Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 June, 2010

Target golongan muda untuk ajar budaya - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden (tengah) sambil disaksikan Lanting (kiri beliau) ketika menyampaikan insentif kepada wakil penerima menerusi majlis tersebut.

SRI AMAN, Sabtu (19 Jun) – Remaja dan kanak-kanak dilihat sebagai golongan yang paling sesuai untuk dididik dan didedahkan dengan adat resam dan budaya kaum masing-masing kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Untuk itu persatuan bercorak kebudayaan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak, Sarawak Dayak National Union, Persatuan Burdah dan sebagainya menurut beliau harus memberi lebih banyak fokus terhadap golongan berkenaan bagi tujuan pendidikan adat resam serta kebudayaan selepas ini.

“Pendidikan adat resam dan kebudayaan mengikut kaum masing-masing sebenarnya tidak harus terhad kepada golongan penduduk yang sudah berumur memandangkan isu kesinambungan budaya menjadi konteks utama dalam perkara ini.

“Jika budaya dan adat resam dididik terhadap orang muda seperti remaja dan kanak maka golongan terbabit secara tidak langsung akan dapat menguasai ilmu berkenaan dengan penuh mahir apabila mereka sudah berumur nanti,” katanya.

Harden juga menambah bahawa penguasaan adat resam dan budaya yang mahir dikalangan golongan berkenaan sekaligus dapat menjamin perwarisan ilmu terhadap golongan muda yang seterusnya di masa akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam bersempena dengan Ngiling Tikai Gawai Dayak 2010 anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Kampung Putit di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu Harden juga mengalakkan semua persatuan dalam kawasan Sri Aman untuk mewujudkan Budaya Berdurok (tolong-menolong) terutama sekali ketika menganjurkan majlis makan malam dan lain-lain aktiviti selepas ini.

“Dalam hal ini sesebuah persatuan perlu membantu persatuan yang lain dengan menghadiri majlis anjuran mereka. Apabila persatuan itu sendiri menganjurkan majlis maka persatuan yang lain pula akan menghadiri majlis mereka dan itulah yang diumpamakan sebagai Budaya Berdurok.

“Justeru saya mengalakkan semua persatuan mengamalkan budaya ini. Moga-moga amalan Budaya Berdurok dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama diantara semua persatuan pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi SIDS Unit Putat, Lanting Bansi, Tuai Rumah Putat, Edwin Radin, Timbalan Pengerusi Ahli MDSA, Kanselor Jimmy Chong, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pengerusi SDNU Sri Aman, Roland Demong Radin, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia Sri Aman, Nalang Selingau dan ketua kaum di sini.

Harden pada majlis itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada SIDS Unit Putat dan RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Edwin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment