Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 August, 2010

Gotong royong di Chapel Saint John, Paku Undop 22 Ogos ini

SRI AMAN, Selasa (17 Ogos) – Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) akan menganjurkan Kempen Gotong-Royong dan Anti Nyamuk bertempat di kawasan Chapel Saint John, Paku Undop, Batu Lintang, Sri Aman pada hari Ahad (22 Ogos) ini.

Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat menerusi kenyataan berita memberitahu kempen terbabit bertujuan untuk mendidik penduduk tentang betapa pentingnya aspek penjagaan kebersihan di kawasan masing-masing selepas ini.

“Menerusi kempen ini pihak majlis mahu penduduk untuk mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing demi membendung pembiakan nyamuk Aedes di penempatan masing-masing.

“Jika sarang pembiakan nyamuk Aedes dalam kawasan penempatan masing-masing tidak dibendung dengan segera maka penduduk akan terdedah kepada risiko serangan wabak Demam Denggi di masa akan datang,” katanya.

Kempen Anti Nyamuk dan Gotong-Royong yang akan bermula pada jam 10 pagi itu katanya juga bertujuan untuk mencantik serta memperindahkan kawasan penempatan penduduk berkenaan.

Kempen ini secara tidak langsung menurut Jack akan menaikkan lagi imej kebersihan di kawasan Chapel Saint John dan seterusnya menarik minat penduduk dari lain-lain penempatan untuk menjaga kebersihan kawasan masing-masing selepas ini.

“Kempen Anti Nyamuk dan Gotong-Royong ini akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis. Justeru penduduk kawasan Paku Undop, Batu Lintang diminta hadir bagi menjayakan kempen terbabit,” katanya.

Turut hadir sama katanya pada kempen itu nanti ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh dan Senator Doris Brodie.

Jack juga memberitahu bahawa Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat akan merasmikan Kempen Gotong-Royong dan Anti Denggi di Rumah Ajon anak Junau, Sapa Bubung, Pantu, Sri Aman pada 20 Ogos bermula jam 10 pagi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment