Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 August, 2010

Hubungan rakyat dan BN perlu rapat - Wahbi


Caption: TUNAI IBADAT...Wahbi ketika mengimamkan solat tarawih bersama rakyat di Masjid Kampung Tui pada program berkenaan.


DEBAK, Rabu (25 Ogos) – Hubungan antara rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas perlu diperkukuhkan lagi sebelum tibanya pilihan raya negeri kelak.

Wakil rakyatnya, Dr Haji Wahbi Junaidi berkata ini penting demi membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan Saribas sebelum dan selepas pilihan raya itu nanti.

Tanpa hubungan terbabit, BN akan mengalami kesukaran untuk melaksana pelbagai projek pembangunan yang mencakupi penyediaan kemudahan jalan raya, bekalan elektrik luar bandar, air bersih dan sebagainya.

“Sebab itu menerusi Program Ziarah Ramadan ini saya telah mengambil kesempatan untuk turun padang bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara BN dan rakyat dalam kawasan DUN Saribas.

“Hubungan antara rakyat dan kerajaan BN perlu diperkukuhkan sepanjang masa agar matlamat kita untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat dalam DUN Saribas dapat dicapai selepas ini,” katanya ketika berucap ringkas pada Program Ziarah Ramadan bertempat di Masjid Kampung Tui, Debak baru-baru ini.

Selain itu Wahbi juga menasihatkan penduduk Kampung Tui agar terus bersabar berhubung projek pembaikan semula jalan ban antara Kampung Mangut ke Tui yang kini 70 peratus siap.

Kerajaan BN katanya tetap menyelesaikan mana-mana projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat selama ini walaupun perlaksanaan projek itu memakan masa yang amat panjang.

“Kerajaan melaksana projek pembangunan secara bersistematik dan teratur. Usaha sebegini tidak boleh dilaksana secara melepaskan batuk di tangga kerana kita mahu hasil pembangunan berkenaan memberi impak secara menyeluruh terhadap rakyat selepas itu,” katanya.

Terdahulu beliau bersama rombongan telah bersama penduduk untuk menyempurnakan majlis berbuka puasa, ucapan Takzirah Ramadan, bertahlil dan berdoa di Dewan Perpaduan Kampung Serabang sebelum berangkat ke Masjid Kampung Tui untuk mengimamkan sembahyang Isya serta sunat terawih.

Tamat.

No comments:

Post a Comment