Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 August, 2010

Semua pihak harus turun padang bantu rakyat - Masir


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan bantuan kepada penerima sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Rohana, Masir, Walter, Rickson dan Whelton pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (27 Ogos) – Semua pihak terutama sekali ketua kaum harus turun padang untuk membantu kerajaan mencari dan mendaftarkan golongan penduduk yang memerlukan bantuan kebajikan menerusi sistem e-kasih selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kebajikan Kemasyarakatn Azam Bahagian Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Katanya ketua kaum seperti Tuai Rumah dan Penghulu memainkan peranan amat penting bagi tujuan ini memandangkan mereka merupakan golongan yang paling hampir mendampingi penduduk di kawasan masing-masing dari masa ke semasa.

“Saranan mengenai usaha pendaftaran dalam e-kasih ini bukan sahaja ditujukan kepada ketua kaum malahan juga kepada penduduk berkemampuan dalam kawasan Parlimen Sri Aman.

“Jika ada penduduk miskin tegar atau Orang Kurang Upaya di kawasan penempatan masing-masing maka semua pihak terbabit haruslah membantu mendaftarkan mereka dalam sistem e-kasih. Kerajaan akan memeriksa dan seterusnya memberi bantuan kebajikan kepada pemohon yang layak,” menurut beliau.

Selain itu Masir juga menasihatkan penduduk miskin tegar untuk memohon bantuan perniagaan menerusi Program Masyarakat Penyayang (MAYANG), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program MAYANG katanya boleh menawarkan bantuan ekonomi kepada pemohon berkelayakan dengan tujuan untuk mengalakkan mereka berdikari dan seterusnya berniaga di kawasan masing-masing.

“MAYANG merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk membawa golongan penduduk miskin tegar keluar dari kepompok kemiskinan di masa akan datang. Ia sekaligus membolehkan kerajaan mencapai matlamat untuk membasmi kemiskinan menerusi perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah menyempurnakan upacara penyerahan bantuan berupa 250 hamper dan 250 kotak bungkusan makanan bernilai RM12,000 hasil sumbangan Masir kepada 216 orang penerima bantuan aktif di Mini Stadium Sri Aman.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman turut menyalurkan bantuan berupa wang dan dua buah kerusi roda kepada penerima bantuan aktif menerusi majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sri Aman, Rohana Isnawi, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Rickson Jauu.

Tamat....

No comments:

Post a Comment