Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 August, 2010

74 bekas polis terima sumbangan


Caption: DEMI JASA...Jusoh (kiri) menyampaikan cek bernilai RM1,000 kepada seorang penerima (kanan) sambil disaksikan oleh Iskandar (tengah) dan Ang (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Rabu (18 Ogos) – Seramai 74 orang bekas polis telah menerima sumbangan wang saguhati bernilai RM1,000 seorang daripada Kerajaan Pusat bagi mengenang jasa mereka ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula dari tahun 1962 hingga 1974 dahulu.

Kesemua penerima yang terdiri daripada 60 orang bekas polis Sri Aman dan 14 orang bekas polis Lubok Antu itu telah menerima wang saguhati berkenaan menerusi Majlis Penyampaian Cek Kepada Bekas Polis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman petang kelmarin.

“Sumbangan ini diberikan oleh kerajaan bagi mengenang jasa semua bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika berlangsungnya era konfrontasi Malaysia – Indonesia dan kebangkitan semula komunis di Sarawak bagi tempoh waktu berkenaan.

“Walaupun pemberian tersebut dilihat tidak setimpal dengan pengorbanan mereka ketika era itu namun sumbangan berkenaan secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan amat berterima kasih terhadap jasa mereka selama ini,” kata Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika berucap ringkas pada majlis berkenaan.

Jusoh menerusi majlis terbabit juga menasihatkan semua bekas atau pesara polis untuk kembali merapatkan diri dengan PDRM bagi menjayakan pelbagai program yang membabitkan golongan tersebut selepas ini.

Rata-rata golongan terbabit menurut beliau banyak menyepikan diri daripada pelbagai aktiviti anjuran PDRM semenjak bersara atau berhenti dari perkhidmatan masing-masing sebelum ini.

“Semua anggota polis termasuk saya sendiri juga akan bersara daripada perkhidmatan pada suatu hari nanti. Namun ia tidak bermakna bahawa kita harus menjauhkan diri daripada PDRM selepas itu.

“Setiap polis masih mempunyai jiwa sebagai seorang anggota polis walaupun sudah bersara. Justeru melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti PDRM boleh merapatkan lagi hubungan antara bekas polis dan polis yang masih berkhidmat selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah wakil Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Sarawak, Haji Iskandar Merican, Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck dan Bendahari Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Simanggang, Haji Masrol Idi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment