Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 July, 2010

Pejabat KPDNKK Sri Aman rampas barang tiruan




Caption: TUMPAS...Roslan (kiri sekali) bersama pegawai PDNKK Sri Aman ketika menunjukkan barangan rampasan kepada pihak media menerusi Operasi GGCR sebelum ini.

SRI AMAN, Khamis (8 Julai) – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (PDNKK) Sri Aman telah bertindak merampas sejumlah 15,667 buah barangan yang disyaki sebagai tiruan menerusi Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) bermula 22 Jun hingga 1 Julai lepas.

Ketua Pejabat PDNKK Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari berkata kesemua barangan terbabit dirampas daripada lima buah premis perniagaan dari Bandar Saratok dan lima buah lagi premis perniagaan dari Bandar Sri Aman.

“Daripada jumlah ini, 267 buah barangan bernilai RM3,448 berupa beg sandang, housing telefon bimbit, selipar, baju dan topi pelbagai jenama ini telah dirampas menerusi 10 buah kes bawah Seksyen 3 (1)(B) Akta Perihal Dagangan 1972.

“Manakala itu satu lagi kes ialah di bawah kesalahan Perintah 4 (4)(A) Perihal Dagangan 1972 Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) yang membabitkan rampasan terhadap 15,400 buah DVD dan VCD (tanpa label cakera optik bagi tujuan perdagangan) dengan nilai rampasan sebanyak RM9,790,” katanya menerusi sidang media yang berlangsung di Pejabat PDNKK Sri Aman hari ini.

Kesemua 11 buah kes ini kata Roslan masih lagi berada di bawah siasatan lanjut oleh pihak pegawai PDNKK Sri Aman sebelum mereka yang disyaki terlibat dalam memperdagangkan barangan berkenaan di bawah ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan selepas ini.

Pihak yang terlibat didalam 10 kes berkenaan menurut beliau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah di bawah Seksyen 3 (1)(B) Akta Perihal Dagangan 1972.

“Bagi kesalahan kali ke-2, mereka boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah di bawah seksyen berkenaan.

“Nilai kesalahan yang sama juga akan dikenakan terhadap pihak yang didapati bersalah bagi kes di bawah kesalahan Perintah 4 (4)(A) Perihal Dagangan 1972 Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) ini,” menurut beliau.

Justeru orang ramai menurut Roslan dipelawa untuk membuat aduan masing-masing terhadap pihak Pejabat PDNKK Sri Aman menerusi talian telefon 083-323616 sekiranya mengesan mana-mana pihak yang disyaki memperdagangkan barangan tiruan selepas ini.

“Saya juga ingin mengingatkan peniaga dalam Bahagian Sri Aman dan Betong agar tidak menjual barangan yang melanggar Akta Perihal Dagangan 1972 pada masa akan datang,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment