Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 August, 2010

Hati-hati beli emas dari org tak dikenal

SRI AMAN, Selasa (10 Ogos) – Penduduk dari kawasan Lemanak Tengah, Lubok Antu mendakwa bahawa diri mereka ditipu oleh sekumpulan individu dari negara jiran yang dipercayai menjual barang kemas palsu kepada mereka kira-kira dua minggu lepas.

Bekas ketua kaum dari kawasan Lemanak iaitu Mujah anak Umpeng ketika dihubungi Utusan Sarawak memberitahu kumpulan terbabit berkenaan telah menggunakan sebuah kenderaan dengan nombor plat pendaftaraan negara jiran untuk menjual barang kemas palsu mereka kepada penduduk rumah panjang di kawasan Lemanak.

Kumpulan yang tediri daripada dua lelaki dan dua wanita ini katanya dipercayai menjual barang kemas berupa gelang tangan, rantai dan anting yang diperbuat dari emas palsu dengan nilai harga antara RM400 hingga RM1,000 kepada penduduk di Lemanak.

“Mereka menawarkan bayaran secara beransur-ansur kepada penduduk yang membeli barang kemas mereka dan berjanji akan datang semula beberapa minggu kemudian untuk mengutip selebihnya wang bayaran.

“Bagaimanapun kumpulan terbabit tidak pernah datang kembali kepada penduduk setelah wang pendahuluan di bayar kepada mereka selepas membeli barang kemas terbabit,” menurut Mujah.

Penduduk kata beliau mula menyedari barang kemas terbabit adalah palsu apabila menghadiri sebuah majlis rasmi yang berlangsung dalam sebuah sekolah di kawasan Lubok Antu.

Ketika melakukan tarian poco-poco katanya, para penduduk berkenaan mendapati bahawa warna emas pada barang kemas mereka mula pudar disebabkan oleh peluh hasil dari tarian terbabit.

“Warna emas tulen tak akan pudar kalau terkena peluh. Namun warna emas pada barang kemas yang dijual oleh kumpulan terbabit pula mula pudar setelah terkena peluh berkenaan.

“Ia membuktikan bahawa barang kemas mereka adalah palsu. Kumpulan terbabit nyata mendapat keuntungan hasil dari bayaran wang pendahuluan yang mereka peroleh daripada penduduk yang membeli barang palsu berkenaan,” katanya.

Justeru Mujah menasihatkan penduduk dari lain-lain kawasan dalam negeri ini untuk lebih berhati-hati sekiranya mahu membeli barang kemas daripada kumpulan tertentu di masa akan datang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment