Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 July, 2010

Program Semarak Jalur Gemilang 1 Ogos ini - Latip

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Bahagian Sri Aman akan menganjurkan Acara Larian Merdeka bersempena dengan sambutan Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 pada 1 Ogos ini.

Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamshuddin menerusi kenyataan berita memberitahu Acara Larian Merdeka yang bakal melibatkan penyertaan seramai 300 orang peserta ini berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman.

“Acara Larian Kemerdekaan akan bermula dari Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada jam 7 pagi dan semua peserta akan berlari menuju ke bulatan Merpati, Jalan Hospital (berdekatan bangunan Everise) sebelum mereka berpatah balik menuju ke stadium semula.

“Acara ini akan melibatkan penyertaan ahli komuniti bestari dari daerah ini, para ketua kaum, ahli pertubuhan dan ketua jabatan kerajaan. Oleh itu penduduk dalam bandar Sri Aman diminta agar sedia maklum berhubung aktiviti ini nanti,” katanya.

Selain itu pihaknya kata Latip juga turut mengadakan Acara Senamseni 1Malaysia, pengedaran bahan terbitan serta risalah jabatan, pengibaran serta pengedaran Jalur Gemilang menerusi program terbabit.

“Objektif utama Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 ini diadakan adalah meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanahair dikalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum.

“Justeru diharap agar program ini dapat meningkatkan kesedaran dan mengalak penglibatan lebih ramai penduduk dalam mengibar bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 ini akan dirasmikan oleh Residen Bahagian Sri Aman iaitu Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Tamat.

No comments:

Post a Comment