Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 July, 2010

Jangan harapkan anak kerja kerajaan - Nyalau


Caption: GUNA DENGAN BAIK.....Nyalau (empat kanan) menyerahkan cek MRP kepada Tr Ipang (tiga kanan) dalam majlis itu sambil disaksikan tetamu jemputan yang lain.


LUBOK ANTU, Isnin (12 Julai) – Ibubapa tidak harus mengharapkan anak-anak untuk bekerja di jabatan kerajaan apabila mereka sudah tamat belajar kelak demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Ini kerana sektor swasta katanya juga turut menyediakan pekerjaan kepada anak-anak yang memperolehi keputusan akademik yang cemerlang terutama sekali menerusi projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Kerajaan menawarkan jawatan yang cukup terhad menerusi jabatan mereka selama ini. Justeru bergantung harapan kepada jabatan kerajaan untuk memperoleh pekerjaan adalah merupakan satu tindakan yang tidak wajar.

“Justeru saya menasihatkan anak-anak mencapai keputusan akademik yang cemerlang agar mereka juga boleh memperoleh pekerjaan yang cukup baik di mana-mana sektor swasta selepas ini,” katanya sambil menambah SCORE bakal menyediakan sebanyak 1.6 juta pekerjaan di masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai anjuran Persatuan Ibu Bapa (PIBG) Sekolah Kebangsaan Nanga Delok 2010 di kelas Tahun 4 sekolah itu baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan anak kaum Dayak terutamanya Iban untuk menyediakan diri dengan pelbagai ilmu sebagai modal untuk menghadapi perubahan zaman akan datang.

“Kekuatan intelektual dan mental perlu ada dalam diri setiap individu kaum Dayak agar mereka sentiasa dapat bersaing dan seiring dengan keperluan dan kehendak semasa,” menurut beliau.

Nyalau menerusi majlis itu telah mengumumkan Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada PIBG Nanga Delok. Beliau juga turut menyerahkan cek MRP sebanyak RM20,000 kepada JKKK Ipang, Delok.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Penerangan Parlimen P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba dan para ketua kaum dari sekitar Lubok Antu.

Tamat....

No comments:

Post a Comment