Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 July, 2010

RM52 juta untuk bina jalan raya dalam DUN Bukit Begunan


Caption: PENGHARGAAN...Mong (kiri) sedang menerima cenderamata daripada Tr Dobi (kanan) ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

SRI AMAN, Rabu (14 Julai) – Rangkaian perkhidmatan jalan raya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan bakal dipertingkat apabila kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai RM52 juta untuk membina tiga rangkaian jalan raya berturap di situ sebelum akhir tahun ini.

Menteri Muda Permodenan, Mong anak Dagang berkata peruntukan bernilai RM52 juta berkenaan akan diguna untuk membina jalan berturap raya bagi kawasan Sembau – Gran Stumbin – Tanjung Bijat, Bangkong – Jungkong (Bukit Balau), Poh Ai – Melugu.

“RM26 juta daripada nilai keseluruhan peruntukan ini diguna untuk membina jalan raya berturap sepanjang 16 kilometer bermula dari kawasan Sembau hingga ke Tanjung Bijat manakala RM12 juta lagi diguna untuk membina jalan raya berturap sepanjang tujuh kilometer di kawasan Bangkong – Jungkong, Bukit Balau.

“Selebihnya RM14 juta lagi peruntukan diguna untuk membina jalan raya berturap sepanjang 14 kilometer bagi kawasan Poh Ai hingga ke Melugu,” katanya ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2010 bertempat di Rumah Dobi, Sekiraw Tengah, Tanjung Bijat, Sri Aman hari ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan merangkap ADUN Bukit Begunan memberitahu bahawa kesemua peruntukan pembinaan jalan raya berturap ini telah diluluskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Tender bagi membina ketiga-tiga jalan raya berturap ini kata Mong telah pun dibuka kepada syarikat sebelum kerja membina jalan raya berturap berkenaan dapat dimulakan sebelum akhir tahun ini.

“Justeru saya meminta agar penduduk di kawasan Bukit Begunan khusus sekali dari ketiga-tiga kawasan berkenaan berhenti menjadikan perkara ini sebagai isu utama masing-masing menjelang pilihan raya negeri yang akan datang.

“Kerajaan telah menunaikan janjinya untuk membangunkan hidup penduduk maka jayakanlah kesemua projek ini bersama kerajaan demi kebaikan bersama pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal (JASA) kawasan Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penghulu Tinggi anak Nyandang, Pengerusi Persatuan Budaya Iban Sri Aman, Johnatan Isau Jangan, para ketua kaum dan penduduk di sini.

Mong menerusi majlis itu telah meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM6,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dobi, RM2,000 untuk Biro Wanita Rumah Dobi dan RM4,000 kepada Persatuan Tuai Rumah Tanjung Bijat Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment