Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 July, 2010

KPM nadi pembangunan modal insan - Simoi


Caption: TAHNIAH...Simoi (kiri) menyampaikan sijil kepada Daniel Subuh George (kanan) sambil disaksikan oleh Walter (tengah) pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah merupakan nadi kepada pembangunan modal insan dalam negara ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Katanya KPM telah menyumbang banyak peranan penting terhadap aspek pembangunan negara dengan memberikan pendidikan secara holistik yang sewajarnya kepada semua penduduk dalam negara ini.

“Memandangkan cabaran dalam bidang pendidikan adalah amat besar maka wajarlah bagi semua pihak khasnya warga pendidik untuk bersikap aur dengan tebing ketika melaksanakan tugas masing-masing selepas ini,” katanya.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmiskan Majlis Jasamu Dikenang bersempena dengan Sambutan Hari Guru Daerah Sri Aman anjuran ADUN N.23 Lingga bersama Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu para guru menguasai sepenuhnya penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat atau ICT demi menaikkan lagi prestasi pembelajaran mereka dari masa ke semasa.

“Anda (warga pendidik) perlu berada selangkah ke hadapan berbanding para pelajar berhubung penggunaan teknologi ICT ini. Dengan ini para guru akan lebih mudah mendidik pelajar masing-masing dengan pelbagai ilmu terkini yang diperoleh dari internet pada masa akan datang,” katanya.

Teknologi ICT sekiranya digunakan dengan betul katanya akan dapat mewujudkan golongan modal insan berkualiti kelas pertama dalam memacu pembangunan negeri ini menjelang tahun 2020 kelak.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Shamshuddin, Walikota Sri Aman, Piau anak Ingot, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai dan warga pendidik dari sekolah sekitar Sri Aman.

Simoi pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Tabung Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dan RM5,000 kepada Pesta Persatuan Sukan & Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Sri Aman.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman merangkap bekas guru iaitu Haji Mostapa Salleh telah diumumkan sebagai Tokoh Guru Sri Aman 2010 yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM500 hasil sumbangan peribadi daripada Simoi.

Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti persembahan hiburan, penyampaian Anugerah Hari Guru, penyampaian sijil penghargaan, cenderamata kepada guru-guru bersara, cabutan tiket bertuah, penyampaian replika cek dan suara emas.

Tamat.

No comments:

Post a Comment