Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2010

Kerajaan berazam siapkan 244 km jalan menjelang akhir tahun ini



Caption:

1.TERIMALAH...Shafiee (kanan) menyampaikan replika kunci rumah panjang kepada Tr Noria (tengah) sambil disaksikan oleh Jabu (dua kanan) dan tetamu kehormat yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.

2. INGIN TAHU...Shafiee (kanan sekali) bersama Jabu (kiri beliau) ketika meninjau salah satu ruang bilik yang terdapat di rumah panjang berkenaan bersempena dengan majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (6 Ogos) – Kerajaan berazam untuk menyiapkan pembinaan sepanjang 244 kilometer jalan raya dalam seluruh negeri Sarawak menjelang akhir tahun ini di bawah pelan pembangunan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal berkata sehingga kini kerajaan telah pun berjaya menyiapkan pembinaan sepanjang 17.1 kilometer jalan raya di seluruh negeri ini.

“Bagaimanapun kerajaan menghadapi kesukaran untuk menyiapkan usaha pembinaan jalan raya berkenaan berdasarkan kepada faktor cuaca dan penyediaan bekalan asas untuk tujuan itu.

“Namun kedua-dua masalah ini bukanlah menjadi halangan utama untuk pihak kerajaan melaksanakan usaha pembinaan kemudahan jalan raya ini. Kita yakin bahawa kerajaan akan mampu menyiapkan kerja ini menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sebaik sahaja tamat Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Noria Ampat, Entulang Danau di Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya menerusi NKRA berkenaan, sejumlah 3,639 buah rumah dalam seluruh negeri Sarawak telah pun disalurkan dengan bekalan air bersih manakala 1,090 buah rumah lagi pula disalurkan dengan kemudahan elektrik.

“Malah kerajaan juga telah berjaya menyiapkan sebanyak 1,437 buah unit rumah bantuan dalam seluruh negeri ini menerusi pelan pembangunan NKRA berkenaan. Secara keseluruhannya terdapat 14,000 buah unit rumah bantuan akan siap pada penghujung tahun ini dalam seluruh negara dan sebahagiannya adalah di Sarawak,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda Pertanian, Mong Dagang, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan pegawai kerajaan di sini.

Terdahulu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukan sebanyak RM560,000 untuk membina semula Rumah Noria Ampat, Entulang Danau yang musnah dalam kejadian kebakaran pada Oktober 2008.

Tamat.

No comments:

Post a Comment