Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 July, 2010

Pesta Lingga bakal ubah wajah Lingga - Simoi


Caption: SEDAP...Simoi sedang menunjukkan produk kerepek kepada pemberita ketika meninjau gerai jualan beraneka yang diadakan bersempena dengan sambutan Pesta Lingga.


LINGGA, Jumaat (23 Julai) – Penganjuran Pesta Lingga 2010 dijangka mampu memperkenalkan kawasan daerah kecil Lingga terhadap pengunjung luar di masa akan datang demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Ini kerana kawasan daerah kecil Lingga katanya mempunyai pelbagai produk menarik seperti udang galah dan ikan terubok yang sememangnya menjadi kegemaran pengunjung selama ini.

“Pesta Lingga secara tidak langsung telah memperkenalkan dua buah produk berkenaan. Ia secara tidak langsung akan mengalakkan kedatangan lebih ramai pengunjung ke sini di masa akan datang.

“Saya yakin jika Pesta Lingga terus diadakan maka taraf sosio-ekonomi penduduk Lingga akan dapat dipertingkat ke tahap yang lebih baik selepas ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Lingga 2010 di Pekan Lingga kira-kira 40 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman hari ini.

Selain itu Simoi juga memohon pihak kerajaan untuk terus menaiktaraf kemudahan jalan raya, rumah kedai dan jeti yang terdapat di kawasan daerah kecil Lingga demi kebaikan penduduk di situ.

Kawasan daerah kecil Lingga kini katanya sedang mengalami proses transformasi pembangunan dengan adanya pembinaan kemudahan pendidikan dan jalan raya pada masa sekarang.

“Lagipun kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai RM70 juta untuk membina kemudahan jalan raya di kawasan Lingga pada masa sekarang begitu juga dengan projek pembinaan bangunan sekolah yang baru di SK Lela Pahlawan serta SK Gran Stumbin.

“Justeru saya meminta semua penduduk Lingga untuk terus menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud demi kesinambungan projek pembangunan yang berterusan selepas ini,” katanya.

Pesta Lingga 2010 ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Haji Mohd Naroden Majais. Hadir sama ialah ADUN Asajaya, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan Pegawai Daerah Sri Aman, Haji Bujang Mudin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment