Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 June, 2010

Penduduk luar bandar sentiasa dapat perhatian BN - Simoi




Caption:

1. ADAT...Simoi (kanan sekali) ketika menyaksikan adat Miring ketika berlangsungnya program terbabit.

2. RASMI...Simoi sedang menyumpit sebagai tanda simbolik perasmian program berkenaan

Original Picture by Sulaiman Amut

MELUDAM, Selasa (8 Jun) – Penduduk di kawasan luar bandar seharusnya tidak berasa gusar mengenai layanan kerajaan terhadap mereka memandangkan Barisan Nasional (BN) sentiasa menitikberatkan pembangunan hidup mereka dari segala segi selama ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berkata perkara ia lebih terbukti apabila kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA.

“Sebelum NKRA diperkenalkan dahulu pun kerajaan telah memperuntukan berbilion ringgit untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan luar bandar dalam negeri ini.

“Usaha ini sekaligus menepiskan fitnah oleh pihak pembangkang yang sering mendakwa kerajaan mengabaikan pembangunan hidup penduduk luar bandar dalam negara ini khususnya di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info Bestari 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Jenang anak Abang, Sungai Pedada Meludam, Betong baru-baru ini.

Selain itu wakil rakyat BN kata Simoi mempunyai perbezaan peranan dan sikap yang amat ketara berbanding dengan wakil rakyat pembangkang ketika menemui rakyat masing-masing selama ini.

“Wakil rakyat BN kurang bercakap tapi banyak menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat jagaannya namun wakil rakyat pembangkang pula banyak bercakap tapi kurang menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

“BN menerusi wakil rakyatnya sentiasa melaksanakan pembangunan untuk kepentingan rakyat walaupun secara perlahan berbanding dengan pihak mereka (pembangkang) yang hanya pandai cakap kosong dan hilang sebaik sahaja tamat pilihan raya,” katanya.

Justeru Simoi menyeru semua rakyat untuk terus menyokong kerajaan BN Negeri demi membolehkan perlaksanaan projek pembangunan yang berterusan di kawasan masing-masing di masa akan datang.

Simoi menerusi program itu mengumumkan peruntukan bernilai RM15,000 kepada JKKK Rumah Jenang untuk tujuan membaikpulih rumah panjang dan menaiktaraf jalan di kawasan penempatan mereka selepas ini.

Program ini adalah merupakan anjuran JASA Sarawak DUN N.23 Lingga dengan kerjasama K-Bestari Kampung Meludam (Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman), ADUN N.23 Lingga, JKKK Rumah Jenang dan PBB N.23 Lingga.

Antara pengisian program ini ialah Ceramah 1Malaysia, Ceramah Pembangunan Belia Dalam Konsep 3K, Simbolik Perasmian (Nyumpit), Persembahan Kebudayaan dan Cabutan Tiket Bertuah.

Tamat.



No comments:

Post a Comment