Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 July, 2010

Belajar cara orang Cina berniaga - Talib


Caption: UNTUK ALBUM...Talib (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama (dari kiri sekali) Isik, Richard, Lawson dan Romie pada majlis itu.

BETONG, Rabu (30 Jun) – Penduduk Bumiputera perlu mengamalkan budaya perniagaan penduduk kaum Cina sekiranya mahu berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Pelancongan, Datuk Haji Talib Zulpilip berkata budaya perniagaan kaum Cina telah menjadikan mereka berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawan sehingga menjana peningkatan ekonomi dalam negara ini.

“Orang Cina menjual harta atau benda yang mereka peroleh untuk mendapatkan modal bagi tujuan perniagaan mereka. Keuntungan yang mereka peroleh kemudiannya dijana sehingga perniagaan mereka berkembang dengan begitu baik selepas itu.

“Bagaimanapun orang Bumiputera mengagih-agihkan hasil daripada harta yang mereka peroleh dikalangan saudara atau rakan masing-masing. Faktor ini menyebabkan mereka ketiadaan modal untuk menjalankan perniagaan,” menurut beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan di Rumah Rehat Kerajaan Betong hari ini.

Selain itu Talib juga mahu lebih ramai golongan penduduk Bumiputera untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawan bagi memacu pembangunan ekonomi negara khas di Sarawak selepas ini.

“Semakin ramai usahawan maka adalah lebih baik. Justeru pembangunan ekonomi negara bergantung sepenuhnya daripada penglibatan golongan ini dalam bidang keusahawanan di negara kita pada masa akan datang.

“Lihat sahaja negara Amerika Syarikat yang mempunyai ramai golongan usahawan dari pelbagai rumpun etnik. Mereka muncul sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia disebabkan oleh salah satu faktor ini,” katanya.

Terdahulu seramai 35 orang penduduk mengambil bahagian Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan yang berlangsung selama dua hari di Rumah Rehat Kerajaan Betong semenjak hari Isnin lalu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Setiausaha Sulit kepada Dato Sri Douglas Uggah Embas aitu Dr Richard Rapu.

No comments:

Post a Comment