka sebelum ini.

“Kerajaan sama sekali tidak pernah merampas tanah NCR penduduk. Kita sebaliknya menawarkan pertolongan kepada penduduk untuk mempertingkat tahap kebajikan hidup mereka dengan membangunkan tanah NCR masing-masing menerusi projek pertanian komersial.

“Adakah berbaloi bagi penduduk mendengar hasutan pihak tertentu berhubung isu ini? Golongan terbabit tidak akan rugi sebaliknya memperoleh keuntungan dari segi politik jika penduduk tidak mahu menyertai projek pembangunan tanah yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu penyertaan penduduk dalam projek pembangunan tanah terbabit kata Nyalau juga secara tidak langsung akan membolehkan tanah NCR milik masing-masing disukat dan disempadankan oleh kerajaan.

Ia kata beliau akan memudahkan usaha kerajaan untuk membina kemudahaan jalan raya dan kemudahan asas yang lain apabila projek pertanian komersial dilaksanakan ke atas tanah NCR mereka selepas itu.

“Bagaimanpun pastikan syarikat pemaju yang ingin memajukan tanah mereka secara usahasama dengan kerajaan berkenaan berdaftar dengan KeMenterian Kemajuan Tanah Sarawak.

“Oleh itu jangan sesekali membuat perjanjian dengan syarikat pemaju atau agensi yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kemajuan Tanah jika ingin memajukan tanah NCR masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Lubok Antu, James Roselly Robert Resa, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA Batang Ai, Lindalyn Kawi, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat....

No comments:

Post a Comment