Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 August, 2010

Asrama kayu SK Jaong, Pantu terbakar!



Caption: MUSNAH...Asrama berkayu dua tingkat SK Jaong ketika sedang dijilat api menerusi kejadian kebakaran yang berlaku kelmarin.

PANTU, Rabu (11 Ogos) – Sebuah blok asrama berkayu dua tingkat untuk murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong, Pantu musnah sama sekali dalam kejadian kebakaran yang berlaku di situ lewat petang kelmarin.

Menurut sumber, kejadian yang dipercayai bermula sekitar jam 4 petang itu berkemungkinan disebabkan oleh faktor litar pintas walaupun sekolah berkenaan tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik 24 jam sebelum ini.

“Ketika berlakunya kejadian, kesemua 21 orang murid asrama lelaki dan 23 orang murid asrama perempuan dari sekolah terbabit sedang melibatkan diri dalam aktiviti luar.

“Pihak sekolah ada memasang enjin janakuasa elektrik walaupun ia sudah dipadam sebelum berlakunya kejadian kebakaran berkenaan. Kami percaya litar pintas dalam asrama kayu berkenaan sudah terjadi sebelum enjin janakuasa elektrik terbabit dimatikan,” katanya.

Kejadian kebakaran ini kata sumber telah menyebabkan penduduk kampung dengan kerjasama beberapa orang pekerja binaan jalan Jaong dan guru sekolah segera bertindak memadam api berkenaan.

Hasil usaha penduduk kampung, pekerja dan guru sekolah terbabit menurut sumber akhirnya berjaya memadamkan api kebakaran dalam tempoh sejam selepas api mula marak dan memusnahkan asrama kayu terbabit.

Tindakan pantas kesemua pihak kata sumber lagi dipercayai telah dapat mengelakkan api daripada merebak ke kuaters kediaman guru dan dewan sekolah yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian terbabit.

“Bagaimanapun mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dikalangan murid asrama sekolah terbabit. Kesemua murid asrama terbabit terpaksa turun belajar ke sekolah dari rumah masing-masing disebabkan oleh kejadian terbabit,” katanya.

Pihak bomba kata sumber juga masih lagi menyiasat kejadian ini bagi mengenalpasti punca kebakaran yang sebenar dan nilai anggaran kerugian yang disebabkan oleh kejadian terbabit.

“Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi terima kasih terhadap penduduk kampung dan pekerja binaan Jalan Jaong yang turut sama membantu bagi memadamkan api kebakaran berkenaan,” kata sumber.

Tamat.

No comments:

Post a Comment