Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 August, 2010

Kempen Rayuan Hari Pahlawan dilancar



Caption:

1. SUMBANG...Shamshuddin (tengah) sedang memasukkan sumbangan wang ke dalam tabung sambil disaksikan oleh Mondah (dua kanan) pada majlis itu.

2. UNTUK ALBUM....Shamshuddin (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Monday (kanan sekali) dan tetamu yang lain sebaik sahaja tamat majlis.

SRI AMAN, Isnin (23 Ogos) – Masyarakat umum dituntut untuk menghargai jasa dan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh bekas tentera ketika mempertahankan negara dari ancaman musuh selama ini.

Untuk itu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak telah melancarkan Kempen Rayuan Hari Pahlawan 2010 Peringkat Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Mejar Monday Juhid berkata Sri Aman merupakan lokasi kelima bagi tujuan perlaksanaan kempen terbabit yang telah bermula semenjak 1 Julai lalu hingga ia tamat pada 30 September kelak.

Kempen ini menurut beliau bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya erti sambutan Hari Pahlawan untuk bekas tentera yang pernah berkorban mempertahankan negara dari serangan musuh pada masa dahulu.

“Jasa dan pengorbanan bekas tentera dalam mempertahankan negara seolah-olah dilupakan oleh masyarakat apabila terdapat masih ramai di antara mereka yang tidak mengetahui tentang kewujudan Hari Pahlawan di negara ini.

“Oleh itu saya menggesa ahli PBTM khususnya di Sri Aman untuk turun padang bagi memberitahu masyarakat tentang erti sambutan Hari Pahlawan berkenaan selepas ini,” katanya sambil menambah bahawa media memainkan peranan yang penting bagi menghebahkan sambutan Rayuan Hari Pahlawan dikalangan masyarakat.

Selain itu Monday juga mengalakkan ahli PBTM cawangan Sri Aman untuk membawa tabung bagi tujuan kutipan sumbangan wang dikalangan masyarakat disamping menjual Bunga Raya yang melambangkan jasa dan pengorbanan bekas tentera terhadap mereka sepanjang berlangsungnya kempen terbabit ini nanti.

Wang sumbangan daripada masyarakat ini nanti katanya akan digunakan oleh pihak jabatan untuk membantu kebajikan hidup golongan bekas tentera dan veteran yang mengalami kesusahan selepas ini.

“Ahli PBTM perlu berfikiran positif ketika membantu menghebahkan Rayuan Hari Pahlawan dan bukannya bersikap negatif iaitu malu serta enggan melakukan kerja berkenaan kerana faktor lanjut usia.

“Bagaimanapun wang sumbangan bukan menjadi ukuran utama dalam kempen ini. Paling penting ialah masyarakat perlu menghargai setiap bekas tentera di atas pengorbanan mereka ketika mempertahankan negara,” katanya.

Majlis pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji sambil disaksikan oleh Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Timbalan Yang Dipertua PBTM Sarawak, Nalang Selingau, Temenggung Kanang Langkau, Penerima Pingat George Cross, Awang Raweng dan Penerima Pingat Panglima Gagah Berani, Beliang Bali.

Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak menerusi majlis itu juga turut menyampaikan bantuan wang khairat dan wang bantuan persekolahan kepada tiga orang penerima dalam majlis berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment