Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 July, 2010

Had murid kepada 25 orang satu kelas kalau UPSR dan PMR dimansuh



Caption:

1. RASMI...Gani (tengah) bersama Huo (kanan) bersama ahli STU yang lain ketika menyempurnakan upacara memotong kek sempena ulangtahun ke-45 penubuhan STU Sri Aman.

2. SERIUS...Gani ketika sedang berucap pada mesyuarat agung STU Bahagian Sri Aman baru-baru ini

SRI AMAN, Khamis (1 Julai) – Bilangan murid perlu dikurangkan kepada maksimum 25 orang untuk satu kelas jika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahu dimansuhkan serta pentaksiran berasaskan sekolah dijadikan sebagai ganti untuk tujuan berkenaan.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Gani Bina berkata langkah dianggap sebagai amat penting demi membolehkan para guru memberikan pentaksiran yang betul-betul sah dan boleh dipercayai selepas itu.

“Sistem pendidikan hendaklah ditentukan oleh para professional dan bukan atas kehendak kepentingan politik semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan STU Bahagian Sri Aman di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang baru-baru ini.

Selain itu Sarawak menurut beliau masih memerlukan lebih ramai anak tempatan untuk dilatih menjadi guru bertauliah bagi mencetuskan mobilasi dikalangan anak-anak muda disamping menampung keperluan pembelajaran di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Oleh itu Gani mencadangkan agar kerajaan mewujudkan dua buah kampus Institusi Pendidikan Guru dalam negeri ini khususnya di Sri Aman dan Lawas bagi menampung keperluan latihan perguruan dikalangan anak muda tempatan selepas ini.

“STU tidak pernah berganjak daripada pendiriannya untuk menentang kemasukan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) ke dalam perkhidmatan pelajaran.

“Lagipun kita sedang berusaha ke arah pendidikan bertaraf dunia. Maka itu pendidikan haruslah diuruskan oleh para pakar dan individu yang mempunyai latarbelakang latihan ikhtisas dan bukannya PTD yang tidak pernah menjalani latihan perguruan sebelum itu,” katanya.

Gani juga menyatakan kesanggupan STU untuk menaja para ahlinya bagi menghadiri latihan professional tertentu demi membantu pihak jabatan untuk meningkatkan mutu penyampaiannya di masa akan datang.

“Dalam keadaan peruntukan kewangan yang amat terhad pada masa sekarang katanya, semua cawangan STU dalam negeri ini haruslah berusaha untuk membantu pihak jabatan berhubung isu mengikut kapasiti kemampuan masing-masing,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Agung STU, Thomas Huo, Timalan Setiausaha Agung STU, Ong Kheng Syn, Pengerusi STU Bahagian Sri Aman, Jee Lian Fah dan ahli para STU Bahagian Sri Aman yang lain.

Terdahulu Gani menerusi mesyuarat berkenaan telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah galakan akademik kepada 23 orang anak ahli STU Bahagian Sri Aman yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun.

Setiausaha Agung STU, Thomas Huo juga turut telah menyampaikan watikah perlantikan kepada lapan orang wakil STU antaranya ialah Cynthia Tan, Jame Baya, Jerrio Tawan, Nancy Nabau, Marcus Linggie Francis Inin, Mary Kong, Lim Geok Hong dan Wilson Chai.

Antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah jurang gaji antara guru lepasan diploma dan ijazah, perumahan guru, ganjaran untuk guru siswazah yang mempunyai Sarjana, masalah sekolah kecil, elaun pedalaman dan percanggahan arahan pelbagai sektor / bahagian/ unit dalam KPM/JPN/PPD dalam hal tertentu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment