Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2010

Isu sejarah komunis di Sarawak - DAP tak prihatin kata Jabu


Caption: SIMBOLIK...Jabu (belakang) ketika mengiringi Shafiee melekatkan plat perasmian program di Rumah Panjang Entulang Danau hari ini.


SRI AMAN, Sabtu (7 Ogos) – Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) semestinya tidak prihatin dengan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Sarawak ketika kebangkitan semula komunis yang disebabkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimatan Utara (PKKU) di negara ini bermula dari tahun 1968 hingga 1989 dahulu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata ia terbukti apabila pihak DAP tidak menyuarakan sebarang bantahan terhadap hasrat bekas pemimpin PKM iaitu Ching Peng yang mahu pulang ke Malaysia bermula dari tahun 2000 hingga 2008 lepas.

“Rakyat Sarawak ketika era itu banyak mengalami kesengsaraan disebabkan oleh PKKU (dengan kerjasama PKM) yang sering menganggu hidup orang Iban di kawasan Ulu Sungai sehingga menyebabkan kematian 21 orang Penjejak Hutan Iban.

“Kini beliau (Ching Peng) mahu kembali ke Malaysia dan DAP hanya mendiamkan diri? Tindakan mereka ini seolah-olah menghina kesengsaraan yang kita rasai pada waktu itu dan ia sama sekali tidak boleh diterima oleh kita iaitu penduduk Sarawak,” kata beliau.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Noria Ampat, Entulang Danau di Sri Aman kelmarin.

Tindakan DAP kata beliau seolah-olah mengambarkan bahawa Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) tidak sensitif dengan kesusahan yang dirasai oleh penduduk Sarawak ketika era keganasan komunis sehingga menjurus kepada penubuhan RASCOM (Rajang Security Command) di Sibu pada tahun 1972 dahulu.

“Jika sensitiviti penduduk Sarawak berhubung isu keganasan komunis tidak diambil endah oleh mereka sebelum itu jadi bagaimana pula sekiranya pihak berkenaan berjaya mengambilalih tampuk pemerintahan negeri ini nanti pada masa akan datang?

“Penduduk Sarawak harus meneliti sedalam-dalamnya gaya politik yang cuba dibawa oleh pihak terbabit ke dalam negeri kita selepas ini. Masa depan hidup penduduk Sarawak bergantung sepenuhnya kepada faktor terbabit,” katanya.

Jabu juga mendakwa pihak pembangkang tidak menghormati penduduk Sarawak apabila memperlekehkan adat resam dan budaya hidup mereka terutama sekali kaum Iban ketika berkempen di rumah panjang kaum berkenaan sebelum itu.

Kenyataan Presiden PAS, Dato Sri Haji Abdul Hadi Awang kata beliau yang mendakwa bahawa Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada tahun lepas disebabkan oleh kaum Iban masih memakai ‘sirat’ (cawat) jelas menunjukkan bahawa parti pembangkang memandang rendah penduduk Sarawak selama ini.

“Saya tidak nampak orang Iban masih memakai cawat pada masa sekarang. Justeri saya menyeru penduduk Sarawak untuk menolak sepenuhnya kedatangan parti pembangkang ke kawasan mereka berkenaan selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal telah menyerahkan replika kunci kepada Tr Noria Ampat, Rumah Panjang Entulang Danau yang mendapat bantuan percuma bernilai RM560,000 daripada kerajaan bagi tujuan pembinaan semula rumah panjang mereka yang musnah dalam kejadian kebakaran pada tahun 2008 lepas.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda Pertanian, Mong Dagang, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan pegawai kerajaan di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment