Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 August, 2010

Dua beranak selamat dalam eksiden


Caption: MALANG...Kenderaan yang digunakan oleh mangsa kelihatan rosak teruk dalam kejadian kemalangan pada awal pagi ini.

Saleman Senin

BETONG, Isnin (30 Ogos) – Nasib menyebelahi dua beranak dari kawasan Suri, Debak apabila hanya mengalami cedera ringan dalam kes kemalangan sendiri di kawasan Bebanggai, Kilometer 7, Jalan Dabok – Betong, Betong awal pagi hari ini.

Sebelum berlakunya kemalangan terbabit kata sumber, si bapa sedang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Commonrail bersama anaknya dalam perjalanan dari Debak menuju ke Bandar Betong sekitar jam 8 pagi.

“Mangsa yang hanya dikenali sebagai Kanselor Jawa dari Suri, Debak itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan mereka ketika hujan turun di kawasan Betong pagi tadi.

“Bagaimanapun sebaik sahaja berjaya memotong, kenderaan yang dipandu oleh mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum ia terbabas ke kawasan bukit tepi jalan raya terbabit,” kata sumber.

Kenderaan yang dipandu oleh mangsa menurut sumber juga dipercayai telah berpusing sebanyak tiga lagi sebelum ia menghentam kawasan berbukit yang terletak di kawasan bahu kiri jalan raya berkenaan.

Bagaimanapun kenderaan mangsa yang rosak teruk dalam kejadian kemalangan berkenaan hanya menyebabkan Kanselor Jawa bersama anaknya mengalami kecederaan ringan.

Ambulan tiba di tempat kejadian kemalangan beberapa minit kemudiaan sebelum kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bahagian Betong untuk tujuan rawatan lanjut selepas itu.

Difahamkan bahawa faktor jalan licin akibat hujan telah menyebabkan kenderaan yang dipandu oleh dua beranak berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bukit berkenaan.

“Ini kali kedua kes kemalangan jalan raya dicatatkan berlaku di lokasi ini dalam bulan ini. Kemalangan pertama dahulu melibatkan kenderaan jenis Perodua Viva dan Proton Satria,” menurut sumber.

Tamat.

Bank Rakyat bagi zakat kepada saudara baru


Caption: IKHLAS...Rahman (kiri) sambil disaksikan oleh Shamshuddin (tengah) ketika menyampaikan cek zakat kepada Nuli (kanan) pada majlis berkenaan baru-baru ini.


SRI AMAN, Isnin (30 Ogos) – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman sekali membuktikan kesungguhan mereka dalam membantu kebajikan penduduk dengan menyalurkan Zakat Asnaf bernilai RM3,000 kepada Persatuan Saudara Kita Kampung Klassen.

Cek zakat itu telah disampaikan oleh penolong pengurus berkenaan iaitu Abdul Rahman Reduan kepada pengerusi urusetia persatuan terbabit, Haji Nuli Abdullah sambil disaksikan oleh Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji menerusi Majlis 'Saudara Kita : Menyubur Iman Memantap Taqwa' anjuran RTM Sri Aman baru-baru ini.


Rahman ketika ditemui pada majlis yang berlangsung di Dewan Urusetia Saudara Kita Kampung Klassen itu memberitahu zakat berkenaan adalah merupakan zakat perniagaan Bank Rakyat bagi tahun 2009.


“Tujuan utamanya ialah untuk membantu golongan penduduk miskin termasuk saudara baru dari segi sumbangan kewangan bagi membolehkan mereka melaksana pelbagai program sosial selepas ini.


“Kita berharap agar persatuan saudara baru berkenaan dapat memanfaatkan sepenuhnya zakat ini. Persatuan Saudara Baru Kampung Klassen boleh menggunakan duit berkenaan bagi mempertingkatkan lagi status pertubuhan mereka di masa akan datang,” katanya.


Selain itu Bank Rakyat cawangan Sri Aman kata Rahman juga akan terus melakukan aktiviti kebajikan bagi membantu penduduk khasnya para pelanggan bank terbabit selepas ini.


Justeru usaha terbabit katanya amat penting untuk membuktikan bahawa Bank Rakyat bukan sahaja berfungsi sebagai institusi perbankan namun turut turun padang untuk mempertingkatkan taraf sosial penduduk dari masa ke semasa.


Hadir sama ialah Kakitangan Bank Rakyat Sri Aman, Abdul Harun Sa'adi dan Abang Mohd Sarkawi Abang Mohd Salleh, wakil dari RTM, Ruth Ampong, Dayang Rafidah serta Balqis Abdul Wahed dan wakil Jabatan Agama Islam Sri Aman, Ustaz Islahuddin.

Tamat.

Futsal 1Belia 1Malaysia Lubok Antu 25 September ini


Caption: SIAP SEDIA...Nyalau (duduk tengah) ketika bersama jawatankuasa pertandingan berkenaan. Turut kelihatan Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Sherit (kanan sekali)


LUBOK ANTU, Isnin (30 Ogos) - Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Daerah Lubok Antu akan menganjurkan Pertandingan Futsal 1Belia 1Malaysia kawasan Parlimen 203 Lubok Antu pada 25 hingga 26 September depan.

Pertandingan ini terbuka kepada pemain wanita dan lelaki yang berusia 15 tahun ke atas. Dua padang Futsal akan menjadi gelanggang bagi menjayakan pertandingan ini – Gelanggang Futsal Tr Lagan, Empit dan Skim Skrang.

Pertandingan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Engkilili akan diadakan di padang Futsal Skim Skrang pada 25 September manakala DUN Batang Ai pada 26 September depan.

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau anak Badak dijangka akan merasmikan petandingan yang diadakan di Tr Lagan, Empit manakala ADUN Engkilili Dr Johnincal Rayong anak Ngipa Skim Skrang, Engkilili.

Bagaimanapun hanya 8 pasukan terbaik sahaja yang layak ke peringkat akhir dalam sistem ‘Double Knock Out’ yang akan di Kompleks Sukan Lubok Antu pada 2-3 Oktober depan.

Sehubungan itu untuk melancarkan pertandingan ini sebuah Jawatankuasa Pertandingan Futsal Kawasan Parlimen Lubok Antu ditubuhkan yang diketuai Nyalau sendiri.

Menurut Nyalau, pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia adalah bertujuan untuk memupuk minat dan menarik penyertaan ramai di peringkat akar umbi kearah memasyarakatkan sukan dan seterusnya dapat merealisasikan konsep ‘1 Belia dan 1 Malaysia’.

Seterusnya melatih masyarakat tempatan dalam melaksanakan sukan di peringkat komuniti, tambahnya beliau.

Sementara itu hanya 20 pasukan terawal mendaftar sahaja akan menyertai pertandingan iaitu 20 pasukan di DUN Engkilili dan 20 untuk DUN Batang Ai – 10 pasukan lelaki dan 10 pasukan untuk wanita.

Johan buat kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM700, naib johan RM500, ketiga RM300 dan saguhati untuk kedudukan keempat RM150 serta pingat.

Disamping itu pemain terbaik beraksi sepanjang kejohanan akan dipilih bagi mewakili pasukan lelaki dan wanita Parlimen Lubok Antu di peringkat kebangsaan pada 17-19 Disember ini bertempat di Putrajaya.

Tamat....

92 penduduk terima sumbangan beras BERNAS


Caption: TERIMALAH...Shamshuddin (kiri) sedang menyampaikan beras kepada penerima (kanan) sambil disaksikan oleh Kamri (tiga kiri), Samad (dua kanan), Zaidi (tengah belakang) dan Molek (dua kiri) pada majlis itu.


SRI AMAN, Isnin (30 Ogos) – Seramai 92 orang penduduk dari empat buah kampung dalam kawasan Sri Aman menerima sumbangan beras hasil tajaan Padiberas Nasional Berhad atau BERNAS di Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu kelmarin.

Kesemua 92 orang penerima dari Kampung Hulu, Kampung Tengah, Kampung Pasir Panas dan Kampung Lemanak ini terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya, orang kurang berkemampuan, ibu tunggal dan Warga Emas.

Majlis sumbangan beras yang disempurnakan oleh Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji ini turut disaksikan oleh Pengurus Pentadbiran BERNAS Sarawak, Kamri Abdul Raup, Pegawai Tadbir Sosial, Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Haji Sarwaki dan wakil BERNAS Sri Aman, Dayang Molek Awang Majafar.

Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim ketika ditemui pada majlis itu memberitahu sumbangan beras terbabit telah diusahakan sendiri oleh beliau dengan memohon bantuan berkenaan daripada BERNAS sebelum ini.

“Ia merupakan usaha saya dan BERNAS untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan ini lebih-lebih lagi ketika berlangsung sambutan Bulan Ramadan pada masa sekarang.

“Justeru dengan adanya sumbangan ini maka golongan terbabit tidak akan mempunyai masalah untuk memasak keperluan makanan masing-masing. Terima kasih kepada BERNAS di atas tajaan beras berkenaan,” katanya.

Selain itu Samad juga menyeru golongan berkemampuan dalam bandar Sri Aman untuk turun padang bagi memberikan bantuan kebajikan terhadap mereka yang amat memerlukan perhatian penduduk selama ini.

Golongan Orang Kurang Upaya, orang miskin, ibu tunggal dan Warga Emas katanya berhak menikmati kesenangan hidup sepertimana yang dinikmati oleh golongan penduduk berkemampuan di bandar ini.

“Mereka juga mahu merasai kemeriahan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu penduduk berkemampuan perlu menunjukkan keprihatinan masing-masing dengan menyalur bantuan kebajikan terhadap mereka selepas ini,” katanya.

Tamat.

Berpuasa banyak beri kelebihan kepada umat - Wahbi


Caption: MANFAATKAN...Wahbi (kanan) ketika menyampaikan cek peruntukan MRP kepada Haji Piee sambil disaksikan Lola (4 dari kiri) dan Razi (kanan sekali) pada majlis berkenaan.


DEBAK, Ahad (29 Ogos) – Berpuasa memberi banyak kelebihan terhadap umat Islam yang mengerjakan amalan berkenaan ketika berlangsungnya Bulan Ramadan kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi.

Katanya amalan puasa bukan sahaja memberi pahala terhadap umat Islam itu sendiri malah dapat memberi kebaikan dari kesihatan mental dan tubuh badan bagi mereka yang mengerjakan amalan berkenaan.

“Dari segi kajian kesihatan amalan berpuasa sebenarnya dapat bertindak menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik yang terkandung dalam darah manusia disamping memberi memberi kesegaran pada otot badan bagi orang Islam yang mengerjakan amalan wajib ini.

“Bukan setakat itu sahaja amalan berpuasa juga boleh memanjangkan umur anda, membersihkan diri anda dari dosa, membantu menghakiskan keracunan yang berada
dalam tubuh badan manusia dan seterusnya memberi keseimbangan dalam darah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Berbuka Puasa dan Sembahyang Sunat Terawih Bersama Penduduk bertempat di Masjid Darul Iman Kpg Debak Laut, Betong baru-baru ini.

Selain itu amalan puasa kata Wahbi juga berupaya menurunkan tekanan darah tinggi, menurunkan berat badan dan mencerahkan pemandangan mata dikalangan umat Islam yang mengerjakan amalan tersebut.

Justeru kebaikan amalan berpuasa dari sudut Islam katanya bukan sahaja berkisar kepada unsur kerohanian malah turut menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental umat Islam itu sendiri.

“Ingatlah bahawa puasa akan memberi syafaat kepada kita pada Hari Perhitungan nanti. Atas sebab ini saya menasihatkan semua penduduk Islam terutama sekali di kawasan Saribas untuk tidak meninggalkan amalan puasa sepanjang Bulan Ramadan ini,” katanya.

Terdahulu Wahbi telah menyampaikan Takzirah Ramadan mengenai kelebihan orang berpuasa sebelum menyampaikan cek peruntuk Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada pihak pengurusan Masjid Darul Iman Kampung Debak Laut.

Hadir sama ialah Pengerusi Masjid Darul Iman Kampung Debak Laut, Lola Haji Julai, Penghulu Kampung Debak, Abang Kifrawi Abang Rukaili, Penaung Masjid, ASP (B) Haji Piee Alwi, Setiausaha PBB N.30 Saribas, Saifudin Haji Wahbi dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam.

Tamat.

Guru perlu seiring dengan BN - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Ahad (29 Ogos) – Golongan penjawat awam khasnya para guru dinasihat untuk terus seiring dengan pihak Barisan Nasional (BN) agar kerajaan dapat melaksanakan projek pembangunan dengan penuh lancar dari masa ke semasa.

Nasihat berkenaan ditujukan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat kepada para guru yang pernah menuntut di luar negara dan terdedah dengan suasana politik lebih yang ektreme sebelum ini.

“Kerajaan sedar bahawa para guru yang menuntut di kawasan luar negara sememangnya terdedah dengan pengaruh politik yang lebih ‘panas’ sebelum mereka pulang ke sini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Harapan kita ialah agar para guru tidak membawa masuk ideologi politik ‘panas’ di sini khasnya ke Sri Aman demi kebaikan pembangunan negeri pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi JKKK Taman Bayu B Sri Aman di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini baru-baru ini.

Kerajaan kata Masir memerlukan bantuan serta sumbangan para guru untuk mewujudkan golongan modal insan berkualiti kelas pertama demi kebaikan pembangunan negara dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang.

Bagaimanapun jika para guru katanya menyebarkan ideologi politik panas mereka terhadap golongan generasi muda maka kesinambungan projek pembangunan negara dikhuatiri akan terjejas pada masa akan datang.

“Memang semua individu mempunyai kebebasan untuk memilih ideologi politik masing-masing namun biarlah politik yang mereka bawa mampu memberi kebaikan kepada pembangunan negara kita selepas ini,” katanya.

Justeru Masir berharap agar para guru terus memberi sokongan seratus peratus kepada pihak BN menjelang pilihan raya ini nanti memandangkan masa depan pembangunan negara bergantung sepenuhnya terhadap usaha mereka untuk mewujudkan golongan modal insan berkualiti kelas pertama.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri mUda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis. Hadir sama ialah Setiausaha sulit kepada Harden, Jerome Runggol, Pembantu MP Sri Aman, Abah Unggi, Ketua Polis Daerah Lubok Antu,. DSP George Merejok, Pengerusi JKKK Taman Bayu B, Eddie Libau, para ahli JKKK dan penduduk dalam bandar ini.

Masir pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada JKKK Taman Bayu B manakala Harden pula mengumumkan peruntukan MRP dengan nilai yang sama kepada JKKK berkenaan.

Terdahulu permohonan bagi penubuhan JKKK Taman Bayu B telah diluluskan oleh pihak Pejabat Daerah Sri Aman pada 22 April lalu sebelum ia dilancar serta dirasmikan oleh Harden.

Tamat.

Bazir musuh kita


MEMBAZIR...Sikap acuh tak acuh dikalangan sesetengah peniaga Bazaar Ramadan Sri Aman 2010 menyebabkan air dari dua buah paip air mencurah keluar tanpa ditutup semula oleh mereka bermula dari jam 9 malam pada 27 Ogos lalu dan dipercayai terus mencurah keluar hingga ke pagi hari berikutnya. Kemudahan paip air yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Sri Aman untuk kegunaan mereka ketika berlangsungnya aktiviti niaga semenjak 11 September lalu harus dijaga dengan baik dan ditutup kembali selepas digunakan. Jika tidak, pembaziran akan terus berlaku dan merugikan kos pihak majlis itu sendiri. Semua peniaga Bazaar Ramadan Sri Aman perlu mengelak berlakunya pembaziran terhadap kemudahan dua buah paip air berkenaan demi kebaikan semua pihak selepas ini. - 29 Ogos

29 August, 2010

Tolong selesaikan tiga masalah kami - penduduk Jalan Batang Lupar


Caption: PERLU DITURAP...Pembayar cukai pintu di Jalan Batang Lupar, Sri Aman mahu jalan rosak di penempatan mereka diturap kembali oleh pihak berkuasa tempatan selepas ini.

SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) – Penduduk dari kawasan penempatan Jalan Batang Lupar, Sri Aman memohon jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang melanda penduduk di situ sebelum ini.

Seorang penduduk, Sarah Wong, memberitahu penduduk di kawasan Jalan Batang Lupar mahu pihak berkuasa tempatan untuk memperbesarkan kawasan parit dan memperbaiki kerosakan jalan selain mempertingkatkan lagi perkhidmatan kualiti pengutipan sampah di situ selepas ini.

“Masalah ini pernah diadukan kepada pihak berkuasa tempatan terutama sekali dalam hal membesarkan kawasan parit di Jalan Batang Lupar bagi mengelakkan berlakunya banjir semenjak dua tahun lepas.

“Pihak berkuasa sememangnya ada melakukan kerja memperbesarkan parit di sini namun kawasan yang mereka gali bukanlah punca penyumbang utama terhadap isu banjir yang sering melanda kawasan penempatan penduduk Jalan Batang Lupar. Mereka gali di kawasan longkang yang salah,” katanya.

Kesilapan pihak berkuasa tempatan memperbesarkan kawasan longkang yang salah menurut beliau menyebabkan banjir masih melanda kawasan penempatan mereka sehingga sekarang apabila berlakunya hujan lebat bagi tempoh masa yang panjang.

Selain itu Sarah juga mendakwa perkhidmatan kutipan sampah oleh pihak berkuasa tempatan tidak dilakukan dengan penuh efisyen apabila sampah hanya lebih kerap dikutip di kawasan luar simpang masuk menuju ke penempatan mereka dan bukannya ke dalam.

Walaupun pihak berkuasa tempatan ada melakukan kutipan sampah dari rumah ke rumah sebelum ini namun tindakan lebih kerap mengutip sampah dari tong di luar kawasan simpang jalan menurut beliau secara tidak langsung menyebabkan kawasan tersebut kotor.

“Saya juga meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menurap kembali laluan jalan berlubang dan pecah di kawasan penempatan mereka demi kebaikan beberapa orang penduduk di situ selepas ini.

“Kami, penduduk Jalan Batang Lupar membayar cukai pintu sebanyak RM198 setahun. Jadi adalah wajar sekiranya pihak berkuasa tempatan menyelesaikan kesemua masalah berkenaan demi kebaikan penduduk kami di sini selepas ini,” katanya.

Tamat.

Profail JKKK perlu sentiasa update - Harden


Caption: RASMI...Harden (kiri sekali) sambil disaksikan oleh Masir (tengah) dan ahli JKKK Taman Bayu B menyempurnakan upacara memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu(29 Ogos) – Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam daerah ini dinasihat untuk menghasilkan profil mengenai latar belakang dan lain-lain maklumat mengenai penempatan mereka selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata profil kampung amat penting demi memudahkan lagi urusan hal ehwal pembangunan di antara JKKK dan jabatan kerajaan di sesebuah kawasan penempatan kampung atau rumah panjang itu.


“JKKK harus menyediakan profail kampung yang merangkumi data seperti latar belakang kampung, jumlah penduduk, jenis sumber pendapatan, maklumat tahap pendidikan penghuni kampung dan banyak lagi.


“Dengan adanya profail ini, kerajaan menerusi jabatan mereka secara tidak langsung akan dapat merancang jenis program pembangunan yang boleh dilaksanakan demi kebaikan penduduk bagi sesebuah kampung atau rumah panjang itu sendiri,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran JKKK Taman Bayu B Sri Aman di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.


Selain itu Harden juga mahu kesemua JKKK dalam kawasan daerah ini untuk sentiasa mengemaskini profail kampung masing-masing bagi setiap tahun demi memudahkan urusan mereka dengan kerajaan pada masa akan datang.


Justeru langkah ini kata beliau akan membolehkan rumah panjang atau kampung di daerah ini membangun secara sistematik dan teratur menerusi projek pembangunan yang akan dilaksana oleh kerajaan sepanjang masa.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ketua Polis Daerah Lubok Antu,. DSP George Merejok, Pengerusi JKKK Taman Bayu B, Eddie Libau, para ahli JKKK dan penduduk dalam bandar ini.

Harden dan Masir menerusi majlis berkenaan masing-masing telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar atau MRP bernilai RM3,000 untuk JKKK Taman Bayu B.

Terdahulu permohonan bagi penubuhan JKKK Taman Bayu B telah diluluskan oleh pihak Pejabat Daerah Sri Aman pada 22 April lalu sebelum ia dilancar serta dirasmikan oleh Harden pada malam tadi.

Tamat.

Kesan lokasi penduduk buang undi - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) – Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen Sri Aman dipohon untuk melakukan kerja mengesan kedudukan penduduk membuang undi pilihan raya di kawasan penempatan masing-masing mulai sekarang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata usaha JKKK ini amat penting demi membolehkan wakil rakyat mewujudkan kuota pengagihan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) terhadap sesebuah JKKK terbabit selepas ini.

“Apa yang kita mahu ialah MRP yang disalur terhadap sesebuah JKKK dianggap berbaloi apabila majoriti penduduk di situ merupakan pengundi pilihan raya di kawasan wakil rakyat itu sendiri.

“Kita mahu MRP yang diberi kepada JKKK itu dinikmati oleh semua penduduk sebagai balasan di atas sokongan masing-masing terhadap wakil rakyat mereka pada pilihan raya yang lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi JKKK Taman Bayu B Sri Aman di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Bagaimanapun pemberian MRP terhadap JKKK berkenaan katanya tidak akan berbaloi sekiranya hanya 10 atau 20 peratus penduduk di situ yang menjadi pengundi bagi kawasan pilihan raya wakil rakyat berkenaan.

Ini kerana terdapat penduduk dalam sesebuah JKKK itu yang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Parlimen yang lain dalam negeri ini atas faktor kerja.

“Oleh yang demikian saya meminta setiap JKKK dalam kawasan Parlimen Sri Aman untuk memulakan proses terbabit selepas ini demi membolehkan kita mengesan lokasi sebenar penduduk membuang undi menjelang pilihan raya ini nanti,” katanya.

Masir pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada JKKK Taman Bayu B manakala Harden pula mengumumkan peruntukan MRP dengan nilai yang sama kepada JKKK berkenaan.

Hadir sama ialah Setiausaha sulit kepada Harden, Jerome Runggol, Pembantu MP Sri Aman, Abah Unggi, Ketua Polis Daerah Lubok Antu,. DSP George Merejok, Pengerusi JKKK Taman Bayu B, Eddie Libau, para ahli JKKK dan penduduk dalam bandar ini.

Terdahulu permohonan bagi penubuhan JKKK Taman Bayu B telah diluluskan oleh pihak Pejabat Daerah Sri Aman pada 22 April lalu sebelum ia dilancar serta dirasmikan oleh Harden pada malam tadi.

Tamat.a

Kelab Sokanjaya JKR Betong lawat JKR Bintulu





Caption:

1.UNTUK ALBUM...Pasukan bolasepak kelab Sokanjaya Betong dan Bintulu bergambar kenangan sebelum bermula perlawanan persahabatan terbabit baru-baru ini.

2. SERONOK...Ahli rombongan Kelab Sokanjaya Betong dan Bintulu ketika menyertai sukaneka pantai di Bintulu baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) – Seramai 40 orang ahli Kelab Sokanjaya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong melibatkan diri dalam aktiviti lawatan sosial ke JKR Bintulu baru-baru ini.

Jurucakap menerusi kenyataan berita yang diemail kelmarin memberitahu lawatan sosial yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan talisilaturahim di antara kakitangan JKR Betong dan JKR Bintulu.

Bagi menjayakan ini katanya beberapa buah aktiviti telah diadakan antaranya ialah perlawanan persahabatan bola sepak, bola jaring, lawatan sosial ke rumah panjang, sukaneka pantai dan majlis makan malam yang membabitkan ahli dari kedua-dua kelab berkenaan.

“Perlawanan persahabatan bola sepak telah diadakan di Padang BDA A, Dewan Suarah Bintulu dengan Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Betong berjaya menewaskan Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Bintulu menerusi jaringan gol 4-3.

“Manakala perlawanan persahabatan bola jaring pula telah diadakan di kawasan lapang di pejabat JKR Bintulu, Pasukan tuan rumah iaitu JKR Bahagian Bintulu berjaya menewaskan Kelab Sokanjaya Bahagian Betong dengan mata 15-7,” katanya.

Pasukan bola sepak dan bola jaring Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Betong katanya diketuai oleh Cassidy Morris dan Frauline Engkamat manakala Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Bintulu pula diketuai oleh Hendison Jeralson Linang dan Haliza Abdul Khalek.

Selain itu ahli kedua-dua kelab menurut beliau juga telah melakukan lawatan sosial ke Rumah Panjang Henry sebelum semua ahli rombongan berkunjung ke pantai Sentulan, Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Tatau untuk tujuan sukaneka pantai.

“Acara sukaneka pantai ini melibatkan acara tarik tali, makan epal, straw getah dan ‘musical chair’. Semua ahli kemudiannya dirai menerusi Majlis Malam Mesra di Li Hua Hotel diikuti dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang acara sukaneka.

“Justeru diharap agar kesemua aktiviti terbabit dapat mewujudkan semangat kerjasama yang utuh dikalangan ahli Kelab Sokanjaya JKR Betong dan Bintulu pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu lawatan sosial Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Betong ini merupakan salah satu aktiviti tahunan kelab bagi mengeratkan lagi hubungan silahturahim di antara kedua-dua ahli kelab terbabit.

Tamat.

28 August, 2010

Sokongan terhadap Taib perlu diteruskan - Rayong

Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

SRI AMAN, Sabtu (28 Ogos) – Kepimpinan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah membawa status ekonomi Sarawak ke tahap yang lebih tinggi semenjak memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri semenjak tahun 1981 dahulu.

Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa mahu beliau terus memimpin Kerajaan Negeri demi memastikan perkembangan ekonomi Sarawak terus pesat selepas ini.

Beliau yang wakil rakyat pro Barisan Nasional (BN) yakin dengan kepimpinan Taib untuk terus merancakkan lagi transformasi pembangunan menjelang gelombang kedua pembangunan negeri Sarawak.

“Pendirian saya berhubung perkara ini pernah dinyatakan secara peribadi kepada beliau (Taib) ketika berlangsungnya mesyuarat kabinet di Mulu. Setiap mereka yang hadir juga turut menyatakan pendirian terbabit.

“Jadi pendirian saya masih kekal hingga ke hari ini. Saya yakin dan percaya bahawa kepimpinan yang kuat serta unggul daripada beliau akan membolehkan Sarawak terus berkembang maju dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu Rayong juga mahu penduduk berbialng kaum dalam negeri ini untuk melihat dan menghargai segala perubahan pesat yang berlaku di sekeliling mereka semenjak Taib menjadi Ketua Menteri.

Taib misalannya kata beliau telah memperkenalkan projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang sememangnya bakal memberi manfaat terhadap penduduk negeri ini dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“SCORE merupakan salah satu daripada projek pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau dan ia tidak termasuk lain-lain projek pembangunan yang kini giat dilaksana untuk penduduk pada masa sekarang.

“Kebolehan beliau memimpin BN dan Kerajaan Negeri membolehkan Sarawak menerima peruntukan pembangunan yang besar daripada Kerajaan Pusat. Justeru khidmat beliau masih amat diperlukan melainkan jika beliau benar-benar mahu bersara dari jawatan Ketua Menteri selepas ini,” katanya.

Tamat.

27 August, 2010

TBS perlu tingkat peranan bangunkan ummah




Story by Rosita Apong, RTM Sri Aman.

Picture by Saleman Senin, PPD Sri Aman

BETONG, Jumaat (27 Ogos) - Peranan Tabung Baitulmal Sarawak perlu diperhebat bagi memacu usaha ke arah usaha pembangunan pendidikan di kalangan anak-anak masyarakat Muslim di masa akan datang demikian menurut Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Beliau mencadangkan Tabung Baitulmal Sarawak atau TBS untuk memulakan program tuisyen kepada murid-murid khasya bagi tiga subjek penting seperti Sains, Matematik dan Inggeris.

“Ia satu lagi peranan yang perlu dilakasanakan oleh TBS dalam pembangunan pendidikan masyarakat Muslim selain usahanya sebelum ini iaitu memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang tidak berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Malahan pihak TBS boleh menggunakan sumber kewangannya untuk melaksanakan program tuisyen dengan memanfaatkan masjid dan surau bagi mengadakan program berkenaan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Kepada Fakir Miskin Dari Bahagian Sri Aman dan Betong bertempat di Masjid Jamek Betong hari ini.

Selain itu Taib turut melihat akan betapa pentingnya aspek pendidikan terhadap masyarakat Muslim untuk menjadikan golongan generasi akan datang menempatkan diri dalam kelompok masyarakat berpendapatan tinggi.

Dengan tahap pendidikan tinggi kata beliau usaha ini juga akan membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat kerajaan berhubung perkara berkenaan di masa akan datang.

“Ini secara tidak langsung akan dapat mengukuhkan lagi ekonomi masyarakat Islam. Setiap individu mahupun pihak korporat juga akan dapat menyumbang zakat dalam jumlah yang lebih besar berdasarkan kemampuan masing-masing selepas itu,” menurut beliau.

Terdahulu Taib telah menyampaikan bantuan menerusi 102 orang Amil yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM315,300 kepada 2,622 orang fakir miskin dari kawasan Bahagian Sri Aman dan Betong pada majlis itu.

Tamat.

Semua pihak harus turun padang bantu rakyat - Masir


Caption: MANFAATKAN...Harden sedang menyampaikan bantuan kepada penerima sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Rohana, Masir, Walter, Rickson dan Whelton pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (27 Ogos) – Semua pihak terutama sekali ketua kaum harus turun padang untuk membantu kerajaan mencari dan mendaftarkan golongan penduduk yang memerlukan bantuan kebajikan menerusi sistem e-kasih selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kebajikan Kemasyarakatn Azam Bahagian Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Katanya ketua kaum seperti Tuai Rumah dan Penghulu memainkan peranan amat penting bagi tujuan ini memandangkan mereka merupakan golongan yang paling hampir mendampingi penduduk di kawasan masing-masing dari masa ke semasa.

“Saranan mengenai usaha pendaftaran dalam e-kasih ini bukan sahaja ditujukan kepada ketua kaum malahan juga kepada penduduk berkemampuan dalam kawasan Parlimen Sri Aman.

“Jika ada penduduk miskin tegar atau Orang Kurang Upaya di kawasan penempatan masing-masing maka semua pihak terbabit haruslah membantu mendaftarkan mereka dalam sistem e-kasih. Kerajaan akan memeriksa dan seterusnya memberi bantuan kebajikan kepada pemohon yang layak,” menurut beliau.

Selain itu Masir juga menasihatkan penduduk miskin tegar untuk memohon bantuan perniagaan menerusi Program Masyarakat Penyayang (MAYANG), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program MAYANG katanya boleh menawarkan bantuan ekonomi kepada pemohon berkelayakan dengan tujuan untuk mengalakkan mereka berdikari dan seterusnya berniaga di kawasan masing-masing.

“MAYANG merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk membawa golongan penduduk miskin tegar keluar dari kepompok kemiskinan di masa akan datang. Ia sekaligus membolehkan kerajaan mencapai matlamat untuk membasmi kemiskinan menerusi perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah menyempurnakan upacara penyerahan bantuan berupa 250 hamper dan 250 kotak bungkusan makanan bernilai RM12,000 hasil sumbangan Masir kepada 216 orang penerima bantuan aktif di Mini Stadium Sri Aman.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman turut menyalurkan bantuan berupa wang dan dua buah kerusi roda kepada penerima bantuan aktif menerusi majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sri Aman, Rohana Isnawi, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Rickson Jauu.

Tamat....

BN tak pilih kasih tolong rakyat - Harden

Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS


SRI AMAN, Jumaat (27 Ogos) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengamalkan dasar pilih kasih ketika menghulurkan bantuan kebajikan terhadap penduduk yang amat memerlukannya selama ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata ia terbukti apabila penerima bantuan kebajikan daripada kerajaan BN di negara ini terdiri daripada orang Melayu, Cina, Orang Ulu dan Dayak.

“Malahan bantuan kebajikan oleh kerajaan kepada penduduk tidak didukung oleh unsur politik iaitu sama ada penerima terbabit merupakan penyokong pihak pembangkang atau penyokong BN.

“Bantuan kebajikan sama ada berupa wang, makanan dan sebagainya akan tetap dihulurkan kepada penduduk selagi mereka benar-benar berkelayakan untuk menerima bantuan terbabit daripada kerajaan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Kebajikan Kemasyarakatn Azam Bahagian Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Selain itu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat menurut Harden juga telah memperuntukan sebanyak RM4.7 juta bantuan kebajikan kepada penduduk dalam negeri ini bermula dari bulan Januari hingga September tahun 2010.

“Nilai peruntukan terbabit mengambarkan keprihatinan kerajaan BN dalam membantu menaiktaraf kebajikan hidup penduduk terutama sekali golongan penduduk miskin tegar di negara ini.

“Justeru saya berharap agar lebih ramai golongan penduduk miskin tegar di negara ini khasnya dalam kawasan Sri Aman untuk mendaftarkan diri pada sistem e-kasih agar kerajaan dapat membantu mereka selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sri Aman, Rohana Isnawi, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Rickson Jauu.

Terdahulu Harden menerusi majlis itu telah menyempurnakan upacara penyerahan bantuan berupa 250 hamper dan 250 kotak bungkusan makanan bernilai RM12,000 hasil sumbangan Masir kepada 216 orang penerima bantuan aktif di Mini Stadium Sri Aman.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman turut menyalurkan bantuan berupa wang dan dua buah kerusi roda kepada penerima bantuan aktif menerusi majlis berkenaan.

Tamat....

Bank Rakyat Sri Aman sampai 3 jenis sumbangan


Caption: MANFAATKAN...Roslan (kanan sekali) dan Rahman (dua kiri) ketika bergambar kenangan bersama penerima iaitu Kambli (tengah) dan Brooker (dua kanan) sebaik sahaja tamat upacara berkenaan.

Abdul Rahman Reduan, Awie & Harun,

Bank Rakyat Sri Aman

SRI AMAN, Khamis (26 Ogos) – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman telah menyerahkan tiga jenis sumbangan kepada pihak penerima menerusi upacara ringkas yang berlangsung di bilik pengurus bank berkenaan baru-baru ini.

Pertama, Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali telah menyerahkan cek khairat kematian bernilai RM1,000 kepada waris pemegang kad kredit I – Bank Rakyat iaitu Haji Kambli bin Zulkifli.

Sumbangan terbabit merupakan satu kelebihan kepada pemegang kad kredit Bank Rakyat apabila pelanggan diberi pakej perlindungan takaful keluarga secara percuma dan juga khairat kematian.

Manakala itu sumbangan kedua pula merupakan penyerahan cek tuntutan kematian Takaful Hayati berjumlah RM4,000 oleh Roslan kepada waris iaitu Brooker anak Wan sambil disaksikan oleh penolong pengurusnya, Abdul Rahman Reduan.

Sumbang ketiga pula adalah merupakan penyerahan zakat bernilai RM1,000 kepada Surau Darul Taqwa Betong yang disampaikan oleh beliau sendiri kepada wakil surau berkenaan iaitu Ustaz Mohd Shahriman.

Terdahulu Roslan ketika ditemui memberitahu sumbangan terbabit adalah merupakan salah satu komiten pihak Bank Rakyat dalam membantu kebajikan hidup penduduk terutama sekali bagi mereka yang menjadi pelanggan bank berkenaan sebelum ini.

“Kesemua tiga jenis sumbangan ini membuktikan bahawa Bank Rakyat amat prihatin dan sentiasa turun padang bagi sama-sama membantu masalah kebajikan hidup penduduk selama ini.

“Justeru saya berharap agar kesemua penerima dapat menggunakan sumbangan dengan sebaik mungkin selepas ini,” menurut beliau.

Tamat.

Program tingkat spm dilaksana



Caption:

1. FOKUS...Sebahagian daripada para pelajar ketika mengikuti program fasa kedua di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

2. PENGHARGAAN...Lucy (kiri) menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Phang sebaik sahaja program berkenaan tamat baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (26 Ogos) - Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke telah menganjurkan Program Peningkatan Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Penyelaras program, Lucy Chuo Mee Hong ketika ditemui memberitahu program yang berlangsung selama lima jam itu membabitkan pelajar tingkatan lima dari enam buah sekolah menengah di sekitar daerah Lubok Antu dan Sri Aman.

“Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membantu para pelajar tentang langkah pembelajaran yang lebih efektif bersempena dengan persiapan mereka bagi menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini

“Program ini mula diadakan semenjak dua tahun yang lepas untuk para pelajar Tingkatan 5 SMK Saint Luke. Hasilnya amat menggalakkan sehingga mendorong pihak Unit pengurusan Akademik, PPD Sri Aman untuk menganjurkan program ini secara besar-besaran bersama pihak kami pada tahun ini,” katanya.

Fasa pertama untuk program ini kata Lucy telah diadakan pada pertengahan bulan Julai lepas bertempat di SMK Saint Luke dan ia mencakupi slot teknik menjawab soalan Bahasa Inggeris, Biologi dan Kimia menerusi kendalian beberapa orang guru cemerlang dari Kuching dan Sarikei.

Manakala itu Fasa kedua program terbabit katanya telah dilaksanakan di Dewan Suarah Sri Aman yang membabitkan slot motivasi dan slot teknik menjawab soalan-soalan dalam matapelajaran Fizik.

“Guru Cemerlang Fizik Gred Khas C iaitu Phang Sin Nan dari Kuching telah dijemput untuk membuat perkongsian serta mengajar para pelajar mengenai teknik membuat ulangkaji pelajran dengan lebih berkesan.

“Beliau menekankan teknik ‘output revision’ harus dilakukan oleh para pelajar jika mahu berjaya. Hasilnya semua peserta telah mempelajari banyak perkara baru menerusi dua buah slot yang dikendalikan oleh Phang menerusi program fasa kedua ini,” katanya yang juga Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa SMK Saint Luke.

Justeru pihaknya kata beliau berharap agar para pelajar berupaya menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM yang bakal mereka duduki ini nanti menerusi perlaksanaan program berkenaan.

Tamat.

Selesai isu Guan Eng demi rakyat - Wahbi

Caption: TERIMA KASIH...Frida (kiri) sedang menyampaikan cenderahati kepada Wahbi (kanan) sambil disaksikan oleh Norkusaini Bujang (kanan) dan Rohani (kiri) pada majlis itu

BETONG, Khamis (26 Ogos) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi melahirkan rasa terkilan berhubung isu bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sambil mengenepikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Terdahulu Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di Tasek Gelugor, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail ketika dipetik dari Utusan Malaysia sebelum ini mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu.

Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

“Isu penyebutan nama beliau (Guan Eng) dalam doa khutbah solat Jumaat jika tidak ditangani segera oleh semua pihak akan boleh menimbulkan kemarahan atau kebencian dikalangan orang Melayu dalam negara ini.

“Justeru saya menasihati semua rakyat agar mengambil ikhtibar berhubung kejadian berkenaan. Mereka perlu berwaspada dan berfikir panjang sebelum memilih pihak yang layak untuk memerintah Kerajaan Negeri selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat 2010 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Betong bertempat di Masjid Nuur Rabani Kampung Sebemban Betong baru-baru ini.

Sementara itu Wahbi juga menasihatkan umat Islam dalam kawasan Saribas untuk meneruskan aktiviti kebajikan masing-masing walaupun ketika berlangsung ibadat puasa pada Bulan Ramadan ini.

“Aktiviti gotong-royong membersihkan kampung misalnya perlu diteruskan oleh umat Islam walaupun ketika berpuasa kerana ia bertujuan untuk menceriakan lagi suasana penempatan masing-masing.

“Lagipun beramal kebajikan pada bulan puasa penting untuk mempertingkatkan iman orang Islam pada bulan Ramadan. Oleh itu umat Islam tidak digalak untuk menjadikan puasa sebagai alasan tidak mahu mengerjakan aktiviti kebajikan masing-masing selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Frida Suntik, Pegawai Tadbir Sarawak Betong, Rohani Sejel, Ketua Kampung Sebemban, Merawi Lepor, Pengerusi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting Sebemban dan Pengerusi Belia Sebemban, Roslan Bahari.

Tamat.