Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 July, 2010

Guna kaedah pemetaan foto udara sukat tanah NCR - Masir


Caption: UNTUK ALBUM...Masir (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para penerima dan tetamu khas sebaik sahaja selesai majlis terbabit hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (30 Julai) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat mencadangkan Kerajaan Negeri untuk menggunakan kaedah pemetaan foto udara yang dilakukan pada tahun 1959 dahulu bagi memulakan kerja menyukat Tanah Hakmilik Adat Bumiputera (NCR) milik penduduk dalam negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan peruntukan bernilai RM20 juta untuk memulakan usaha menyukat tanah NCR milik penduduk dalam negeri ini.

Ini kerana katanya masih ramai pemilik tanah NCR yang masih bertelagah mengenai sempadan tanah NCR masing-masing sehingga membabitkan kerajaan dalam kes mahkamah sebelum ini.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan kaedah pemetaan foto udara untuk menentukan tanah NCR milik penduduk kerana sempadan tanah mereka pada waktu ini tidak seperti sempadan tanah pada tahun 1959.

“Dengan berbuat usaha menyukat tanah NCR boleh dimulakan. Bagaimanapun adalah lebih baik Kerajaan Negeri menyukat sempadan tanah milik penduduk yang tidak mengalami masalah sebelum ini,” katanya.

Masir menambah bahawa usaha menyukat tanah NCR milik penduduk yang masih bertelagah perlu ditangguhkan dahulu bagi memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk menyukat tanah NCR yang tidak bermasalah selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Ringkas Penyampaian Cek Projek Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) 2010 bertempat Bilik Persidangan Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Sementara itu Masir memberitahu bahawa penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) mampu dipertingkat ke tahap 80 hingga 90 peratus di kawasan Parlimen Sri Aman dalam tempoh tiga tahun mulai sekarang sekiranya kerajaan memperuntuk sebanyak RM50 juta setahun untuk tujuan itu.

“Kemudahan RES kini hanya mencakupi 60 peratus dalam kawasan Parlimen Sri Aman. Kita memerlukan RM50 juta setahun (sehingga tempoh tiga tahun) jika mahu mencapai sasaran berkenaan.

“Kini kawasan Jaong, Ubah Ulu Bayau, Kandis, Selanjan dan banyak lagi kawasan lain masih belum menerima kemudahan RES. Justeru kerajaan akan tetap meneruskan usaha ini demi kebaikan penduduk,” menurut beliau.

Terdahulu beliau telah menyampaikan cek MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM318,000 kepada 32 buah JKKK dalam kawasan Parlimen Sri Aman. Beliau masih mempunyai sebanyak RM1.6 juta peruntukan MRP untuk diagih kepada penduduk dalam kawasan ini.

Hadir sama ialah Timbalan Residen (Pembangunan Sosial) Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Douglas Amut dan Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Abah Unggie.

Tamat.

No comments:

Post a Comment