Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2010

Polis Sri Aman rampas dadah, pasangan suami isteri ditahan


Caption: TUMPAS...Jusoh (tiga kanan) bersama pegawai kanan IPD Sri Aman ketika menunjukkan hasil rampasan dadah kepada pemberita pada sidang media kelmarin.


SRI AMAN, Sabtu (7 Ogos) – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah berjaya merampas sejumlah 73 papan pil Erimin 5 dalam satu kes tangkapan yang berlaku jam 3.30 petang pada 4 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad pada sidang media yang berlangsung di IPD Sri Aman kelmarin memberitahu kesemua pil berkenaan dirampas daripada pasangan suami isteri yang sedang dalam perjalanan dari Kuching ke Sibu pada waktu tangkapan berkenaan.

“Kesemua pil Erimin 5 yang dirampas itu mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM7,300. Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” menurut beliau.

Selain itu pihak polis kata Jusoh juga turut merampas dua paket dadah jenis Ketamine dengan berat kasar 11.2 gram daripada pasangan suami isteri berkenaan.

Menerusi ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua saspek terbabit kata beliau, pihak polis mendapati bahawa si suami yang berumur 24 tahun telah dikesan positif dadah dalam tangkapan tersebut.

“Manakala itu isterinya yang berumur 29 tahun pula tidak dikesan sebarang dadah menerusi ujian air kencing ini. Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua saspek terbabit kini direman selama tujuh hari untuk membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut berhubung kes pil Erimin 5 dan dadah Ketamine berkenaan.

“Justeru saya meminta kerjasama daripada orang ramai untuk sama-sama membantu pihak polis dalam menumpaskan aktiviti pengedaran dadah ini dengan memberikan maklumat berhubung jenayah berkenaan kepada kita selepas ini,” katanya.

Tamat.

1 comment: