Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 July, 2010

Program Hargai Diri diadakan di SMK Simanggang



Caption: SERIUS...Alexis (kanan gambar) sedang menyampaikan ceramah kepada pelajar ketika berlangsungnya program berkenaan di SMK Simanggang hari ini.

SRI AMAN, Rabu (21 Julai) – Pembabitan golongan remaja dalam kegiatan tidak bermoral di negara ini sememangnya amat membimbangkan semua pihak termasuk kerajaan, guru dan ibubapa.

Justeru Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman telah menganjurkan sebuah program khas bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang hari ini.

Program yang diberi nama Hargai Diri Anda Dikalangan Pelajar Sekolah Menengah Bahagian Sri Aman berkenaan membabitkan seramai 100 orang pelajar dari sekolah menengah terbabit.

“Objektif kursus berkenaan ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah mengenai amalan hidup yang sihat dan akan mempengaruhi masa depan hidup mereka selepas ini.

“Selain itu kursus ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan rasa tanggungjawab dikalangan diri setiap pelajar sekolah menengah untuk menjadi anak, pelajar dan warganegara yang mengamalkan nilai murni dan berakhlak sepanjang masa,” kata jurucakap penganjur program terbabit.

Untuk menjayakan program ini, pihaknya telah memilih kumpulan sasar yang terdiri daripada 50 orang pelajar perempuan dan 50 orang pelajar lelaki dari tingkatan satu hingga tingkatan 6 dari sekolah menengah yang berisiko tinggi dan terdedah dengan gejala salah laku disiplin di sekolah.

“Pihak kami juga akan mengadakan program yang serupa di SMK Sri Aman pada 22 Julai, SMK Saint Luke (26 Julai), SMK Melugu (27 Julai), SMK Lubok Antu (2 Ogos) dan SMK Engkilili pada 3 Ogos,” katanya.

Hadir sama pada Program Hargai Diri Anda Dikalangan Pelajar Sekolah Menengah Bahagian Sri Aman ini ialah Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sri Aman, Rohana Isnawi dan wakil Jabatan Kerja Raya Sri Aman, Paul Lu.

Terdahulu sebanyak empat buah ceramah telah disampaikan kepada pelajar SMK Simanggang bermula dari jam 8.30 pagi hingga jam 1 petang.

Antara tajuk ceramah ini ialah Masalah Sosial Remaha Masa Ini, Kes Salah Laku Di Kalangan Pelajar Sekolah, Katakan Tidak Kepada Seks Sebelum Kahwin dan Implikasi Seks Rambang.

Setiap tajuk ceramah dalam kursus ini telah disampaikan oleh Rohana Isnawi, Inspektor Mohd Azlan dan Sarjan Mejar Hamdan dari Ibupejabat Polis Daerah Betong, Lucy Chuo Nee Hong dari SMK Saint Luke dan Gabriel Alexis Kibes dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment