Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 August, 2010

Jalan salahkan YB kalau MRP lambat datang - Bujang Mudin

SRI AMAN, Isnin (23 Ogos) – Penduduk tidak harus menyalahkan wakil rakyat di kawasan masing-masing sekiranya lambat menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang telah diluluskan oleh wakil rakyat mereka sebelum itu.

Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin berkata wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya mengumum dan meluluskan MRP yang dipohon oleh penduduk sebelum permohonan terbabit dihantar ke Pejabat Daerah bagi tujuan pemprosesan lanjut.

“Pihak Pejabat Daerah akan memulakan kerja menyiasat tentang latar belakang pemohon seperti persatuan, JKKK sebagainya sama ada ‘mereka’ benar-benar wujud dan mempunyai ahli.

“Proses ini akan memakan masa tiga hingga empat bulan sebelum pihak Pejabat Daerah membuat perakuan terhadap permohonan berkenaan. Permohonan yang sudah mempunyai perakuan daripada Pejabat Daerah akan dihantar ke Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Pihak Jabatan Ketua Menteri kata Bujang akan membuat pemeriksaan lanjut terhadap permohonan MRP yang sudah mempunyai perakuan Pejabat Daerah untuk tujuan kelulusan atau tidak diluluskan selepas itu.

Sekiranya pihak Jabatan Ketua Menteri meluluskan permohonan terbabit maka sebuah waran MRP akan dikeluarkan bagi tujuan pengagihan dikalangan penerima oleh wakil rakyat berkenaan.

“Bagaimanapun jika pihak Jabatan Ketua Menteri tidak meluluskan permohonan berkenaan (MRP) maka bakal penerima akan diminta untuk menukar atau menganti semula jenis permohonan berkenaan bagi tujuan kelulusan semula di masa akan datang.

“Justeru saya berharap agar penjelasan ini tidak akan menimbulkan syak wasangka penduduk terhadap wakil rakyat masing-masing sekiranya MRP yang mereka pohon lambat sampai kepada mereka selepas ini,” menurut beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kerajaan DUN Lingga di Pejabat Daerah Sri Aman hari ini.

Beliau juga menambah bahawa penerima MRP perlu mengemukakan penyata kewangan masing-masing kepada pihak Pejabat Daerah selepas menggunakan MRP yang diterima oleh mereka demi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan peruntukan itu di masa akan datang.

Terdahulu ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri menerusi majlis itu telah menyampaikan cek MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM193,000 kepada 34 buah pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan JKKK dalam kawasan Sri Aman.


Hadir sama ialah Penghulu Haji Mohd Salleh Haji Kawi, Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Bakthiar Mathan dan Pegawai JASA DUN Lingga, Sulaiman Amut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment