Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 July, 2010

Kita kita, mereka mereka - Mong


Caption: SELAMAT DATANG YB...Mong (tengah) sambil diapit oleh Shahruddin (kanan) dan Tr Jumat ketika dibawa berarak di rumah panjang berkenaan.

SRI AMAN, Sabtu (10 Julai) – Rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan tindakan sesetengah rakyat di kawasan Parlimen Sibu yang menyokong pihak pembangkang pada pilihan raya kecil yang lepas.

Menteri Muda Pertanian merangkap Menteri Muda Pelancongan dan Warisan iaitu Mong anak Dagang menyampaikan nasihat terbabit kepada rakyat yang tinggal di kawasan pentadbirannya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan.

Menurut beliau rakyat di kawasan Parlimen Sibu rata-ratanya sudah ‘kaya dan mengecapi hidup maju’ sehingga menyebabkan mereka tidak tunduk dengan kehendak pembangunan di kawasan masing-masing ketika pilihan raya kecil terbabit.

“Kita di kawasan Bukit Begunan tidak boleh mengikut cara orang di sana (Parlimen Sibu). Ini kerana DUN Bukit Begunan adalah kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian pembangunan daripada pihak kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Mong yang juga ADUN Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian PPG oleh RISDA bertempat di Rumah Jumat, PoAi Enggat, Melugu, Sri Aman baru-baru ini.

Jika rakyat di kawasan DUN Bukit Begunan bertindak mengikut jejak langkah rakyat di Sibu yang bertindak membolehkan pembangkang menang pada pilihan raya kecil yang lepas kata beliau maka kerugian selepas itu akan ditanggung oleh diri mereka sendiri.

Kerugian terbabit kata Mong berupa saluran projek pembangunan oleh kerajaan BN yang mencakupi segala segi termasuk pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan hidup rakyat itu sendiri.

Justeru katanya adalah tidak berbaloi rakyat di kawasan Bukit Begunan dan lain-lain kawasan luar bandar bertindak menyokong pembangkang menjelang pilihan raya yang akan datang hanya disebabkan keputusan pilihan raya parlimen di Sibu sebelum ini.

“Jangan mengundi mengikut perasaan. Fikirkanlah masa depan diri sendiri, anak-anak dan cucu-cucu sebelum bertindak mengundi pihak pembangkang pada pilihan raya negeri kelak,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Pegawai RISDA Bahagian Samarahan, Shahruddin Saberi, timbalannya Mohd Azman Hassan, Ketua Seksyen RISDA, Zainal Norsan, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pemaju RISDA Sri Aman, Isaac Stalin, Pemaju RISDA Panggil, Warren Sambau dan kakitangan RISDA yang lain.

Mong menerusi majlis itu telah menyempurnakan majlis penyampaian bantuan PPG yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM26,350 kepada 31 orang penerima dari Rumah Anggos Tala, Kampung Nyelam Po Ai dan Rumah Jumat Po Ai Enggat.

Tama

No comments:

Post a Comment