Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 August, 2010

Projek sukat tanah NCR bermula bulan September ini - Harden


Caption: TAMAT TAKLIMAT...Harden (duduk tengah) bersama (dari kanan sekali) Rayong, Nyalau, Majuan dan Mussen ketika tamat sesi taklimat pembangunan di sini.


SRI AMAN, Isnin (23 Ogos) – Kementerian Kemajuan Tanah menerusi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan memulakan kerja menyukat Tanah Hak Adat Bumiputera atau NCR milik penduduk bermula pada bulan September tahun ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Taklimat Pembangunan Tanah dan Perbincangan Isu-Isu Tanah Kawasan Sri Aman di Bilik Mesyuarat, Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman hari ini.

Menerusi peruntukan bernilai RM20 juta yang diterima oleh Kerajaan Negeri daripada pihak Kerajaan Pusat pada 17 Ogos lepas, pihak kementerian menurut beliau akan memulakan projek Fasa I bagi tujuan usaha terbabit pada bulan berkenaan kelak.

“Pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak menerusi projek Fasa I bermula bulan September ini nanti bakal mengenalpasti sempadan tanah NCR milik penduduk dan tanah milik Kerajaan Negeri.

“Ia juga bakal membabitkan kerja mengenalpasti perimeter tanah NCR milik penduduk. Selepas selesai projek Fasa I ini nanti maka barulah kerajaan akan memulakan kerja menyukat dan membuat surat tanah NCR milik penduduk menerusi projek Fasa II,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kerja menyukat Tanah NCR milik penduduk akan bermula dari kawasan yang dikenalpasti tidak mempunyai sebarang masalah perebutan tanah dikalangan pemiliknya yang selepas ini.

“Kawasan Undop, Batu Lintang dan Bukong, Engkilili akan muncul sebagai lokasi pertama di Bahagian Sri Aman bagi tujuan terbabit kelak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang.

Sementara itu pula, Harden turut mengumumkan bahawa sejumlah RM1.365 juta wang pampasan bakal di bayar kepada penduduk bagi tujuan projek pembinaan jalan sepanjang 22 kilometer yang menghubungkan kawasan Brayun, Basi dan Lubok Tedong selepas ini.

“Manakala itu sejumlah RM1.24 juta wang pampasan sudah dibayar kepada penduduk untuk tujuan pembinaan Jalan Ulu Skrang sepanjang 25 kilometer yang bakal menghubungkan kawasan Murat, Darai dan Pancor.

“Kedua-dua projek pembinaan jalan raya ini nanti iaitu Jalan Ulu Skrang dan Brayun – Basi – Lubuk Tedong bakal diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) selepas ini nanti,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie.

Terdahulu, taklimat yang diadakan sekali dalam tiga bulan itu bertujuan untuk membincangkan projek pembangunan, isu di setiap kawasan dalam Bahagian Sri Aman dan projek yang telah dilulus bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment