Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 July, 2010

Jangan kacau projek pembangunan kerajaan


Mugshot: SAMUEL LAWEN


SRI AMAN, Sabtu (10 Julai) – Rakyat tidak harus menghalang usaha pembangunan kerajaan sekiranya tidak mahu melibatkan diri dalam projek pertanian komersial selepas ini kata Pemanca kawasan Sri Aman iaitu Samuel Lawen.

Menurut beliau terdapat rakyat yang menentang kemasukan projek pembangunan infrastruktur di kawasan tanah mereka walaupun tidak mahu melibatkan diri dalam projek pertanian komersial yang ditawarkan oleh kerajaan sebelum itu.

“Ada rakyat yang tidak mahu kerajaan menumpang tanah mereka untuk membina kemudahan jalan raya menuju ke lokasi projek pertanian komersial yang berdekatan dengan kawasan masing-masing (tanpa mereka menyertai projek pertanian tersebut).

“Tindakan ini tidak wajar kerana kemudahan jalan raya akan memberikan kesenangan terhadap rakyat walaupun mereka sendiri tidak mahu menyertai sebarang projek pertanian komersial yang sedang dilaksanakan di kawasan berdekatan tanah mereka,” menurut beliau.

Samuel berkata demikian ketika berucap pada Program Info Bestari anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Munggu Deman bertempat di Rumah Romeo Serit, Munggu Demam, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

Beliau juga mahu rakyat mempertimbangkan keuntungan yang bakal diperolehi menerusi projek penyediaan infrastruktur berkenaan walaupun mereka sendiri tidak mahu menyertai projek pertanian komersial seperti kelapa sawit.

Sementara itu Samuel juga mahu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang untuk terus menyokong wakil rakyat mereka iaitu Datuk Francis Harden anak Hollis pada pilihan raya negeri akan datang.

“Beliau (Harden) telah menjadi wakil rakyat anda (DUN Simanggang) selama tiga penggal. Dalam tempoh itu kita telah melihat pelbagai projek pembangunan berjaya diusahakan oleh beliau untuk rakyat termasuk projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES), bekalan air bersih, kemudahan sukan dan banyak lagi.

“Justeru adalah wajar sekiranya rakyat dalam kawasan DUN Simanggang terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Harden pada pilihan raya negeri akan datang demi memastikan kawasan mereka terus membangun selepas ini,” katanya.

Terdahulu Program Info Bestari ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah iaitu Datuk Francis Harden Hollis yang seterusnya mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Romeo Serit.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latif Shamshuddin, Pemanca Samuel Lawen, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penghulu Jacob Chendan, Penghulu Brinku Busang dan para ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment