Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2010

DAP cuba gagal usaha naiktaraf hidup penduduk - Jabu


Caption: UNTUK ALBUM...Shafiee (tengah) sambil diapit oleh Jabu (kiri) dan Simoi (kanan) bersama tetamu khas yang lain sebaik sahaja berakhir program berkenaan hari ini.


LINGGA, Jumaat (6 Ogos) – Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pakatan Rakyat (PKR) sememangnya tidak dapat lari daripada perbuatan ‘rakan’ mereka iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang cuba menghalang rakyat untuk menikmati kemajuan dalam hidup di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang ia terbukti apabila pihak terbabit pernah menghasut pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) agar tidak menyertai program pembangunan tanah yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak dari dahulu.

“Mereka (DAP) pernah menghalang pemilik NCR di Macan, Kanowit untuk menyertai program pembangunan tanah yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1995 dahulu.

“Ini membuktikan bahawa pihak pembangkang cuba menghalang pemilik NCR yang mahu menjadikan aset mereka sendiri untuk terus maju dalam hidup menerusi bantuan pihak kerajaan. Atas sebab itu pihak PAS dan PKR ‘terluka hati’ apabila dibidas oleh kita (kerajaan) berhubung tindakan rakan mereka iaitu DAP sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pada Program Lawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal ke tapak Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok Kampung Baru Pulau Seduku di daerah kecil Lingga, Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya penduduk Lingga haruslah memberikan sokongan padu terhadap Barisan Nasional (BN) menerusi wakil rakyat wanita mereka iaitu Hajah Simoi Haji Peri demi pembangunan yang berterusan selepas ini.

Kawasan Lingga kata Jabu mempunyai potensi pembangunan yang tinggi untuk rakyat di sini dengan adanya perlaksanaan projek agropolitan seperti di kawasan Sembau, Stumbin, Bijat dan Lingga.

“Beliau (Simoi) merupakan seorang wakil rakyat wanita yang begitu rajin berusaha. Saya yakin kawasan Lingga akan dapat terus membangun jika rakyat Lingga terus memberikan sokongan terhadap BN menerusi beliau selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal, Timbalannya Datuk Joseph Entulu Belaun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Haji Julzilman Basir.

Terdahulu Shafiee telah menghadiri sesi taklimat berhubung pembinaan PBR Berkelompok Kampung Pulau Baru Seduku yang bakal menampung tempat tinggal seramai 145 buah keluarga dengan kos belanja bernilai RM46 juta yang juga turut mencakupi perlaksanaan projek Ladang Sejahtera (sawit) di atas tanah berkeluasan 1,600 hektar berdekatan dengan penempatan baru terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment