Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 July, 2010

Meriahkan Program Senada Sejiwa Betong 2010 23 hingga 25 Julai ini


Caption: JAYAKAN BERSAMA...Razali (kanan) dan Romie (kiri) menunjukkan buku aturcara program kepada pemberita sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali), Indit, Samad, Fazly dan Peggy pada sesi media berkenaan.


BETONG, Khamis (22 Julai) – Bandar Betong dijangka menerima kehadiran antara 3,000 hingga 5,000 penduduk sehari apabila berlangsungnya Program Senada Sejiwa Bahagian Betong 2010 di situ bermula 23 hingga 25 Julai ini nanti.

Perkara ini diumumkan oleh Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti Jabatan Ketua Menteri, Dr Razali Abon menerusi sidang media yang berlangsung di Pejabat Residen Betong petang kelmarin.

Katanya sejumlah 185 buah tapak kaunter dibuka untuk tujuan pelbagai aktiviti yang akan dijayakan menerusi penglibatan sebanyak 116 buah agensi kerajaan dan swasta ketika berlangsungnya Program Senada Sejiwa Bahagian Betong 2010 ini nanti.

“Dengan bertemakan Kerajaan Bersama Rakyat, Program Senada Sejiwa ini adalah merupakan salah satu daripada aktiviti pelan tranformasi Perkhidmatan Negeri Sarawak dimana pihak kerajaan turun padang bertemu dengan penduduk.

“Matlamatnya ialah untuk merapatkan hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan semua lapisan penduduk yang melibatkan penjawat awam termasyuk wakil rakyat dan ketua kaum di sini,” katanya.

Program Senada Sejiwa yang akan mengambil tempat di Padang Kompleks Sukan Betong dan Dewan Panglima Rentap Betong ini kata Razali akan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang mencakupi kategori Sukan dan Rekreasi, Pameran, Pendidikan, Hiburan dan Pertandingan.

Tujuh buah acara iaitu Senamrobik, Mini Sukaneka, Treasure Hunt, Sukan Rakyat, Futsal, Bola Jaring dan Bola Sepak katanya akan diadakan di Kompleks Sukan Betong bagi kategori sukan.

“Pameran Perkhidmatan Teras Agensi, Pameran Inovasi dan Kreativiti, Pameran Pembangunan Agensi Kerajaan, One Stop Counter Agensi Kerajaan dan Gerai Jualan / Makanan akan diadakan bagi kategori pameran.

“Manakala itu ceramah dan kuiz / pidato / bahas akan diadakan bagi kategori pendidikan. Untuk kategori hiburan pula kita akan mengadakan aktiviti e-peraduan, pentas rakyat, persembahan kebudayaan, Segmen Rakaman Radio ‘Jiran Sekampung’ dan Pertandingan Menyanyi / Karaoke,” menurut beliau.

Selain itu kata Razali, pertandingan memasak, gubahan bunga, cabutan tiket bertuah, cadangan terbaik, kaunter / booth terbaik akan diadakan bagi kategori pertandingan pada program ini nanti.

Malahan Program Senada Sejiwa ini katanya juga turut diserikan dengan pertandingan Mini Regatta di Tebingan Sungai Betong / Sungai Layar dan Majlis Anugerah Pingat Khidmat Setia.

“Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang akan merasmikan Program Senada Sejiwa Bahagian Betong 2010 ini pada 24 Julai bermula jam 10 pagi,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri, Indit Bangai, Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Samad Junai, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Peggy Ronin dan Penolong Pegawai Pendaftaran Betong, Mohd Fazly Abdul Latip.

Tamat.

No comments:

Post a Comment