Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 July, 2010

Guna kaedah pemetaan foto udara sukat tanah NCR - Masir


Caption: UNTUK ALBUM...Masir (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para penerima dan tetamu khas sebaik sahaja selesai majlis terbabit hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (30 Julai) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat mencadangkan Kerajaan Negeri untuk menggunakan kaedah pemetaan foto udara yang dilakukan pada tahun 1959 dahulu bagi memulakan kerja menyukat Tanah Hakmilik Adat Bumiputera (NCR) milik penduduk dalam negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan peruntukan bernilai RM20 juta untuk memulakan usaha menyukat tanah NCR milik penduduk dalam negeri ini.

Ini kerana katanya masih ramai pemilik tanah NCR yang masih bertelagah mengenai sempadan tanah NCR masing-masing sehingga membabitkan kerajaan dalam kes mahkamah sebelum ini.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan kaedah pemetaan foto udara untuk menentukan tanah NCR milik penduduk kerana sempadan tanah mereka pada waktu ini tidak seperti sempadan tanah pada tahun 1959.

“Dengan berbuat usaha menyukat tanah NCR boleh dimulakan. Bagaimanapun adalah lebih baik Kerajaan Negeri menyukat sempadan tanah milik penduduk yang tidak mengalami masalah sebelum ini,” katanya.

Masir menambah bahawa usaha menyukat tanah NCR milik penduduk yang masih bertelagah perlu ditangguhkan dahulu bagi memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk menyukat tanah NCR yang tidak bermasalah selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Ringkas Penyampaian Cek Projek Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) 2010 bertempat Bilik Persidangan Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Sementara itu Masir memberitahu bahawa penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) mampu dipertingkat ke tahap 80 hingga 90 peratus di kawasan Parlimen Sri Aman dalam tempoh tiga tahun mulai sekarang sekiranya kerajaan memperuntuk sebanyak RM50 juta setahun untuk tujuan itu.

“Kemudahan RES kini hanya mencakupi 60 peratus dalam kawasan Parlimen Sri Aman. Kita memerlukan RM50 juta setahun (sehingga tempoh tiga tahun) jika mahu mencapai sasaran berkenaan.

“Kini kawasan Jaong, Ubah Ulu Bayau, Kandis, Selanjan dan banyak lagi kawasan lain masih belum menerima kemudahan RES. Justeru kerajaan akan tetap meneruskan usaha ini demi kebaikan penduduk,” menurut beliau.

Terdahulu beliau telah menyampaikan cek MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM318,000 kepada 32 buah JKKK dalam kawasan Parlimen Sri Aman. Beliau masih mempunyai sebanyak RM1.6 juta peruntukan MRP untuk diagih kepada penduduk dalam kawasan ini.

Hadir sama ialah Timbalan Residen (Pembangunan Sosial) Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Douglas Amut dan Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Abah Unggie.

Tamat.

Along @ Donny cebur bidang pantang Tatoo


Caption: FOKUS...Donny atau Along (belakang) ketika sedang sibuk mengukir Tatoo di belakang badan Ellison Lingoh iaitu pemilik restoran dalam bandar Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (30 Julai) – Bakat terpendam dalam diri boleh digunakan untuk memajukan hidup masing-masing dalam apa jua bidang sekiranya ia mampu diekploitasi dengan betul.

Begitulah perihalnya Donny anak Balikau, 26, yang bijak mengekploitasi bakat terpendam dalam diri untuk dijadikan sebagai karier pengukir Tatoo bagi peminat seni ukiran badan dalam kawasan Sri Aman selama ini.

Untuk itu, penulis berkesempatan untuk menemuramah beliau yang merupakan anak jati Iban kelahiran Kampung Nanga Telaus, Lubok Antu ketika menerima langganan seorang penduduk yang mahu menggunakan khidmatnya untuk mengukir Tatoo di badannya hari ini.

“Saya mula mempelajari ilmu ukir Tatoo daripada seorang rakan dari Serian dan Sarikei ketika bekerja di Johor sebagai seorang pembuat pagar pada tahun 2003 dahulu. Dari situ saya mulai berjinak-jinak dalam bidang ini dengan mengukir Tatoo untuk pelanggan di rumah sewa dalam kawasan Johor.

“Malahan saya pernah muncul sebagai pemenang naib juara untuk Pertandingan ‘Pantang (Tatoo) Iban yang dianjurkan di Selangor pada tahun 204. Selepas itu barulah saya mengambil keputusan untuk pulang ke Sarawak untuk mengembangkan karier ini,” katanya.

Beliau yang lebih mesra dikenali dengan nama Along kemudiannya menerima tempahan yang begitu banyak untuk mengukir Tatoo di badan pelanggan dari kawasan Miri, Sibu, Kuching dan Sri Aman.

Oleh yang demikian tidak hairanlah nama beliau sering meniti di bibir setiap peminat ukiran Tatoo dalam kawasan Sri Aman dan Lubok Antu semenjak Donny pulang ke Sarawak semenjak tahun 2005.

“Saya hanya belajar sampai darjah 6 sahaja di SK Batang Ai. Bagaimanapun kemahiran terpendam dalam diri saya telah berjaya mengubah masa depan hidup saya semenjak tahun 2005.

“Pengajarannya di sini ialah jangan sia-siakan bakat terpendam anda kerana jika bakat itu dapat diekploitasi dengan betul maka ia dapat menyumbang kepada peningkatan taraf hidup anda,” katanya.

Karier berkenaan telah berjaya menampung pendapatan Donny sekeluarga sehingga sekarang. Justeru beliau yang kini sentiasa sibuk menerima tempahan pelanggan bercita-cita untuk membuka kedai ukiran Tatoo di Bandar Sri Aman pada masa akan datang.

“Mereka yang mahu mendengar pengalaman saya dalam bidang ini boleh menghubungi saya sendiri menerusi talian telefon 012-8496594. Untuk berjaya kita mesti gigih berusaha dan belajar untuk menjayakan bakat kita selepas ini,” katanya.

Tamat.

BN kotakan janji


Caption: MANFAATKAN...Masir (kiri) sedang menyampaikan cek MRP kepada Tr Japing (kiri) sambil disaksikan oleh (dari kiri) Felicia, Douglas dan Abah pada majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (30 Julai) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap mengotakan janjinya terhadap penduduk walaupun ia mengambil masa untuk dtunaikan kata Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Menurut beliau terdapat segelintir penduduk yang memandang serong terhadap kerajaan apabila wakil rakyat BN di kawasan mereka mengumumkan janji pembangunan namun memakan masa untuk dilaksanakan selepas itu.

“Apabila wakil rakyat BN mengumumkan janji untuk membantu penduduk seperti memperbaiki jambatan, membina jalan raya, menyediakan kemudahan elektrik dan sebagainya janji itu akan tetap ditunaikan.

“Kita (wakil rakyat) bekerja dan menghantar kertas kerja ‘janji’ ini terhadap kerajaan untuk menunggu kelulusan. Bila peruntukan diluluskan maka janji itu akan dilaksana walaupun ia memakan masa,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ringkas Penyampaian Cek Projek Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) 2010 bertempat Bilik Persidangan Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Selain itu Masir juga meminta pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) agar tidak membahagikan peruntukan MRP yang disalur oleh kerajaan sebelum itu.

“Terdapat JKKK yang hanya membahagikan peruntukan MRP dikalangan ahli jawatankuasa tertinggi JKKK itu sendiri tanpa pengetahuan penduduk yang ditadbir oleh mereka.

“Oleh itu penduduk akan fikir bahawa kerajaan tidak menyalurkan MRP seperti yang dijanjikan kepada mereka sebelum itu. Kerajaan akan menanggung akibatnya disebabkan oleh perkara ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan cek MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM318,000 kepada 32 buah JKKK dalam kawasan Parlimen Sri Aman. Beliau masih mempunyai sebanyak RM1.6 juta peruntukan MRP untuk diagih kepada penduduk dalam kawasan ini.

Hadir sama ialah Timbalan Residen (Pembangunan Sosial) Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Douglas Amut dan Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Abah Unggie.

Tamat.

30 July, 2010

Pala tanah --> pala tengkorak : Johnny Chuat


RM20 Million, allocated for Sarawak State Government - kena nyukat tanah lalu produce title!!!! Not limited to just 'temuda"??? Kati enggau pengerang, tanah pemakai, kampung galau...etc. NCR which is related to 'customary' should include all, ukai semina temuda. It can become an issue again when come to law and justice!!!

39 pasukan berentap dalam pertandingan badminton MORZA

SRI AMAN, Khamis (29 Julai) – Sejumlah 39 buah pasukan Bergu Lelaki akan berentap dalam Pertandingan Piala Terbuka Badminton Bumiputera anjuran Morza Solution dan Sri Aman Automobilie bermula 31 Julai hingga 1 Ogos.

Pertandingan yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna, Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman itu membabitkan penyertaan pasukan dari bahagian Kuching, Simunjan, Serian, Sarikei, Sibu, Betong, Pusa, Saratok dan Sri Aman.

Pengurus MORZA Solution, Mohd Yaakub Morshidi berkata pertandingan ini juga akan menyaksikan pembabitan sebanyak 10 buah bergu dari Kelab Ihya Takhsin Sri Aman yang diketuai oleh Jesry Mida dan Encik Abdul Karim.

“Kita mahu sukan badminton diperluas dikalangan semua penduduk dalam negeri ini sejajar dengan hasrat kita untuk menyahut seruan kerajaan bagi melahirkan atlit perintis dalam sukan berkenaan selepas ini.

“Justeru pihak kita dan Sri Aman Automobile berharap agar Pertandingan Piala Terbuka Badminton Bumiputera dapat menarik penyertaan lebih ramai penduduk dalam sukan berkenaan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Pengurus Sri Aman Automobile, Lee Teck Koon iaitu antara penaja utama pertandingan ini mengalu-alukan kehadiran semua peminat sukan badminton di Dewan Serbaguna IPD Sri Aman untuk hadir bagi menyaksikan perlawanan yang berlangsung bermula dari tarikh yang dinyatakan.

Sambil melahirkan rasa bangga terhadap jumlah penyertaan pasukan yang memberangsangkan itu beliau berharap agar pertandingan berkenaan dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim dikalangan peserta selepas ini.

Terdahulu Pertandingan Piala Terbuka Badminton Bumiputera menawarkan hadiah tempat pertama bernilai RM1,500 dan piala, hadiah tempat kedua bernilai RM900 dan piala, hadiah tempat ketiga bernilai RM400 serta pingat dan hadiah tempat keempat bernilai RM200 serta pingat.

Tamat.

PPD Betong anjur taklimat pengurusan kewangan



Caption:

1. FOKUS...Peserta sedang memberikan fokus ketika berlangsungnya taklimat berkenaan di PPD Betong hari ini.

2. PENTING...Anis ketika sedang menyampaikan taklimat pengurusan kewangan dan akaun kepada peserta yang hadir pada sesi taklimat terbabit.

Saleman Senin

BETONG, Khamis (29 Julai) – Pejabat Pelajaran Daerah Betong (PPD) telah mengadakan Taklimat Pengurusan Kewangan dan Akaun untuk 24 buah sekolah rendah yang mengurus Sistem Geran Daerah Betong hari ini.

Seramai 48 orang peserta yang terdiri daripada guru besar dan pembantu tadbir yang menguruskan kewangan di peringkat sekolah masing-masing telah dijemput telah hadir dalam taklimat berkenaan.

“Tujuan taklimat berkenaan diadakan ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang hal ehwal pengurusan dan pengendalian sistem kewangan serta akaun di sekolah masing-masing.

“Menerusi sesi taklimat ini mereka telah diberi penekanan tentang beberapa perkara pengurusan kewangan yang akauntibiti dan berkesan. Mereka juga turut berkongsi pandangan dan pendapat mengenai tatacara mengurus dan membuat pembayaran,” menurut jurucakap program.

Selain itu mereka juga turut diberitahu tentang pengagihan wang yang telah dimasukkan ke akaun kewangan sekolah terlibat dan seterusnya dibelanjakan mengikut tatacara urusan seterusnya.

Terdahulu Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Mahli bin Rosli menerusi kata aluan pada taklimat itu berharap agar semua peserta berjaya menguruskan kewangan dengan sempurna selepas ini.

Katanya intergriti adalah perkara yang paling penting dalam pengurusan kewangan kerana setiap individu mesti mempunyai amanah dalam mengendalikan sebarang urusan berkaitan kewangan dan keyakinan yang tinggi dalam usaha itu.

“Guru besar wajib mengetahui semua tatacara dan sistem pengurusan kewangan sekolah. Mereka tidak harus berharap kepada tugas pembantu tadbir untuk menguruskan sebarang pembayaran di sekolah masing-masing selepas ini,” katanya.

Terdahulu taklimat berkenaan telah dikendalikan oleh Pegawai Eksekutif PPD Betong, Ngatiyem Fashar bersama Penolong Akauntan PPD Betong, Encik Johan dan Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Anis Madeli.

Tamat.

Rakyat salahkan kerajaan gara2 JKKK


Caption: TERIMA KASIH...Mong (tengah) ketika menerima cenderamata kenang-kenangan daripada pihak rumah panjang Skirau sambil disaksikan oleh Masir (kanan) pada majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (29 Julai) – Kegagalan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disalurkan oleh kerajaan sebelum itu akan menyebabkan penduduk menyalahkan jawatankuasa terbabit selepas ini.

Menteri Muda Pertanian, Mong anak Dagang berkata ia secara tidak langsung akan menyebabkan penduduk menuding jari kepada wakil rakyat dan kerajaan di atas kegagalan JKKK masing-masing dalam memanfaatkan penggunaan MRP terbabit.

“Peruntukan MRP disalur oleh kerajaan berpandukan kepada permintaan atau cadangan menerusi surat yang telah JKKK hantar kepada wakil rakyat atau pejabat daerah sebelum itu.

“Namun masalahnya di sini ialah terdapat JKKK yang menggunakan peruntukan MRP untuk lain-lain tujuan berbanding dengan cadangan yang mereka telah mereka ajukan dalam surat sebaik sahaja menerima peruntukan berkenaan. Tindakan ini cukup tidak wajar,” katanya.

Mong yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi bertempat di Rumah Inchang, Skriau Ai baru-baru ini.

Selain itu kata Mong sekiranya peruntukan yang diminta oleh JKKK adalah bertujuan untuk membaiki rumah panjang maka pihak berkenaan haruslah bertindak membeli bahan binaan selepas menerima peruntukan MRP terbabit.

“Ada sesetengah JKKK yang membahagi-bahagikan peruntukan MRP yang mereka terima daripada kerajaan dikalangan penduduk rumah panjang atau kampung masing-masing sebelum ini.

“Sayugia diingatkan bahawa MRP disalur bukan untuk tujuan itu kerana diberi oleh kerajaan agar kehidupan penduduk dapat dipertingkat ke tahap yang lebih baik. Jika mereka terus menyalahgunakan peruntukan ini maka kerajaan akan menjadi mangsa kemarahan penduduk di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum dari sekitar kawasan daerah Sri Aman.

RES akan diperluas di Sri Aman

Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Khamis (29 Julai) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat optimis bahawa kerajaan bakal melaksanakan lebih banyak projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dalam kawasan luar bandar di Sri Aman dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke Lachau pada bulan Februari lepas telah memberitahu beliau secara persendirian berhubung perkara berkenaan.

“Beliau (Najib) telah memberitahu saya dan tiga orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan parlimen Sri Aman bahawa lebih banyak RES akan dibina dalam kawasan saya dalam Rancangan Malaysia akan datang.

“Ini berita baik untuk penduduk luar bandar Sri Aman. Kita menjangkakan projek penyediaan kemudahan RES akan dapat diperluas dalam kawasan Parlimen Sri Aman dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Kebersihan dan Anti Denggi bertempat di Rumah Inchang, Skriau Ai baru-baru ini.

Untuk itu kata Masir beberapa kertas cadangan mengenai pembinaan kemudahan RES di kawasan DUN Simanggang, DUN Bukit Begunan dan DUN balai Ringin telah dihantar kepada pihak Kerajaan Pusat bagi tujuan kelulusan selepas ini.

“Saya yakin rumah panjang atau kampung yang sudah mempunyai jalan raya sebelum ini mempunyai peluang untuk menikmati kemudahan asas berkenaan di masa akan datang.

“Justeru saya meminta semua penduduk dalam kawasan Parlimen Sri Aman khasnya yang menetap di kawasan luar bandar untuk bersabar jika mahu menikmati kemudahan RES terbabit selepas ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Pertanian merangkap Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Mong anak Dagang telah merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi yang berlangsung di Rumah Inchang, Skriau Ai berkenaan.

Tamat.

28 July, 2010

Bangkai buaya hanyut di wharf Sri Aman


Caption: YE YE MATI PUN BOLEH MASUK PAPER...Foto sumbangan United Daily News menunjukkan bangkai buaya yang terapung di Ulu Sungai Batang Lupar sebelum ia dipercayai hanyut ke kawasan jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar awal pagi hari ini.

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Orang ramai gempar hari ini apabila seekor bangkai buaya ‘katak’ sepanjang 10 kaki panjang dengan lebar 40 sentimeter hanyut ke bawah jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar Sri Aman awal pagi hari ini.

Utusan Sarawak yang bergegas ke kawasan dermaga berkenaan pada 7.40 pagi hari ini mendapati bahawa kawasan sekitar jeti terbabit sedang busuk dipercayai datangnya dari bangkai buaya yang berada di bawah jeti berkenaan.

“Bangkai buaya berkenaan mulanya hanyut di luar kawasan jeti ini setengah jam yang lalu. Bagaimanapun disebabkan oleh faktor arus air hasil kejadian pasang surut maka bangkai berkenaan mungkin telah hanyut di bawah jeti ini.

“Tidak saya bayangkan jika bangkai buaya terus berada di bawah jeti ini. Bau busuk dari bangkai buaya berkenaan mungkin tidak akan menyebabkan orang ramai tidak dapat goyang kaki ketika minum di gerai jeti ini pada waktu petang,” kata seorang penduduk yang mendakwa melihat bangkai buaya berkenaan sebelum itu.

Disebabkan oleh faktor keselamatan kawasan jeti berkenaan, kakitangan Utusan Sarawak tidak berupaya untuk mengambil gambar bangkai buaya terbabit yang tidak diketahui punca kematiannya sebelum itu.

Bagaimanapun Utusan Sarawak yang melakukan siasatan lanjut berhubung perkara ini yakin bahawa bangkai buaya berkenaan telah hanyut dari kawasan hulu Sungai Batang Lupar di Engkilili ketika berlaku proses pasang surut di sungai berkenaan.

Akhbar United Daily News pada tarikh 28 Julai melaporkan seorang pekebun di Engkilili menemui bangkai seekor buaya katak sepanjang 10 kaki yang terapung di sungai berdekatan kawasan kebunnya kelmarin.

Laporan terbabit turut memberitahu bahawa buaya berkenaan mungkin telah mati semenjak tiga atau empat hari yang lepas dan dihanyutkan oleh faktor air pasang surut di Sungai Batang Lupar sehingga ke kawasan jeti terbabit bermula dari malam tadi hingga awal pagi hari ini.

Buaya berkenaan juga dipercayai pernah menyerang seorang penduduk di Engkilili ketika melakukan urusan perikanan di sungai berkenaan namun berjaya menyelamat diri dengan berpaut pada tunggul pokok di sungai terbabit.

Tamat.

SEDC: bayar hutang kalau dah pinjam kata Talib



Caption:

1. UNTUK ALBUM...Talib (duduk tengah) sambil diapit oleh Shamshuddin (kiri) dan Tan (kanan) ketika bergambar kenangan bersama peserta kursus berkenaan.

2. MANFAATKAN ILMU...Talib sedang menyampaikan sijil tamat kursus kepada seorang peserta sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Kegagalan peniaga untuk membayar kembali wang pinjaman kerajaan bagi tujuan perniagaan masing-masing dianggap sebagai satu penyakit yang mula menular dikalangan mereka pada masa sekarang.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datuk Haji Talib Zulpilip berkata kebanyakkan peniaga ini tidak mahu membayar kembali wang pinjaman kerajaan sehingga boleh menyebabkan kesukaran kerajaan untuk memberi pinjaman kepada lain-lain peniaga yang layak selepas ini.

“Akibatnya para peniaga yang mahu berkecimpung secara serius dalam perniagaan masing-masing tidak akan mempunyai dana akibat sikap peniaga terdahulu yang gagal melunaskan bayaran balik pinjaman mereka kepada kerajaan sebelum itu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan menambah bahawa kerajaan menerusi SEDC memberi pinjaman kepada peniaga agar mereka dapat mencapai kejayaan menerusi perniagaan masing-masing selepas ini sambil membayar kembali wang pinjaman terbabit.

Talib berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tamat Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan anjuran SEDC yang berlangsung di Bilik Serbaguna, Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga turut menekankan tentang betapa pentingnya aspek pengendalian perniagaan masing-masing jika peniaga mahu menikmati kemajuan dalam bidang berkenaan selepas ini.

“Faktor ini ada kaitannya dengan sikap peniaga itu sendiri. Pengguna akan menilai cara kita mengendalikan perniagaan masing-masing sebelum mereka membuat keputusan untuk menggunakan khidmat atau melanggan produk kita selepas itu.

“Contohnya umpama pengguna yang lebih suka membeli ikan yang disimpan oleh peniaga didalam air berbanding dengan ikan jualan yang dijemur bawah matahari atau membeli sayur yang sering direnjis air oleh penjual berbanding dengan sayur yang tidak direnjis dengan air oleh peniaga yang lain,” kata beliau.

Justeru Talib memberi jaminan bahawa pihak kerajaan menerusi SEDC akan mempertingkatkan kadar bantuan kepada peniaga sekiranya lebih ramai golongn berkenaan mencapai kejayaan dalam peniagaan masing-masing di masa akan datang.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji dan Temenggung Tan Chong Meng. Seramai 23 orang peserta tamat menjalani kursus yang bermula semenjak 26 Julai lepas.

Tamat.

PDK Sri Aman anjur sukaneka


Caption: SERONOK...Sebahagian daripada aksi petugas PDK dan pelatih OKU yang mengambil bahagian dalam acara sukaneka di Mini Stadium Sri Aman.

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman telah menganjurkan aktiviti Sukaneka Tahunan 2010 yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 yang membabitkan penyertaan seramai 66 orang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar, ibubapa kepada golongan OKU dan penduduk itu telah bermula dari jam 8 pagi hingga jam 10 pagi.

Pengerusi Pusat PDK Sri Aman, Adris Sulong ketika ditemui memberitahu Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara ibubapa pelatih dan kakitangan PDK Sri Aman selepas ini.

“Aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 ini juga secara tidak langsung boleh memotivasikan golongan pelatih OKU di sini agar mereka merasakan tidak tersisih dari kelompok komuniti penduduk dari masa ke semasa.

“Justeru diharap agar aktiviti seperti ini dapat meningkatkan semangat pelatih OKU di PDK Sri Aman dalam menjalani hidup masing-masing seperti biasa di masa akan datang,” katanya.

Bagi menjayakan aktiviti ini, pihak PDK Sri Aman kata beliau telah menganjurkan 13 buah acara sukan bagi Kategori Kanak-Kanak, Kategori Dewasa dan Kategori AJK PDK, Ibubapa, Pelatih dan Petugas pusat berkenaan.

Kategori Kanak-Kanak menerusi aktiviti sukaneka ini menyaksikan kanak-kanak berentap dalam saingan acara mengutip bola, bowling botol, mengail ikan, menyarung stokin / kasut dan menusuk manik.

“Manakala itu Kategori Dewasa pula menyaksikan orang dewasa mengambil bahagian dalam acara melantun bola, memasukkan gelung ke dalam stander, mengisi air dalam botol, membawa bola pingpong dalam sudu dan menyusun tin minuman.

“Kategori seterusnya pula menyaksikan semua pihak mengambil bahagian dalam acara makan roti, berjalan atas blok dan berebut kerusi,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada semua pihak dalam bandar Sri Aman ini.

Hadir sama bagi menjayakan aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2010 ialah wakil Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman merangkap penyelaras Pusat PDK Sri Aman, Michael Lised dan penyelia Pusat PDK Sri Aman, Sanny Law.

Tamat.

Program Semarak Jalur Gemilang 1 Ogos ini - Latip

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Bahagian Sri Aman akan menganjurkan Acara Larian Merdeka bersempena dengan sambutan Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 pada 1 Ogos ini.

Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamshuddin menerusi kenyataan berita memberitahu Acara Larian Merdeka yang bakal melibatkan penyertaan seramai 300 orang peserta ini berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman.

“Acara Larian Kemerdekaan akan bermula dari Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada jam 7 pagi dan semua peserta akan berlari menuju ke bulatan Merpati, Jalan Hospital (berdekatan bangunan Everise) sebelum mereka berpatah balik menuju ke stadium semula.

“Acara ini akan melibatkan penyertaan ahli komuniti bestari dari daerah ini, para ketua kaum, ahli pertubuhan dan ketua jabatan kerajaan. Oleh itu penduduk dalam bandar Sri Aman diminta agar sedia maklum berhubung aktiviti ini nanti,” katanya.

Selain itu pihaknya kata Latip juga turut mengadakan Acara Senamseni 1Malaysia, pengedaran bahan terbitan serta risalah jabatan, pengibaran serta pengedaran Jalur Gemilang menerusi program terbabit.

“Objektif utama Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 ini diadakan adalah meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanahair dikalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum.

“Justeru diharap agar program ini dapat meningkatkan kesedaran dan mengalak penglibatan lebih ramai penduduk dalam mengibar bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 ini akan dirasmikan oleh Residen Bahagian Sri Aman iaitu Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Tamat.

Program Semarak Jalur Gemilang 1 Ogos ini - Latip

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Komuniti Bestari Bahagian Sri Aman akan menganjurkan Acara Larian Merdeka bersempena dengan sambutan Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 pada 1 Ogos ini.

Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamshuddin menerusi kenyataan berita memberitahu Acara Larian Merdeka yang bakal melibatkan penyertaan seramai 300 orang peserta ini berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman.

“Acara Larian Kemerdekaan akan bermula dari Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada jam 7 pagi dan semua peserta akan berlari menuju ke bulatan Merpati, Jalan Hospital (berdekatan bangunan Everise) sebelum mereka berpatah balik menuju ke stadium semula.

“Acara ini akan melibatkan penyertaan ahli komuniti bestari dari daerah ini, para ketua kaum, ahli pertubuhan dan ketua jabatan kerajaan. Oleh itu penduduk dalam bandar Sri Aman diminta agar sedia maklum berhubung aktiviti ini nanti,” katanya.

Selain itu pihaknya kata Latip juga turut mengadakan Acara Senamseni 1Malaysia, pengedaran bahan terbitan serta risalah jabatan, pengibaran serta pengedaran Jalur Gemilang menerusi program terbabit.

“Objektif utama Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 ini diadakan adalah meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanahair dikalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum.

“Justeru diharap agar program ini dapat meningkatkan kesedaran dan mengalak penglibatan lebih ramai penduduk dalam mengibar bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang 1Malaysia 2010 ini akan dirasmikan oleh Residen Bahagian Sri Aman iaitu Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Tamat.

27 July, 2010

Sabar nikmati projek pembangunan - Harden


Caption: RASMI...Harden ketika menandatangani plak pada pintu gerbang baru yang menuju ke kampung berkenaan sempena program kebersihan terbabit.


SRI AMAN, Selasa (27 Julai) – Penduduk luar bandar harus bersabar jika mahu menikmati hasil faedah pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Penduduk luar bandar katanya perlu bersabar memandangkan kerajaan tidak boleh bertindak melaksanakan segala projek pembangunan secara sekaligus atau serentak di seluruh pelusuk kawasan negeri ini dalam satu masa.

“Projek pembangunan di setiap kawasan dalam negeri ini telah dilaksanakan secara berperingkat atau lebih tersusun dan atas sebab inilah terdapat kawasan tertentu yang belum menikmati hasil pembangunan secara menyeluruh.

“Kerajaan BN tidak mahu melaksanakan segala projek pembangunan untuk kebaikan penduduk secara ‘melepaskan batuk di tangga’ memandangkan kerajaan ingin memastikan agar setiap projek yang siap mampu membawa perubahan taraf hidup terhadap mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi 2010 anjuran Majlis Daerah Sri Aman bertempat Kampung Sri Wangi, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu katanya, terdapat sesetengah penduduk luar bandar berpendapat bahawa pihak kerajaan sentiasa mengutamakan projek pembangunan di dalam kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar.

Pendapat ini katanya ternyata tidak benar kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan agar penduduk yang menetap di kawasan dalam dan luar bandar sama-sama menikmati pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan semenjak dari dulu lagi.

“Penubuhan Bahagian Betong dan Mukah sahaja telah membuktikan bahawa kerajaan tidak mahu penduduk kawasan luar bandar ketinggalan dengan penduduk di kawasan bandar dalam menikmati pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan.

“Apa yang paling penting pada masa sekarang ialah penduduk tempatan terus menghulurkan sokongan mereka kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen BN di kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Lubok Antu, Kanselor immy Chong dan pembantu kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Tamat….

Mansor menang motorsikal modenas dari e-peraduan



Caption: YAHUU...Razali (kanan) sedang menyampaikan hadiah kepada Mansor ketika berlangsungnya program berkenaan.


BETONG, Selasa (27 Julai) – Tuah menyebelahi Mansor bin Abon apabila berjaya memenangi hadiah utama berupa motorsikal berjenama Modenas menerusi acara e-peraduan yang berlangsung di kauter pameran sempena sambutan Program Senada Sejiwa Bahagian Betong 2010 kelmarin.

Mansor yang berjaya menjawab dan meneka dengan tepat setiap soalan yang diberikan dalam acara e-peraduan ini bagi membolehkan beliau membawa pulang hadiah sumbangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) terbabit.

Hadiah kedua menerusi acara e-peraduan pula menjadi milik Nancy anak Rimong yang telah berjaya membawa pulang hadiah berupa satu set televisyen LCD 34’ hasil sumbangan Hock Peng Realty Betong.

Manakala itu Ismail bin Mahrip pula berjaya memenangi hadiah tempat ke-3 berupa sebuah peti sejuk hasil sumbangan Betong Premix mmenerusi acara e-peraduan berkenaan.

Hadiah tempat ke-4 menerusi acara e-peraduan ini pula telah menjadi milik Tay Guan Kai yang membawa pulang sebuah mesih basuh hasil sumbangan syarikat Wazum Sendirian Berhad.

Mansor, Nancy, Ismail dan Tay adalah merupakan empat dari 647 orang penduduk yang mengambil bahagian dalam e-peraduan terbabit bagi merebut empat hadiah utama dan lain-lain hamper yang disediakan dalam program berkenaan.

Kesemua hadiah utama e-peraduan ini telah disampaikan oleh Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Dr Razali Abon yang seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Program Sejiwa Senada Bahagian Betong 2010.

Terdahulu Program Senada Sejiwa yang bermula dari 23 hingga 25 Julai lalu turut menyaksikan Regatta Betong 2010 di Sungai Layar dan acara sukaneka yang menawarkan 20 jenis acara sukan.

Antara pemenang yang telah mengambil bahagian ialah JKKK Kampung Masjid Betong yang telah berjaya memenangi acara Kuit, Mengupas Buah Pinang, Lumba Dalam Guni(wanita) dan pangkah Gasing.

SMK Saint Augustine Betong pula telah berjaya memenangi acara Lumba Perahu Darat(terbuka), Sepak Takraw Bulatan, Lumba Dalam Guni manakala Kampung Baru Betong muncul pemenang Pertandingan Street Soccer.

Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Betong pula menerusi acara sukaneka berkenaan telah berjaya memenangi acara tarik Tali Kategori Lelaki dan Wanita serta Batak Lampong.

Tamat.

Galak anak sertai aktiviti sukan -Harden


Caption: RASMI...Harden sedang memalu gong sambil disaksikan oleh tetamu undangan khas ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (27 Julai) - Ibubapa berperanan penting dalam mengalakkan anak-anak untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan bagi menaikkan tahap disiplin dan prestasi akademik anak-anak di sekolah selepas ini.

Ini kerana aktiviti sukan menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis dapat menyumbang kepada tahap kecergasan tubuh badan dan otak anak masing-masing sepanjang masa.

“Selain daripada hobi, sukan dianggap sebagai salah satu bidang yang mendatangkan faedah memandangkan aktiviti seumpama itu mampu mempertingkatkan lagi daya kecergasan tubuh badan dan fungsi otak.

“Faktor kecergasan tubuh badan dan kelancaran fungsi otak ini seterusnya mampu memberikan kesan positif dari segi kecemerlangan akademik terutamanya terhadap anak-anak kita yang masih lagi menuntut di bangku sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Temasya Sukan Darat Antara Rumah 2010 Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Harden juga menasihatkan semua penduduk untuk lebih proaktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti sukan utama seperti bolasepak, sepak takraw dan badminton selepas ini.

“Dengan berbuat demikian semua pihak secara tidak langsung akan membantu kerajaan dalam mencari bakal atlit yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara pada temasya sukan peringkat nasional atau antarabangsa di masa akan datang,” katanya.

Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM10,000 kepada SK Nanga Klassen.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Guru Besar SK Nanga Klassen, Slyverster Embuas anak Dunggat, para ibubapa dan kakitangan sekolah berkenaan.

Tamat.....

Program Senam Rakyat tarik minat penduduk


MERIAH...Program Senam Rakyat Sri Aman 2010 yang berlangsung di Taman Panorama Benak, Tebing Taman Sungai Sri Aman nyata mendapat sambutan mengalakkan apabila seramai 400 orang kakitangan awam dan orang ramai mengambil bahagian dalam acara berkenaan pada hari Ahad lalu. Program yang bermula dari jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis. Program terbabit bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai hal kesihatan dikalangan penjawat awam dan penduduk dalam bandar Sri Aman. Program itu dijayakan lagi dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas iaitu Dr Haji Wahbi Junaidi. - 27 Julai

26 July, 2010

Pemuda mati ditembak masa memburu di Lubok Antu

LUBOK ANTU, Isnin (26 Julai) – Seorang pemuda maut dipercayai terkena tembakan senjata api ketika sedang memburu bersama tiga orang rakannya dalam kawasan ladang kelapa sawit sekitar kawasan penempatan Sebangki Panjai, Lubok Antu sekitar jam 7 petang kelmarin.

Pemuda yang maut dalam kejadian ini dikenali sebagai Keneddy Banyan anak Labang, 23, dari Rumah Endawi Janting, Nanga Jela, Penempatan Semula Fasa II, Batang Ai, Lubok Antu.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP George Merejok ketika mengesahkan kejadian berkenaan memberitahu mangsa mati di tempat kejadian akibat satu tembakan yang mengenai dadanya.

Ekoran kejadian itu, bapa mangsa kata beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Lubok Antu malam tadi.

“Mangsa dikatakan pergi memburu bersama tiga lagi rakannya yang berusia dalam lingkungan umur antara 30 hingga 50 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di sini. Mangsa bersama tiga rakannya itu dipercayai berpecah kepada dua kumpulan ketika melakukan kegiatan memburu berkenaan.

``Satu das tembakan kedengaran secara tiba-tiba selepas itu. Rakan mangsa yang pemeriksaan setelah terdengar tembakan itu mendapati mangsa telah terkena tembakan di bahagian dada,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas bapa mangsa membuat laporan, sepasukan polis telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk membawa balik mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Katanya, polis turut menangkap tiga lelaki dan memohon perintah tahanan reman ke atas ketiga-tiga mereka di Mahkamah Majistret Sri Aman bagi membantu siasatan dan kes ini akan disiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

habis

Terap ciri identiti nasional pupuk perpaduan


Caption: MANFAATKAN...Harden (tengah) sedang menyampaikan cek kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Majuan, Shamshuddin, Yusli, Penghulu Samad dan Alhias malam tadi.


SRI AMAN, Isnin (26 Julai) – Konsep pemasyarakatan perpaduan yang bertujuan untuk menerapkan ciri-ciri identiti nasional bagi membangunkan bangsa Malaysia berteraskan kepada dua unsur utama iaitu semangat persaudaraan dan kewarganegaraan yang tinggi.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata proses penerapan kedua-dua nilai ini dilakukan secara terancang serta tersusun dengan menggunakan segala jentera kemasyarakatan dan prasarana yang wujud seperti pendidikan, media massa, agama dan organisasi sosial masyarakat setempat.

“Seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020, matlamat utama pucuk pimpinan negara ialah untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatupadu walaupun matlamat ini bukan mudah dicapai.

“Ini kerana pemimpin perlu melihat banyak sensitiviti yang perlu dijaga seperti perasaan kewilayahan, perbezaan kepercayaan antara agama, budaya dan sebagainya,” menurut beliau ketika merasmikan Majlis Berambeh Bersama Menteri di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.

Selain itu kerancakan proses pembangunan negeri kata Harden bergantung sepenuhnya kepada perpaduan yang wujud dikalangan masyarakat berbilang kaum dalam negeri ini dari masa ke semasa.

Tanpa ikatan perpaduan yang utuh, politik negeri kata beliau akan menjadi tidak stabil sehingga boleh menjurus kepada perpecahan di antara masyarakat berbilang yang seterusnya mengagalkan rancangan pembangunan selepas ini.

“Perlaksanaan projek pembangunan bergantung sepenuhnya kepada faktor ini. Justeru kerajaan berharap agar semua pihak turun padang bagi menjayakan usaha perpaduan berkenaan di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Sri Aman, Mohd Yusli Nasir, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie, pengerusi majlis, Alhias Haji Muhi, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Harden menerusi majlis berkenaan menyampaikan cek yang mencatatkan nilai keseluruhan bernilai RM27,000 kepada sembilan buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Sri Aman.

Sembilan buah JKKK ini ialah JKKK Harmoni, JKKK Srijaya, JKKK Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), JKKK RPR Fasa 2, JKKK Kampung Paya Utara, Kampung Zon Barat, Kampung Zon Selatan, Kampung Zon Timur dan Kampung Zon Tengah.

Majlis Berambeh Bersama Menteri diserikan lagi dengan Pertandingan Tandak Melayu, Pertandingan Karaoke Lagu Iban, Pertandingan Karaoke Lagu Melayu 60-an dan persembahan kebudayaan.

Tamat.

Kerjasama hapuskan aedes - Harden



Caption:

1. 1MALAYSIA...Harden (berdiri tengah kiri) sedang menunjukkan simbol 1Malaysia bersama para hadirin yang lain ketika berlangsungnya program itu.
2. RASMI...Harden sedang menyempurnakan simbolik penanaman pokok sambil disaksikan oleh hadirin yang lain ketika berlangsungnya program berkenaan.

SRI AMAN, Isnin (26 Julai) - Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyeru kesemua agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sekitar daerah ini agar menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, kesemua pihak perlu mempertingkatkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes memandangkan spesis nyamuk terbabit amat berbahaya sebagai punca kepada penyakit Demam Denggi yang dihidap oleh manusia sehingga ke hari ini. 
Atas sebab berkenaan kata Harden, semua pihak yang terlibat perlu mengadakan pelbagai kempen kesedaran terhadap masyarakat termasuk mereka yang tinggal di kawasan kesedaran bagi membolehkan mereka membendung pembiakan spesis nyamuk berkenaan.
“Setiap agensi kerajaan, swasta, persatuan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Mereka perlu saling bekerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen yang mampu menyedarkan golongan masyarakat terhadap bahaya penyakit yang mampu dibawa oleh nyamuk Aedes,” katanya.
Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi 2010 anjuran Majlis Daerah Sri Aman bertempat Kampung Sri Wangi, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.
Selain itu beliau juga berharap agar semua pihak mempertingkatkan peranan diri masing-masing untuk membantu kerajaan memberi kesedaran terhadap orang ramai akan kepentingan menjaga tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal masing-masing di masa yang akan datang.
"Menerusi Kempen seperti ini, kita berharap agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat agar sentiasa menjaga kebersihan sekeliling dan juga di dalam rumah,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Lubok Antu, Kanselor immy Chong dan pembantu kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.
 
Tamat....