Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 August, 2010

Peniaga Bazaar Ramadan perlu sentiasa letak tanda harga


Caption: TINJAU...Murni (tengah) bersama Roslan (kanan sekali) ketika melakukan pemeriksaan bersama di Bazaar Ramadan Sri Aman bermula jam 3 petang pada Selasa lalu.

SRI AMAN, Khamis (19 Ogos) – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Bahagian Sri Aman mengingatkan para peniaga di Bazaar Ramadan Sri Aman untuk sentiasa meletakkan tanda harga pada jualan makanan dan minuman masing-masing sehingga tamat aktiviti bazaar itu nanti.

Ketua cawangan PPDNKK Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Pemeriksaan Bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan Majlis Daerah Sri Aman di lokasi Bazaar Ramadan Sri Aman petang Selasa lepas.

Menurut beliau tindakan peniaga meletak tanda harga pada produk jualan makanan dan minuman masing-masing membolehkan penduduk untuk membuat pilihan sebelum membeli produk mereka pada aktiviti Bazaar Ramadan berkenaan.

“Peniaga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah kesalahan Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 iaitu tidak meletak atau melekatkan label, tag atau tanda harga pada barang-barang yang dipamer bertujuan untuk diperdagangkan.

“Atas kesalahan itu ini peniaga boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut beliau sambil menambah pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan ke Bazaar Ramadan di Sri Aman, Betong atau Saratok selepas ini.

Sementara itu Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Murni Hayati Ali yang turut sama menyertai pemeriksaan terbabit memberitahu bahawa peniaga haruslah memastikan makanan dan minuman yang dijual oleh mereka berada pada tahap kebersihan terbaik sebelum dijual kepada penduduk.

Peniaga di Bazaar Ramadan Sri Aman katanya harus memastikan makanan yang dimasak tidak terlalu mentah dan boleh bertahan (tidak basi) sehingga tamat sesi penjualan juadah bagi tempoh terakhir aktiviti berkenaan pada setiap hari.

“Pihak Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman menerusi pemeriksaan bersama ini mahu memastikan tidak berlakunya sebarang jangkitan penyakit dikalangan pengguna menerusi juadah makanan dan minuman yang dijual oleh peniaga.

“Kita juga mahu mengelakkan berlakunya masalah keracunan makanan dikalangan pengguna disebabkan oleh kelalaian peniaga. Justeru diharap agar peniaga bazaar terbabit dapat menyediakan juadah makanan dan minuman yang bersih dan bebas kuman sepanjang sambutan Bulan Ramadan ini,” katanya.

Terdahulu aktiviti Bazaar Ramadan 2010 anjuran Majlis Daerah Sri Aman ini telah menyaksikan pembukaan sebanyak 84 buah tapak gerai bagi tujuan terbabit menerusi bayaran deposit sebanyak RM30 dengan kutipan harian sebanyak RM4.

Tamat.

No comments:

Post a Comment