Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 August, 2010

Selesai isu Guan Eng demi rakyat - Wahbi

Caption: TERIMA KASIH...Frida (kiri) sedang menyampaikan cenderahati kepada Wahbi (kanan) sambil disaksikan oleh Norkusaini Bujang (kanan) dan Rohani (kiri) pada majlis itu

BETONG, Khamis (26 Ogos) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi melahirkan rasa terkilan berhubung isu bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sambil mengenepikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Terdahulu Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di Tasek Gelugor, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail ketika dipetik dari Utusan Malaysia sebelum ini mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu.

Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

“Isu penyebutan nama beliau (Guan Eng) dalam doa khutbah solat Jumaat jika tidak ditangani segera oleh semua pihak akan boleh menimbulkan kemarahan atau kebencian dikalangan orang Melayu dalam negara ini.

“Justeru saya menasihati semua rakyat agar mengambil ikhtibar berhubung kejadian berkenaan. Mereka perlu berwaspada dan berfikir panjang sebelum memilih pihak yang layak untuk memerintah Kerajaan Negeri selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat 2010 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Betong bertempat di Masjid Nuur Rabani Kampung Sebemban Betong baru-baru ini.

Sementara itu Wahbi juga menasihatkan umat Islam dalam kawasan Saribas untuk meneruskan aktiviti kebajikan masing-masing walaupun ketika berlangsung ibadat puasa pada Bulan Ramadan ini.

“Aktiviti gotong-royong membersihkan kampung misalnya perlu diteruskan oleh umat Islam walaupun ketika berpuasa kerana ia bertujuan untuk menceriakan lagi suasana penempatan masing-masing.

“Lagipun beramal kebajikan pada bulan puasa penting untuk mempertingkatkan iman orang Islam pada bulan Ramadan. Oleh itu umat Islam tidak digalak untuk menjadikan puasa sebagai alasan tidak mahu mengerjakan aktiviti kebajikan masing-masing selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Frida Suntik, Pegawai Tadbir Sarawak Betong, Rohani Sejel, Ketua Kampung Sebemban, Merawi Lepor, Pengerusi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting Sebemban dan Pengerusi Belia Sebemban, Roslan Bahari.

Tamat.

No comments:

Post a Comment