Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2010

Jabu mohon bantuan dari kerajaan untuk naiktaraf hidup nelayan Lingga

LINGGA, Jumaat (6 Ogos) – Penduduk dari kawasan daerah kecil Lingga bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan dari Sungai Batang Lupar Sri Aman untuk menampung sara hidup keluarga masing-masing.

Justeru Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang memohon Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memberi bantuan berupa pukat kepada 173 orang nelayan berdaftar di kawasan Lingga selepas ini.

“Malahan kita juga memohon pihak kementerian untuk membina dua buah Jermal iaitu kolong atau pondok yang didirikan di sungai bagi tujuan penangkapan ikan terutama sekali jenis Ikan Terubuk oleh nelayan Lingga di sungai terbabit.

“Dengan berbuat demikian nelayan dari kawasan Lingga dan Sri Aman juga akan dapat menjadikan dua buah Jermal terbabit bagi tujuan penangkapan ikan di sungai berkenaan selepas ini,” katanya.

Beliau turut menambah usaha ini secara tidak langsung akan dapat memperhebatkan lagi usaha pembangunan ekonomi dalam kawasan Lingga khasnya terhadap penduduk kawasan Kampung Baru Pulau Seduku di masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pada Program Lawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal ke tapak Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok Kampung Baru Pulau Seduku di daerah kecil Lingga, Sri Aman hari ini.

Selain itu Jabu juga mencadagkan agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina sebuah dermaga perdagangan yang terletak di sungai berselebahan dengan kawasan Kampung Baru Pulau Seduku terbabit.

“Sebagai langkah sokongan untuk tujuan ini, kerajaan juga sudah mempunyai langkah dan usaha penyelidikan bagi memastikan Ikan Terubuk di Sungai Batang Lupar Sri Aman dapat dihasilkan secara mampan demi kebaikan semua pihak.

“Malahan kerajaan juga akan menjadikan Pulau Seduku sebagai pusat pemuliharaan dan perlindungan hidupan Sungai Batang Lupar. Justeru kita berharap agar usaha ini akan dapat menaiktaraf hidup penduduk Lingga dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal, Timbalannya Datuk Joseph Entulu Belaun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Haji Julzilman Basir.

Tamat.

No comments:

Post a Comment