Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2010

Bangunkan Kampung Baru Seduku, Lingga secara mampan - Shafiee



Caption:

1.SERIUS...Shafiee (dua kanan), Jabu (dua kiri) dan Simoi (tiga kiri) ketika mendengar penjelasan mengenai perlaksanaan PBR berkenaan hari ini.

2.PENERANGAN...Shafiee sedang menyampaikan hal ehwal pembangunan kerajaan sambil didengar oleh (dari kanan sekali) Simoi, Entulu, Jabu dan Shamshuddin pada majlis berkenaan.

LINGGA, Jumaat (6 Ogos) – Kampung Baru Pulau Seduku dalam kawasan daerah kecil Lingga, Sri Aman yang kini dilaksanakan menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok harus dibangunkan secara mampan selepas ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Sri Haji Mohd Shafiee Haji Apdal berkata ini kerana penyediaan kemudahan asas di Kampung Baru Pulau Seduku sahaja tidak cukup untuk menjamin kesejahteraan hidup penduduk di kampung berkenaan.

“Penduduk asal Pulau Seduku bakal berpindah ke penempatan baru Kampung Pulau Seduku ini apabila kesemua rumah termasuk kemudahan asas telah siap dibina di situ menerusi PBR Berkelompok.

“Bagaimanapun apa gunanya penduduk asal Pulau Seduku tinggal di kampung baru berkenaan sekiranya tidak mampu membayar bil elektrik dan air masing-masing ekoran tidak mampu menjana kegiatan ekonomi mereka sendiri?” katanya.

Justeru kerajaan kata beliau mahu agar wujudnya kegiatan ekonomi bercorak perikanan dan pertanian dikalangan penduduk Kampung Baru Pulau Seduku demi menjamin masa depan hidup mereka di situ selepas ini.

Shafiee berkata demikian ketika memberikan ucapan ringkas program lawatan beliau ke tapak Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok Kampung Baru Pulau Seduku di daerah kecil Lingga, Sri Aman hari ini.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri dan Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji tiba ke tapak projek berkenaan pada jam 9.45 pagi hari ini.

Shafiee bersama rombongan kemudiannya mendengar taklimat mengenai pembinaan Kampung Baru Pulau Seduku menerusi PBR Berkelompok yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Berhad iaitu Haji Julzilman Basir.

Setelah tamat taklimat berkenaan, Datuk Patinggi Jabu telah menyampaikan kata-kata aluanya sebelum Dato Sri Shafiee menyampaikan ucapan mandat ringkasnya pada program berkenaan.

Beliau kemudiannya berkesempatan untuk melawat rumah Kampung Baru Pulau Seduku yang dibina menerusi PBR Berkelompok berkenaan sebelum berangkat pulang ke Sri Aman pada jam 11.30 pagi hari ini.

Perlaksanaan PBR Berkelompok Kampung Baru Pulau Seduku untuk penempatan semula 145 buah keluarga dari Pulau Seduku, Lingga telah bermula projek pembinaannya pada bulan Disember tahun lepas dan menelan kos sebanyak RM46 juta.

Kos pembinaan Kampung Baru Seduku bernilai RM46 juta itu juga turut mencakupi perlaksanaan projek Ladang Sejahtera iaitu pembukaan ladang sawit di atas tanah berkeluasan 1,600 hektar berdekatan penempatan baru terbabit.

Perlaksanaan PBR Berkelompok Kampung Baru Pulau Seduku berkenaan dijangka akan siap menjelang bulan November atau Disember tahun ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment